Rabu, Disember 28, 2011

Berkunjung Ke i-City, Shah Alam

Sabtu, 24 Disember 2011. Semalam kami sekeluarga sudahpun berada di Putra Heights, USJ. Kami menginap di rumah Farok. Hari ini kami merancang untuk mengisi masa dan tempat yang belum kami kunjungi ialah i-City.

Pukul 8.45 malam, keluarga kami dan keluarga Farok dengan kenderaan masing-masing bergerak menuju ke Shah Alam. Jarak i-City dari Putra Heights lebih kurang 18 km dan perjalanan mengambil masa 30 minit.

Melalui Lebuhraya Persekutuan, akhirnya kami keluar melalui Plaza Tol Sungai Rasau. Lebih kurang 2 kilometer dari susur keluar tol, akhirnya kami sampai di i-City.

Waktu beroperasi bagi taman teknologi ini ialah sekitar jam 7.00 hingga 11.00 malam tetapi bagi cuti hujung minggu dan cuti umum, waktu beroperasi dilanjutkan sehingga jam 1.00 pagi. Untuk masuk, tiada bayaran dikenakan cuma bayaran parkir sejumlah RM10.00 sahaja. Pengunjung boleh meletak kereta di dalam bangunan ataupun di ruang parkir terbuka.

i-City merupakan taman teknologi yang terletak di pinggir Shah Alam. Pada sebelah malam, tempat ini menjadi bercahaya diserikan dengan pokok-pokok buatan manusia dan dilimpahi cahaya lampu LED. Bagi kanak-kanak, ianya seperti berada di alam fantasi sebagaimana dalam cerita-cerita dongeng.

Sewaktu kami mengunjungi tempat ini, ribuan pengunjung bergerak ke tempat-tempat menarik di dalam taman teknologi ini untuk merasai pengalaman berada di sini. Rumah salji atau Snowalk, rumah reptilia, laser warzone, pusat hiburan atau funfair, kedai cenderamata, restoran dan lain-lain lagi antara yang menarik.

Bayaran untuk Snowalk dan lain-lain permainan tertakluk kepada pengurusan i-City. Ketika ini, bayaran masuk ke Snowalk ialah RM25.00 bagi dewasa dan RM20.00 bagi kanak-kanak. Ia termasuk sewa jaket.

Tetapi yang paling popular ialah deretan pokok-pokok buatan manusia yang berwarna-warni seperti pokok krismas, plum, cherry dan lain-lain lagi. Menggunakan kamera DSLR, aku cuba merakamkan beberapa foto menarik di i-City.

Di samping itu, kami melayankan anak-anak menaiki merry go round dan pirate ship. Untuk menikmati keseronokan permainan, pengunjung harus beratur panjang termasuklah kami. Memandangkan terlalu ramai pengunjung pada malam itu, kami mengambil keputusan untuk tidak masuk ke Snowalk walaupun anak-anak teringin merasai pengalaman masuk ke rumah salji.

Sekitar jam 12.30 malam, kami bergerak balik ke Putra Heights.





















2 ulasan:

  1. bolehlah....kurang sedikit....tapi padatkan lagi dengan isi isi atau fakta okey.

    BalasPadam
  2. tak bestlahhhhhhhhhhhhhhhhhhhh..............bosan betul baca sampai tertidur tidur lah

    BalasPadam