Ahad, Januari 15, 2012

Mr. Labuci

Malam tadi selepas menyaksikan siaran langsung perlawanan separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia di antara Datuk Lee Chong Wei dan Chen Long,aku sempat menonton Cerekarama di TV3 bertajuk 'Mr. Labuci'. Promo tentang cerekarama ini beberapa kali dimainkan di TV3.


Promo


Tonton

Mr. Labuci ialah sebuah telemovie kekeluargaan yang sangat menghiburkan penonton. Ia diterbitkan oleh Zeel Production dengan sentuhan pengarah terkenal Muhammad Murali Abdullah dan dibantu oleh Anjely Mohammad. Skrip ditulis oleh Enny Ridwan. Para pelakon yang membintangi telemovie ini ialah Rozita Che Wan, Azhan Rani, Puteri Balkis, Roy Azman, Natasha Hudson, Ifa Raziah, Delimawati, Ridzwan Hashim dan lain-lain lagi.

Mr. Labuci mengisahkan seorang isteri iaitu Zulaikha (Rozita Che Wan) yang berkhidmat selama 10 tahun dengan syarikatnya, seorang yang sangat mementingkan diri sendiri akibat merebutkan jawatan besar di syarikatnya. Manakala suaminya mempunyai masalah dalam kerjaya tetap, namun seorang suami yang baik dan menjaga anak dengan sempurna.

Malique (Azhan Rani) minat dalam dunia labuci, hasil dari kepakaran ibunya sendiri. Malique sentiasa menyediakan dan menghasilkan idea yang kreatif pada pakaian isterinya Zulaikha iaitu dengan menghasilkan pakaian yang penuh dengan labuci.

Sering berlaku pertengkaran apabila Zulaikha sering mengungkit hingga terbawa-bawa apabila pulang ke rumah, Zulaikha hilang rasa hormat terhadap suaminya sendiri hingga sanggup merendah-rendahkan kemampuan suaminya dalam rumahtangga mereka.

Kes ini, buatkan anaknya Mimi (Puteri Balkis) sering kesedihan bila ayahnya Malique merajuk hati. Mimi rindukan ayahnya yang sering memasak sambil menari.

Zulaikha, yang mula sedar apabila perbuatannya selama ini sangat melampaui batas, gara-gara ingin merebutkan hati isteri majikannya, pada hal isteri majikannya (Ifa Raziah) tidak suka pada kaki pembodek.

Dalam pada masa yang sama Malique dan sahabatnya Ali sedang dalam proses merancang perniagaan pakaian online yang sangat berjaya.

Zulaikha mula tersedar dengan tindakannya selama ini di mana setelah berjaya dinaikkan pangkat, isteri majikannya telah menyatakan bahawa beliau tidak suka pada kaki pembodek di mana perbuatan tersebut boleh meruntuhkan organisasi.

Akhinya, suaminya berjaya membuka butik sendiri bersama rakan kongsinya Ali di mana isteri majikannya merupakan pelabur utama dalam butik tersebut. Butik itu dinamakan Butik Sentuhan Zulaikha. Dari sini barulah Zulaikha menyedari betapa sayangnya dan berharganya kasih sayang seorang suami yang di panggil Mr. Labuci.

Banyak juga moral daripada drama ini seperti kepentingan perhubungan antara suami-isteri, majikan-pekerja, sesama rakan sekerja, ibu dan anak, mertua-menantu begitu juga hubungan bapa dan anak. Dalam organisasi, memang ada budaya bodek-membodek yang mana jika dibiarkan boleh merosakkan organisasi.

Mesej yang paling baik ialah tidak semua orang yang tiada pekerjaan tidak boleh berjaya...












Melangsaikan Baki Wang Hantaran

Hari ini Sabtu, 14 Januari 2012. Lebih kurang jam 2.00 petang, aku dan Ifa, serta rombongan tiga buah kereta bergerak menuju ke Rembau. Turut serta ialah Hj. Ayup, Mak Bedah, Zamri, Shahmizah, Amir dan isterinya Fazana, Saufi, Ahmad dan Aisyah.

Tujuan kami ialah ke rumah No. 91, Lorong TSR 3, Taman Seri Rembau Fasa 1, Rembau untuk melangsaikan baki wang hantaran perkahwinan Saufi. Kami sampai lebih kurang pukul 3.15 petang.

Sebaik sampai, kami dijemput masuk oleh tuan rumah, Encik Nordin Ali dan isterinya Puan Zaliha Mohamad Nor. Turut ada di rumah ialah tunang Saufi, Norlina Nordin. Kami dijamu dengan hidangan gulai ayam, sambal udang petai, tauge dan telur asin serta buah tembikai. Alhamdulillah, terima kasih kepada tuan rumah di atas jamuan ini.

Setelah mengisi perut, tibalah masa untuk membincangkan beberapa perkara berkaitan dengan majlis pernikahan Saufi dan Norlina yang bakal diadakan pada 31 Mac 2012 atau bersamaan dengan 8 Jamadilawal 1433H.

Terlebih dahulu aku membuka majlis dan memaklumkan akan perjanjian semasa majlis pertunangan pada 1 Oktober 2011 yang lalu.

Mengikut perjanjian, wang hantaran akan diserahkan sejumlah RM4000.00 pada majlis pertunangan manakala bakinya dihantar beberapa bulan sebelum majlis pernikahan berlangsung. Ini bagi membolehkan pihak perempuan membuat persiapan untuk majlis perkahwinan mereka.

Pada majlis ringkas petang tadi, sejumlah RM5000.00 yang diisi dalam sebuah album diserahkan kepada Encik Nordin. Selain daripada itu, ada juga hadiah iringan berupa kek dan buah-buahan.

Perbincangan kemudian dipanjangkan dengan pihak perempuan memaklumkan aturcara majlis pada 31 Mac 2012 di mana pihak lelaki harus sampai pada jam 9.00 pagi. Rombongan pihak lelaki akan menginap sementara di sebuah homestay berdekatan sebelum majlis akad nikah dilangsungkan pada jam 10.00 pagi. Rombongan pihak lelaki akan balik semula ke homestay dan datang semula pada majlis persandingan iaitu pada pukul 12.45 tengah hari.

Berkenaan dengan bayaran-bayaran yang perlu disediakan oleh Saufi semasa majlis pernikahan ialah bayaran upah nikah (RM80.00), upah saksi (RM40.00), upah buapak (RM120.00), bayaran pendaftaran (RM40.00), sedekah kariah masjid (RM40.00) dan bayaran mas kahwin sebanyak RM200.00. Ini menjadikan kos keseluruhan berjumlah RM520.00. Rasanya tentang bayaran tidak menjadi masalah asalkan majlis berjalan dengan sempurna.

Pukul 4.30 petang, setelah selesai perbincangan, rombongan kami meminta diri untuk pulang. Kami sampai di rumah pada jam 6.00 petang. Alhamdulillah perbincangan hari ini berjaya mendapat kata sepakat dan diharapkan perancangan seterusnya akan berjalan lancar.


















Khamis, Januari 05, 2012

Sesi Persekolahan 2012 Bermula

Rabu, 4 Januari 2012. Sesi persekolahan bagi tahun 2012 bermula. Semua pelajar akan menyarung pakaian seragam putih dan menyandang beg ke sekolah. Jalan mula menjadi sesak kerana banyak kenderaan dipandu menuju ke sekolah. Ibu bapa berlumba-lumba menghantar anak-anak mereka ke sekolah sebelum ke tempat kerja.

Hari ini aku mengambil cuti rehat semata-mata untuk menguruskan anak-anak. Sebelah pagi, aku ke SJKC Keh Seng di Bukit Baru untuk membeli buku-buku dan peralatan persekolahan Miza dan Alim.



Ramai juga pelajar Melayu yang bersekolah di SJKC Keh Seng pada tahun ini. Ini menunjukkan sudah ada kesedaran di kalangan orang Melayu untuk menguasai Bahasa Cina. Dari segi makanan, tiada makanan halal dijual di kantin melainkan makanan ringan seperti jajan dan aiskrim. Bagi Miza dan Alim, kami akan bekalkan makanan dari rumah.

Semalam, aku dan Ifa ke SMKA Sharifah Rodziah, Telok Mas bagi menghadiri Hari Pendaftaran Tingkatan Satu Tahun 2012/1433H. Sebaik sampai, kami diberi pilihan untuk memilih kelas. Ifa mendaftar di Kelas 1 Saodah.

Di dalam Dewan As-Sharifah, diadakan Majlis Taklimat Hari Pendaftaran Tingkatan 1. Majlis dimulakan dengan bacaan ayat suci Al-Quran, kemudian ucapan daripada YDP PIBG serta ucapan daripada Pengetua, Puan Hjh Hamizah Hassan. Seterusnya ucapan perasmian daripada wakil Pegawai Pelajaran Daerah, PPD Melaka Tengah, Jabatan Pelajaran Melaka dan diakhiri majlis dengan doa.

Bagi ibu bapa dan anak-anak, mereka tinggal di dewan untuk mendengar taklimat HEM daripada Puan Zaini Jani, GPK HEM, SMKASR.

Aku membawa Ifa menjelaskan bayaran persekolahan kepada guru kelas dan kemudian menguruskan pembelian buku, pakaian sukan dan peralatan persekolahan Ifa. Hampir 4 jam kami di sana dan pulang semula ke tempat kerja pada jam 12.00 tengah hari.

Bagi Arif, aku minta beliau menguruskan sendiri urusan persekolahannya di SMKA Sultan Muhammad, Batu Berendam. Arif kini di Tingkatan 4.

Lewat tengah hari, aku menjemput anak-anak pulang dari sekolah. Aku mengambil Miza dan Alim dari sekolah dan kemudian menjemput Arif sebelum singgah untuk membayar pendaftaran sekolah agama di SRA Jalan Datuk Palembang, Bukit Baru.

Jam 4.00 petang aku ke SMKA Sharifah Rodziah untuk menjemput Ifa malangnya semasa minggu orientasi, pelajar luar dibenarkan balik pukul 5.00 petang.

Walaupun penat, bila melihat kerenah anak-anak semasa nak ke sekolah ataupun pulang dar sekolah, hati jadi gembira. Masing-masing akan menceritakan pengalaman mereka di sekolah bersama rakan baru atau guru-guru.

Semoga sesi persekolahan diteruskan dengan penuh semangat...







Selamat Hari Lahir Miza, Alim...

Isnin, 2 Januari 2012. Hari ini merupakan hari ulangtahun kelahiran Miza dan Alim. Secara kebetulan, kedua anak ini dilahirkan pada tarikh yang sama tetapi tahun berbeza. Miza menyambut ulangtahun kelahirannya kali ke-9 manakala Alim menyambut ulangtahun kelahirannya ke-8.

Kami jarang dapat menyambut ulangtahun kelahiran keduanya pada tarikh 2 Januari setiap tahun kerana kebiasaannya sibuk membuat persiapan persekolahannya. Kami akan sambut hari lahir Miza dan Alim seminggu selepas tarikh tersebut. Tetapi pada tahun ini, aku bertekad untuk menyambutnya pada tarikh tersebut agar ianya menjadi lebih 'happening'.

Pagi itu kami ke Aeon Bandaraya Melaka Shopping Centre untuk membeli barang-barang keperluan bagi persiapan majlis hari lahir Miza dan Alim. Antaranya kek hari lahir, buah-buahan, makanan ringan dan lain-lain lagi. Kami bercadang untuk membuat majlis sambutan hari lahir secara kecil-kecilan sahaja.

Pukul 5.00 petang, kami meminta Miza dan Alim menjemput rakan-rakannya. Apabila rakan-rakannya sampai, Miza dan Alim duduk di hadapan sebuah meja di samping kek hari lahirnya. Rakan-rakan menyanyikan lagu 'Happy Birthday' dan 'Allah Selamatkan Kamu' dan apabila selesai, kek dipotong.

Miza dan Alim menjemput rakan-rakannya menjamu selera dan membahagi-bahagikan kek hari lahir kepada mereka.

Sebelum balik, tetamu yang hadir dihadiahkan bungkusan 'berkat'.

Kami sekeluarga mendoakan semoga Miza dan Alim dipanjangkan umur, murah rezeki dan akan terus dewasa serta berjaya dalam hidupnya di masa hadapan.

Amin!