Selasa, September 04, 2012

OCLC Asia Pacific Regional Council Conference 2012

Tahun ini Malaysia menjadi tuan rumah OCLC Asia Pacific Regional Council Conference Kali Ke-4. Ianya diadakan di Perpustakaan Negara Malaysia, Kuala Lumpur dari 3 hingga 4 September 2012. Yuran penyertaan adalah percuma dan setiap organisasi yang berminat mengikuti persidangan ini hanya dibenarkan menghantar seorang peserta sahaja.



Persidangan yang sama pernah diadakan kali pertama di Beijing, China pada 7 dan 8 September 2009. Ianya dihadiri seramai 101 peserta. Persidangan kedua diadakan pada 6 dan 7 September 2010 di Waseda University, Tokyo dan dihadiri seramai 115 orang peserta.

Persidangan kali ketiga pula diadakan di National Taiwan University, Taipei pada 17 dan 18 Oktober 2011 dan dihadiri seramai 180 peserta. Persidangan kali keempat diadakan di Malaysia pada tahun 2012 dan pada tahun hadapan ianya akan diadakan di Bangkok, Thailand. Jumlah penyertaan paling ramai setakat ini ialah di Malaysia di mana seramai 291 penyertaan direkodkan oleh pengajur.

Dari Perpustakaan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) seramai tiga orang peserta iaitu aku, Arman Mohammad dan Zaidi Saad menghadiri persidangan ini. Persidangan kali ini merupakan kerjasama di antara OCLC Asia Pacific dan Perpustakaan Negara Malaysia.



Selain peserta tempatan, delegasi antarabangsa yang turut hadir antaranya dari Australia, China, Hong Kong, India, Indonesia, Jepun, Korea, Philippines, Singapore, Taiwan, United Kingdom, United States dan Thailand.

Sebelum pembentangan kertaskerja, Dato' Raslin Abu Bakar, Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia, memberikan ucapan aluan kepada semua peserta yang hadir. Ianya kemudian diteruskan dengan ucaptama oleh Presiden dan CEO OCLC, Jay Jordan.

Isu-isu yang berbangkit dalam persidangan kali ini menjurus kepada aspek pendigitalan bahan dan sumber-sumber pangkalan data atas talian. Kebanyakannya berkisar kepada perkembangan dan kemajuan serta kejayaan dalam projek pendigitalan yang dilaksanakan oleh organisasi mereka. Di samping itu dibangkitkan juga isu perkongsian maklumat antara pangkalan data yang dibangunkan itu.



Sepanjang dua hari persidangan berjalan, sebanyak 12 kertaskerja dibentangkan di samping 4 ucaptama daripada wakil OCLC yang dipilih.

Bagi pustakawan isu-isu yang dibangkitkan memang relevan seperti isu pendigitalan, perkongsian maklumat, RDA, teknologi baru, perkhidmatan perpustakaan dan lain-lain lagi.

Kesimpulannya, pustakawan juga perlu berubah seiring dengan kemajuan teknologi masa kini agar ianya kekal relevan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan