Jumaat, Ogos 12, 2011

Mengubah Sikap Di Bulan Ramadhan

Sehingga ke hari ini sudah 12 hari umat Islam berpuasa. Walaupun letih, kerja harian tetap berlaku seperti biasa. Tanggungjawab sebagai pekerja untuk mencari rezeki Allah SWT perlu dilakukan seperti sediakala. Setiap titik peluh di bulan ini pastinya diberikan bonus oleh Allah SWT. Sayangnya ada juga sebahagian daripada kita yang mempergunakan bulan Ramadhan untuk kepentingan diri pada perkara yang tidak baik. Antaranya:



Curi tulang masa bekerja.

Bolehkah kita curi tulang semasa bekerja di bulan puasa? Tentu tidak boleh dan kebiasaannya bulan Ramadhan akan dijadikan alasan untuk lebih banyak berehat dari membuat kerja. Ramadhan juga yang dipersalahkan. Peredaran masa tetap sama, cuma bagi yang selalu buang masa pastinya masa dirasakan begitu lama berlalu. Penat berpuasa bukan alasan yang baik untuk kita kurang bekerja.

Mengantuk sebab menghidupkan malam

Bulan Ramadhan tidak menjadikan kita insan yang lemah. Kerjakan apa yang utama sebagai seorang pekerja. Tidak salah untuk beramal ibadah di bulan baik ini. Tetapi jangan sampai kualiti kerja kita merosot. Bekerja adalah wajib untuk mencari rezeki. Menghidupkan amalan sunat pada waktu malam juga dituntut. Maka timbanglah kedua-duanya.

Alasan tidak boleh puasa

Wanita diberikan kelonggaran untuk tidak berpuasa jika uzur. Namun berdosa jika ianya dipergunakan untuk tidak berpuasa. Begitu juga bagi anda yang mengaku sakit seperti gastrik kononnya dan kemudian tidak berpuasa. Mengapa puasa dipergunakan untuk perilaku yang tidak bertanggungjawab ini?

Kaut untung tak bertempat

Jika berniaga di bulan ini, janganlah terlalu mengejar untung tanpa memikirkan apa yang dibuat itu munasabah atau tidak. Alasannya tetap sama iaitu bulan puasa sekali setahun dan masa inilah nak untung lebih! Memang betul. Tetapi janganlah mengaut untung melampau-lampau tanpa menyedari perbuatan kita menzalimi pelanggan yang juga berpuasa.

Semoga sebagai seorang Islam dapatlah kita mengambil iktibar daripada apa yang berlaku di sekeliling kita dan semoga kita menjadi umat yang bertaqwa kepada Allah SWT.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan