Rabu, Ogos 08, 2012

Operasi Keceriaan Menjelang Syawal

Selasa 7 Ogos 2012. Seperti yang telah dipersetujui di dalam perbincangan khas mengenai keceriaan, staf Bahagian Pengindeksan seawal jam 9.00 pagi sudah berkumpul di ruang legar bahagian bagi menyumbang idea dalam merencanakan satu misi iaitu menceriakan Bahagian Pengindeksan sempena Syawal yang bakal menjelma tidak lama lagi.



Seperti tahun-tahun sebelumnya, tahun ini Puan Noraini Mohd Noor dipertanggungjawabkan untuk menyelaras operasi keceriaan memandangkan beliau seorang yang kreatif. Tema kami ialah Merdeka Raya.

Peringkat awal, setiap staf diminta meminjamkan apa jua peralatan atau barang-barang untuk keceriaan di samping bahan-bahan sedia ada yang dibeli pada tahun lepas. Oleh kerana banyak idea yang dicurahkan oleh staf, akhirnya kami semua bersetuju agar sedikit kutipan dibuat bagi menampung kos keceriaan ini. Staf-staf amat bekerjasama dan kerja menghias dijalankan sepanjang hari.

Buat masa ini, hanya ada beberapa bahagian yang sudah menghias ruang kerja masing-masing namun ia bergantung kepada kerjasama di antara staf dalam bahagian tersebut.

Sebenarnya tiada pertandingan maupun hadiah lumayan ditawarkan oleh jabatan. Ianya lebih menunjukkan kepada kerjasama dan kepuasan hati staf dalam bahagian yang inginkan ruang kerja mereka nampak cantik dan kemas.

Apapun ini adalah 'persaingan' yang sihat. Mereka-mereka ini sebenarnya kreatif jika diberikan galakan.

Bagi Bahagian Pengindeksan, sekalung tahniah kepada semua staf yang bersatu hati mengeluarkan 'modal' dan juga terlibat operasi keceriaan khususnya Puan Noraini, Ahmad Abu Bakar, Rohana, Mi Azian, Muaat, Zulfadhli, Thaqif dan Nik Syukran.

Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.
















Majlis Iftar Perpustakaan

Tahun ini Majlis Iftar Perpustakaan telah diadakan pada 6 Ogos 2012 bersamaan 17 Ramadhan 1433H. Majlis Iftar anjuran Perpustakaan dengan kerjasama Pusat Islam UTeM ini diadakan di Masjid Saiyidina Abu Bakar, UTeM.

Majlis bermula pada jam 6.45 petang dihadiri oleh staf dan pelajar di mana diadakan bacaan Yassin, tahlil dan doa selamat.

Sebaik selesai, majlis diteruskan dengan penyerahan sumbangan kepada Puan Norhaslieza Mohd Yaakob, isteri kepada Mohd Effendi Rajali, staf perpustakaan yang meninggal dunia pada 20 Februari 2012.

Sejumlah RM370.00 sumbangan ikhlas daripada staf perpustakaan dan lain-lain individu dapat dikumpulkan dan penyerahan sumbangan disempurnakan oleh Puan Hajah Faridah Md. Amin, Ketua Pustakawan. Turut hadir ialah Mohd Nasir Hashim, Pengerusi Kelab Staf Perpustakaan (Listac), Naib Pengerusi, Zaidi Saad dan Bendahari, Arman Mohammad.

Jam 7.25 malam, staf dan pelajar kemudian bersama-sama berbuka puasa dan solat Maghrib.

Majlis Iftar di UTeM ini kini menjadi suatu kemestian dan dijadikan giliran mengikut pusat tanggungjawab. Dengan adanya majlis sebegini, ianya dapat merapatkan hubungan silaturrahim dan ukhwah di kalangan warga UTeM.





Selasa, Ogos 07, 2012

Program Bubur Lambuk

Seperti dijadualkan, semalam merupakan giliran Perpustakaan UTeM memasak bubur lambuk. Program memasak bubur lambuk ini merupakan satu program bersama di antara Pusat Islam dengan pusat-pusat tanggungjawab di UTeM di mana bahan-bahan memasak dan tenaga kerja dalam penyediaan bubur lambuk dibuat secara bersama.

Seramai lebih 20 orang staf perpustakaan terlibat dengan program ini yang diadakan pada 6 Ogos 2012. Program dimulakan seawal jam 8.30 pagi di mana kumpulan staf ini dibahagikan kepada dua kumpulan. Kumpulan wanita menyediakan ramuan untuk memasak manakala kumpulan lelaki menyediakan perkakasan seperti dapur, periuk dan juga memasak.

Program berjalan lancar. Jam 12.30 tengah hari, bubur lambuk siap dimasak. Staf perpustakaan kemudian bergotong-royong mengisi bubur lambuk ke dalam beg plastik untuk diagih-agihkan kepada staf dan pelajar UTeM. Lebih 600 bungkusan plastik bubur lambuk diagih-agihkan oleh wakil pusat tanggungjawab dan ada juga yang datang mengambil bubur lambuk secara persendirian.

Menjelang jam 4.30 petang, semua bubur lambuk selesai diagihkan kepada warga UTeM.

Program memasak bubur lambuk ini merupakan satu program amal yang diadakan khususnya pada bulan Ramadhan Al-Mubarak. Selain bersedekah, program sebegini dapat mengeratkan ikatan silaturrahim di antara staf dan pelajar.

Terima kasih kepada Kelab Staf Perpustakaan (Listac) yang berjaya menguruskan program amal pada tahun ini. Semoga program begini akan diteruskan dan dijadikan acara amal tahunan pada tahun hadapan.


















Jumaat, Ogos 03, 2012

Arif Mendaftar Di SBPI Selandar

Isnin,30 Julai 2012. Seawal jam 8.00 pagi, hujan turun mencurah-curah. Mujur anak-anak yang lain sudah aku hantar ke sekolah.

Setelah semua pakaian dan barang-barang keperluan asrama dimasukkan ke dalam sebuah beg besar, Arif menarik beg tersebut masuk ke dalam bonet kereta. Mak Munah dan Ida turut serta menghantar Arif ke sekolah barunya itu.



Kami bergerak jam 8.15 pagi. Perjalanan mengambil masa lebih kurang sejam kerana jalan licin. Dalam perjalanan kami singgah sebentar di pejabat bagi meminta rakan setugas mengesahkan dokumen dan sijil Arif.

Hampir jam 10.00 pagi kami sampai di SBP Integrasi Selandar. Kami ke pejabat sekolah terlebih dahulu. Urusan pendaftaran mengambil masa lebih kurang setengah jam. Kami dikenakan bayaran yuran dan asrama lebih RM1,000. Setelah selesai kami menghantar Arif ke asrama putera.

Daripada pemerhatian aku, komunikasi di antara guru dan pelajar di sana nampak lebih mesra. Seorang guru meminta dua orang pengawas menunjukkan katil untuk Arif di asrama putera. Kedua pengawas tersebut dengan ramah dan suka menawarkan pertolongan untuk membantu membawa beg dan perkakasan kepunyaan Arif. Dua pengawas tersebut ialah Asyraf dan Zaid.

Pukul 11.30 pagi, kami meninggalkan kawasan SBPI Selandar setelah semua urusan selesai. Kami mengharapkan agar Arif dapat menyesuaikan dengan persekitaran barunya itu dan seterusnya mencipta sesuatu yang baik untuk dirinya. Biarpun lewat memasuki SBP, namun itu bukan alasan untuk tidak boleh bersaing dengan pelajar-pelajar lain yang terlebih dahulu mendaftar di sana.

Usah dikira bagaimana sesuatu itu bermula sebaliknya bagaimana ianya berakhir. Pilihan di tangan anda, Arif!

Ifa Pose Macam Yuna

Sebaik sampai di KLIA, lain macam pulak aku tengok si Ifa ni. Gaya bertudung dah macam artis Yuna. Selalu pakai tudung plain aje.



Begitulah, sesekali kalau dipelbagaikan gaya bertudung memang menarik. Tak jemu mata memandang. Namun begitu menutup aurat adalah wajib.

Buatlah fesyen mana sekalipun asalkan mengikut hukum dan demi mengekalkan keanggunan seorang remaja.

Hari Terakhir Di SMKA Sultan Muhammad

Jumaat, 27 Julai 2012. Hari ini merupakan hari terakhir Arif bersekolah di SMKA Sultan Muhammad. Aku menerima panggilan telefon daripada Arif meminta mengambil barang-barangnya di asrama untuk dibawa pulang.



Jam 4.30 petang, aku sampai di sekolah. Arif memunggah semua perkakasannya ke dalam kereta. Arif meminta aku menunggu sebentar kerana ada beberapa perkakasannya disimpan di surau.



Setelah semuanya selesai, aku meminta Arif mengabadikan foto kenang-kenangannya di SMKA Sultan Muhammad buat kali terakhir. Arif setuju. Mulai minggu hadapan, Arif akan berpindah ke SBPI Selandar.



Pukul 5.00 petang, segala-galanya selesai dan kami berangkat pulang ke rumah. Bak kata Arif, apapun SMKA Sultan Muhammad tetap di hati.



Selamat tinggal SMKA Sultan Muhammad!

Menjemput Jemaah Umrah Di KLIA

Jumaat, 27 Julai 2012. Mengikut jadual asal, rombongan umrah akan sampai di KLIA pagi ini jam 6.05 pagi. Tetapi semalam, selepas menyemak jadual penerbangan melalui web, penerbangan Malaysia Airlines MH 8005 tertunda selama 2 jam kerana ada masalah pada cop pasport sesetengah jemaah umrah di sana.

Aku yang bermalam di rumah Farok semalam, bergerak ke KLIA jam 8.00 pagi. Sebaik sampai, aku melihat pada skrin jadual perlepasan dan ketibaan di ruang ketibaan. Jam 8.48 pagi, pesawat baru sahaja mendarat.

Kami menunggu dengan sabar. Hampir sejam menunggu, kami dimaklumkan mereka sedang mencari bagasi di ruang pemunggahan bagasi.

Tunggu punya tunggu, jam 10.20 pagi, barulah muncul kelibat jemaah umrah. Kami bersalaman. Mak Munah, Ida dan Ifa kelihatan sihat walaupun agak letih. Katanya mengerjakan umrah dalam bulan puasa agak mencabar. Selain cuaca panas, mengangkut beg-beg yang besar-besar sungguh memenatkan.

Pukul 11.00 pagi, setelah semua beg dimasukkan ke dalam kereta, kami bergerak balik ke Melaka. Sepanjang perjalanan, Alim duduk di kerusi penumpang bersama ibunya. Maklumlah dah lama tak jumpa. Sambil memandu, kami berbual pelbagai cerita suka duka semasa di Tanah Suci.

Jam 12.30 tengah hari, kami sampai di rumah dengan selamat. Beberapa orang ahli keluarga yang menunggu menyambut ketibaan kami khususnya jemaah umrah.

Syukur, Alhamdulillah. Semuanya sempurna. Dengan izin Allah SWT, akhirnya dapat kami bertemu semula dalam satu keluarga.