Ahad, Julai 22, 2012

Sahur Pertama Tanpa Isteri Di Sisi

Umat Islam di Malaysia mula berpuasa pada hari Sabtu, 21 Julai 2012. Melalui SMS yang diterima daripada Ida, di Mekah, umat Islam di sana sudahpun berpuasa sehari lebih awal daripada umat Islam di sini.

Menurut Ida lagi, cuaca di tanah suci ketika ini panas sehingga 40 darjah Celcius. Waktu siangnya agak panjang di mana waktu Subuh sekitar jam 4.00 pagi, Zuhur, 12.00 tengah hari, Asar, 3.30 petang, Maghrib, 7.15 malam dan Isyak pula, 8.30 malam. Beza waktu di antara Malaysia dan Arab Saudi ialah 5 jam. Maksudnya Malaysia 5 jam di hadapan.

Ini adalah pengalaman pertama aku berpuasa tanpa isteri di sisi. Segalanya kena rancang dengan teliti. Ujian pertama aku ialah bagaimana nak menyediakan juadah untuk sahur pagi nanti.

Malam tu aku survey beberapa buah kedai makan jika ada yang menjual lauk tetapi hampa. Akhirnya aku mengambil keputusan membeli nasi goreng sahaja.



Menunggu waktu sahur membuatkan tidurku tidak lena. Bila terjaga, mata sentiasa melihat jarum jam bimbang terlepas waktu sahur. Jam 4.00 pagi, aku segera ke dapur memanaskan nasi goreng, tomyam, ayam goreng, menggoreng telur dan menyediakan minuman panas. Kebetulan masih ada lagi pizza yang dibeli petang semalam, jadi aku hidangkan sekali.

Cabaran kedua ialah mengejutkan anak-anak dari tidur. Arif yang balik wajib pada hujung minggu dari asrama, Miza dan Alim yang tidur lewat kerana main game memang sukar nak bangkit dari tidur tetapi alhamdulillah semalam semuanya lancar.

Alim paling susah nak bangun. Sekejap bangun, kejap lagi dah terbaring semula di atas tilam. Begitu juga dengan makan, sedikit sangat makannya. Pujuk lagi. Akhirnya habis juga sepinggan nasi.

Inilah pengalaman pertama berpuasa tanpa isteri di sisi yang sentiasa tabah menguruskan anak-anak. Ia juga merupakan satu cabaran bagi aku dalam melaksanakan amanah yang diberi. Kata orang pengalaman itu amat berharga, tidak boleh diukur dengan wang ringgit.

Susah juga ya!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan