Ahad, Julai 22, 2012

Berangkat Menunaikan Umrah

Isnin, 16 Julai merupakan hari di mana tiga ahli keluarga aku akan meninggalkan kami untuk menunaikan umrah di Tanah Suci Mekah. Ida, isteriku, Ifa, anak perempuan aku dan Mak Munah, ibu mertuaku akan meninggalkan kami selama 12 hari. Mereka akan bertolak ke Madinah menggunakan pesawat Malaysia Airlines, MH 8000 dan mengikut jadual dijangka berlepas pada jam 10.15 pagi.



Seawal jam 6.00 pagi, aku sudahpun bersiap-siap untuk menghantar mereka ke KLIA. Ramai saudara-mara dan jiran-jiran di Kg. Alai yang datang melawat mereka selepas Subuh. Semua yang datang mengucapkan selamat menunaikan umrah dan ada juga yang menghulurkan sumbangan ikhlas.



Mengimbas semula bagaimana ketiga-tiganya boleh menunaikan umrah, anak-anak Mak Munah beberapa bulan dahulu sepakat untuk menghadiahkan hari lahir beliau dengan menghantar mengerjakan umrah. Memandangkan anak-anak yang lain sibuk, Ida juga ditaja oleh mereka sebagai peneman Mak Munah. Dan aku pula meminta Ida membawa Ifa sekali sebagai ganjaran kecemerlangan dalam UPSR tahun lalu.



Jam 6.30 pagi, tibalah masanya jemaah umrah untuk bergerak meninggalkan rumah. Seperti sebelumnya, Pak Long Latif akan melaungkan azan semasa jemaah berdiri di halaman rumah.





Sebaik selesai azan berkumandang, para jemaah masuk ke dalam kereta dan terus bergerak ke KLIA.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan