30 Ogos 2011 bersamaan 1 Syawal 1432H. Seawal jam 6.30 pagi, aku sudah terjaga dari tidur. Lantas aku mengejutkan Ida dan anak-anak meminta mereka bersiap-siap sebelum memulakan agenda raya hari ini. Masing-masing mula mencari bilik air dan membersihkan diri. Pakaian baju Melayu yang digosok oleh Ida malam tadi sudah siap digantung dalam almari. Aku cuma mengenakan butang baju Melayu sahaja. Tahun ini kami memilih warna kuning saffron sebagai warna tema baju raya.
Setelah mengenakan baju Melayu, aku memakai sampin dan kemudian mengambil songkok di sisi dan meletakkannya di kepala. Aku kemudian meminta anak-anak bersiap dan mengenakan pakaian baru mereka. Arif dan Alim sudahpun bersiap dan kami bersama ahli keluarga yang lain segera menaiki kereta ke Masjid Alai untuk menunaikan sembahyang aidilfitri.
Sewaktu kami sampai, para jemaah sudah ramai memenuhi ruang masjid. Manakan tidak, ramai ahli kariah yang merantau dan pulang ke kampung semasa hari raya. Jawatankuasa masjid mengambil kesempatan meminta jemaah terutama perantau yang pulang beraya agar dapat menghulurkan sumbangan ikhlas bagi menambah tabung masjid. Beberapa jemaah yang dipertanggungjawabkan mengutip sumbangan bergerak dari saf ke saf menghulur beg kain serta ada juga yang menadah songkok yang diterbalikkan sebagai bekas untuk mengisi wang kutipan derma.
Lebih kurang jam 8.30 pagi, solat sunat Aidilfitri bermula dan sebaik selesai, khutbah dibacakan oleh imam masjid. Pukul 9.15 pagi, jemaah berpusu-pusu keluar dari masjid setelah selesai khutbah dan masing-masing menuju ke destinasi mengikut agenda mereka sendiri. Ada juga yang mengambil kesempatan bersalam-salaman dengan kenalan masing-masing sambil berbual-bual.
Dalam perjalanan pulang ke rumah, kami singgah di kubur Allahyarham Haji Atip Ali di Kawasan Perkuburan Kampung Alai. Kami sedekahkan ayat-ayat suci untuk arwah. Sambil itu, kami mencari juga kubur ahli keluarga lain yang sudah meninggal dunia.
Agenda diteruskan. Kami segera pulang ke rumah Mak Munah. Sambil menunggu ahli keluarga lain pulang dari madrasah, kami mengisi perut dengan ketupat dan rendang. Di Kampung Alai, kaum wanita bersembahyang raya di madrasah selepas kaum lelaki selesai menunaikan sembahyang raya di Masjid Alai.
Tahun ini kami masing-masing sudahpun mempunyai kamera yang lebih baik berbanding tahun lepas. Boleh dikatakan masing-masing sudah mempunyai kamera DSLR sendiri. Aku dan Farok masing-masing dengan kamera DSLR Canon EOS 600D manakala Haris pula menggunakan kamera DSLR Canon EOS 1000D. Tripod dipasang bagi mendapatkan foto terbaik.
Bila semua sudah berkumpul, agenda seterusnya ialah mengadakan sesi fotografi. Sejak kebelakangan ini, sesi fotografi di pagi raya semacam suatu kemestian. Ini bagi memastikan setiap keluarga dapat berkumpul dengan ahli keluarga masing-masing di samping mengabadikan kenangan di pagi raya untuk tatapan keluarga masing-masing.
Memulakan sesi fotografi, foto beramai anak-anak dan cucu bersama Mak Munah diabadikan terlebih dahulu sebelum foto keluarga masing-masing menyusul. Dengan menggunakan tiga kamera, lebih banyak pilihan foto terbaik dapat dihasilkan. Ada yang terus berkongsi foto raya di dalam Facebook masing-masing sebagai tanda kenangan dan juga untuk memaklumkan kepada kenalan masing-masing.
Setiap ahli keluarga akan bersalaman dengan Mak Munah. Bagi cucu-cucu yang bersalaman dengan beliau, Mak Munah akan menghulurkan duit raya kepada mereka. Kemudian anak-anak dan cucu-cucunya disediakan sarapan pagi berupa ketupat, rendang, sambal ikan bilis dan kuih-muih.
Sepanjang masa, ada tetamu yang hadir untuk bersalaman dengan Mak Munah. Mak Munah dikira sebagai ketua keluarga dan anak-saudara akan mencarinya untuk memohon kemaafan di pagi raya.
Selesai sesi fotografi dan sesi bersalaman dan menghulurkan duit raya, kami sekeluarga bersiap-siap untuk ke rumah Hj. Aziz Sinin atau Chik yang terletak bersebelahan rumah Mak Munah. Setelah bersalaman dan menjamu selera, kami bergerak ke rumah Mak Bedah. Dalam perjalanan kami singgah sekali lagi di kubur Allahyarham Haji Atip Ali di Kawasan Perkuburan Kampung Alai. Ini kerana Ida dan anak-anak yang lain ingin melihat kubur arwah ayah dan datuk mereka. Setelah selesai kami meneruskan destinasi ke rumah Mak Bedah di Bukit Palah.
Love u forever ! ♥
-
Ni Ain, cerita pasal awak. Awak dah tulis pasal kite kan ? Thanxx yepp !
Kelakar la cerita awak. Nah ! Kite balas balik. 3 perenggan je. Kite takkan
tulis...
12 tahun yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan