Jumaat, September 14, 2012

Tazkirah: Istighfar Dan Taubat

Jumaat, 14 September 2012. Tazkirah pagi Jumaat bulan ini telah disampaikan oleh Ustaz Mohd Fauzee Mohamed, Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam, Bahagian Dakwah dan Sahsiah, Pusat Islam UTeM. Tajuk tazkirah kali ini ialah 'Istighfar dan Taubat'.




Memulakan tazkirah, Ustaz Mohd Fauzee memetik satu hadis:

Dan dari Anas bin Malik radhiallahu ‘anhu beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda:

“Allah SWT berfirman: ‘Wahai anak adam, sesungguhnya jika engkau berdoa dan berharap kepadaKu, niscaya Aku akan mengampunimu dan Aku tidak akan memperdulikannya lagi.

Wahai anak Adam, seandainya dosa-dosamu memenuhi seluruh langit, kemudian engkau memohon ampun padaku, nescaya Aku akan mengampunimu.

Wahai anak Adam, seandainya engkau datang kepadaku dengan kesalahan sepenuh bumi, kemudian engkau menjumpaiKu dalam keadaan tidak berbuat syirik dengan apapun nescaya aku akan datang kepadamu dengan pengampunan sepenuh bumi pula.'"


(Hadis Riwayat At-Tirmidzi)

Menurut Ustaz Mohd Fauzee lagi, luasnya kasih sayang Allah kepada manusia asalkan tidak berlaku syirik kepadaNya dan Allah akan mengampunkan dosa-dosa hambaNya sama ada dosa kecil ataupun dosa besar.

Katanya bagi dosa besar, ianya rumit sedikit kerana ia perlu disertakan dengan penyesalan serta bertekad untuk tidak mengulangi dan benci untuk melakukan maksiat lagi.

Berdoa adalah salah satu kunci hubungan di antara manusia dengan penciptanya. Manusia perlu berusaha untuk dunia tetapi doa juga perlu sebagai ikhtiar. Ia tidak menyalahi pegangan sebagai Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Dalam berdoa perlu ada adab di samping akhlak yang baik juga kesegaran hati dan kesungguhan serta yakin Allah SWT itu adalah pemberi anugerah. Ketika berdoa kita harus bersangka baik kepada Allah SWT. Doa juga tidak boleh dijadikan tradisi dalam apa jua acara yang tidak bersesuaian dengan majlis. Untuk doa dimakbulkan, perlu makan dari makanan yang halal bukan syubhah.

Jika terambil hak orang, perlu dipulangkan segera dan memohon keampunan daripada pemiliknya. Permohonan maaf tidak perlu menggunakan orang tengah. Jika tersedar, kita perlu beristighfar disertakan dengan hati dan perasaan bersalah.

Menurut Ustaz Mohd Fauzee, beristighfar perlu selari dengan hati. Jangan melakukan syirik kerana Allah SWT tidak mengampunkan dosa syirik. Amalan orang-orang Melayu banyak melakukan syirik seperti mempercayai bomoh dalam menghalang gangguan syaitan. Bagi mereka yang melakukan syirik, dikatakan amalannya tidak diterima Allah SWT.

Majlis ilmu ini berakhir pada jam 9.40 pagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan