Jumaat, Oktober 19, 2012

UTeM Taja Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia


UTeM taja 6,000 naskhah Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia

MELAKA 18 Okt. - Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menaja akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia bernilai RM8,000 sempena Majlis Konvokesyen Kelapan UTeM yang akan berlangsung di Dewan Besar, kampus induk Durian Tunggal pada Sabtu dan Ahad ini.

Tajaan berjumlah 6,000 naskhah itu akan diedarkan secara percuma pada hari pertama konvokesyen tersebut manakala 4,000 naskhah pada Ahad.

Replika cek tajaan itu disampaikan Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Dr. Ahmad Yusoff Hassan kepada Ketua Biro Utusan Malaysia cawangan Melaka, Amran Mulup di UTeM, di sini hari ini.

Ahmad Yusoff berkata, tajaan itu merupakan sumbangan pihaknya dalam usaha mendekatkan penuntut universiti berkenaan khususnya dengan amalan membaca.

"Sebagai sebuah akhbar berpengaruh yang memaparkan isu-isu semasa, Utusan Malaysia mempunyai banyak maklumat dan pengetahuan untuk dimanfaatkan penuntut sebagai bahan tambahan kepada mereka," ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, katanya, majlis konvokesyen kali ini membabitkan seramai 1,862 penerima yang akan menghadiri empat sesi selama dua hari berturut-turut.

Katanya, graduan yang terlibat dalam majlis tersebut ialah penerima doktor falsafah (PhD) seramai dua orang, ijazah sarjana (178), ijazah sarjana muda (1,365) dan diploma (317).

Menurutnya, Canselor UTeM yang juga Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob akan hadir pada majlis konvosyen tersebut dan akan menyampaikan anugerah kepada graduan di samping Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.

Dalam pada itu, beliau berkata, UTeM akan terus memainkan peranan melahirkan graduan bersahsiah, murni, berdaya saing dan berkemahiran tinggi.

"Graduan yang dilahirkan UTeM setakat ini telah menjadi pembekal utama merancakkan pembangunan sektor perindustrian di Malaysia," ujarnya.

Menurutnya, bilangan graduan UTeM meningkat sebanyak 24 peratus pada tahun ini apabila seramai 1,862 berbanding 1,502 graduan pada tahun lalu menerima anugerah masing-masing.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan