Rabu, Ogos 31, 2011

Hari Raya Pertama - Rumah Mak Bedah

Pukul 1.00 petang, kami sampai di Bukit Palah. Jarak di antara Alai dengan Bukit Palah lebih kurang 7 km sahaja. Walaupun lewat, kamu sekeluarga akan mencari Pak Yup dan Mak Bedah untuk bersalaman dan memohon kemaafan.

Seperti lazimnya, selain bersalaman, aku dan Ida juga akan menghulurkan sedekah atau duit raya sebagai sumbangan ikhlas. Kemudian kami bersalaman dengan ahli keluarga yang lain. Sejak dua raya yang lepas, kami sampai lewat sedangkan pada kebiasaannya sesi fotografi di Bukit Palah juga berjalan serentak sama seperti di Kampung Alai. Jadi kami memilih untuk bergerak mengikut keselesaan keluarga kami.

Dulu sebaik bersalaman di pagi raya dengan Mak Munah, kami sudah bergerak ke rumah Mak Bedah sebelum bermulanya sembahyang raya. Tapi kini aku fikir lebih baik tidak terkejar-kejar kerana di sini dalam tempoh 3 hari semua rumah saudara-mara sudah dikunjungi. Mereka biasanya bergerak dalam kumpulan atau berkonvoi kerana mungkin selepas hari raya ketiga, masing-masing akan pulang semula ke rumah masing-masing.

Kami sekeluarga menjamah ketupat dan rendang ayam Mak Bedah. Mak Bedah memang rajin membela ayam kampung. Jadi rendang ayam kampungnya memang istimewa bagi aku. Selain ketupat, lemang juga dihidangkan. Lemang ini dibakar oleh adik ipar aku, Man pada petang raya. Selepas menjamu selera, kami sekeluarga ke rumah Mak Ngah Norsiah di sebelah rumah Mak Bedah.

Mak Ngah Norsiah merupakan ibu tunggal yang kematian suami beberapa tahun yang lalu dan kini tinggal seorang diri. Aku bersalaman dan menghulurkan sumbangan ikhlas. Sambil menjamu selera, kami sekeluarga berbual-bual.

Berjumpa dengan adik-beradik semasa raya memang nostalgia. Ramai anak-anak buah dan ada juga yang sudah bertambah ahli keluarga mereka. Maknanya duit raya pun bertambah juga. Apapun ini adalah saat yang paling menggembirakan kerana secara tidak langsung dapat mengeratkan silaturrahim di antara ahli keluarga.

Dek kekenyangan dan tidur lewat malam semalam, ada di antara ahli keluarga kami yang terlelap. Lepas seorang, seorang lagi dan akhirnya kami terpaksa menunggu sehingga lewat petang untuk bergerak balik ke Kampung Alai.

Raya tahun ini dapat juga berjumpa dengan Busu Ahmad. Ramai anak-anak beliau dan masih kecil-kecil lagi. Kami bersalaman kerana jarang berjumpa. Beliau tinggal di Kuala Lumpur dan jarang pulang ke kampung.

Sebelum pulang, kami sekeluarga bergambar kenang-kenangan bersama Pak Yup dan Mak Bedah. Aku teruja untuk mengabadikannya menggunakan kamera DSLR yang baru aku beli beberapa hari yang lalu.

Walaupun masih mengenakan baju Melayu dan bersampin yang dipakai sejak pagi lagi, aku tetap bersemangat untuk terus beraya. Raya kali ini aku rasakan paling aman. Tidak perlu tergesa-gesa kerana raya bukankah sebulan..










































Tiada ulasan:

Catat Ulasan