Rabu, Oktober 03, 2012

Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Majlis Perwakilan Pelajar UTeM Sesi 2012/2013

Hari ini berlangsungnya Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Majlis Perwakilan Pelajar Sesi 2012/2013 dan Penyampaian Sijil Penghargaan Kepada Majlis Perwakilan Pelajar Sesi 2010/2011 yang diadakan di Auditorium Canselori, UTeM.


Seramai 28 orang pelajar yang merupakan Majlis Perwakilan Pelajar Sesi 2012/2013 menerima watikah tersebut daripada Prof. Datuk Dr Ahmad Yusoff Hassan, Naib Canselor UTeM diketuai oleh Yang Di-Pertua MPPnya, Saudara Mohamad Noor Rushdan Abdullah.


Terdahulu, dalam ucapan aluannya Penolong Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UTeM, Prof Dr Marizan Sulaiman mengucapkan syabas kepada mereka yang telah terpilih dalam pilihanraya kampus minggu lepas. Beliau berharap barisan MPP yang baru ini dapat menggalas tanggungjawab yang bakal dipikul oleh mereka kelak. Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada barisan MPP Sesi 2010/2011 yang telah memberikan perkhidmatan kepada warga pelajar di UTeM.


Prof. Datuk Dr Ahmad Yusoff Hassan di dalam ucapannya berharap barisan MPP yang baru dapat memikul amanah yang diberikan nanti. Katanya MPP perlu bertindak sebagai 'posmen' atau pengantara di antara pengurusan universiti dan pelajar dengan mendapatkan apa-apa perkara berkaitan seperti kebajikan pelajar. Mereka kemudian perlu menambahbaik maklumbalas dan cadangan yang diterima dan melaksanakannya secara bersama.  MPP juga harus bekerja sebagai satu pasukan. Apa sahaja konsep yang ingin dimajukan hendaklah jelas serta memberikan maklumat yang sahih kepada pihak yang diwakilinya.


Menurut Naib Canselor, MPP perlu berhubung dengan cara yang betul tanpa menumpang pihak yang lain. Mereka mesti ada prinsip sendiri dan tambah beliau lagi tidak salah berbeza pendapat asalkan ianya positif.

Beliau memberikan penghargaan kepada Saudara Ahmad Saufi Ahmad Jawahir, Yang Di-Pertua MPP Sesi 2010/2011 dan barisan exconya di atas perkhidmatan yang telah diberikan kepada pihak universiti.


Naib Canselor mengucapkan tahniah kepada mereka yang bakal menggalas tanggungjawab sebagai MPP dan berharap akan menghormati barisan kepimpinan yang lama. Katanya jawatan bukanlah suatu keisitimewaan sebaliknya tanggungjawab berdasarkan mandat yang diberikan oleh pelajar. Barisan MPP harus bekerja lebih keras jika ingin menjadi ketua dan bekerja lebih dari biasa.


Beliau berharap di samping berkhidmat kepada warga universiti, mereka perlu cemerlang dari segi akademik dan juga berpersatuan. Ini adalah asas yang perlu ada agar suatu masa nanti meeka lebih matang dalam kerjaya dan lebih kreatif.

Majlis yang bermula pada jam 12.30 tengah hari ini turut dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan universiti, pegawai dan staf dari HEPA. Majlis berakhir pada jam 1.20 petang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan