Ahad, Julai 22, 2012

Berbuka Puasa

Saat berbuka puasa memang ditunggu oleh anak-anak khususnya bila juadah sudah memenuhi meja.

Hari pertama berpuasa, anak-anak nampak sedikit letih. Sepanjang masa melayan game PS2 dengan rakan-rakan. Cuma aku agak sibuk dengan membasuh pinggan mangkuk, membasuh pakaian sekolah dan mengemas rumah. Dalam fikiran sentiasa memikirkan apakah juadah berbuka puasa petang nanti.

Jam 10.30 pagi aku menghantar Arif menghadiri kelas tuisyen Bahasa Arab. Kemudian kami ke sebuah pasar raya di Duyong untuk membeli 10 kotak air mineral untuk disedekahkan kepada Surau At-Taalim Ad-Diniah, Kg. Alai.

Lepas solat Asar, aku membawa Miza dan Alim menjemput Arif di rumah rakan sekolahnya di Padang Temu. Kemudian kami ke Bazar Ramadhan di Telok Mas. Hari pertama berniaga, bazar nampak sesak dengan pengunjung.



Kami meninjau gerai-gerai di Bazar Ramadhan tersebut. Berbagai aneka makanan dijual seperti nasi, mee, kuih-muih, lauk-pauk dan buah-buahan. Anak-anak sudah rambang mata. Kasihankan berpuasa, aku melayan juga apa yang diingini anak-anak ini. Namun begitu aku menasihatkan mereka agar berjimat kerana bimbang akan berlaku pembaziran.

Jam 7.26 malam, kami berbuka puasa empat beranak. Ada juga jiran yang bermurah hati menghantar makanan kepada kami. Alhamdulillah, makanan yang dibeli habis semuanya.

Sebelah malam, kami ke surau untuk menunaikan solat Tarawih bersama penduduk kampung.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan