Sabtu, Disember 31, 2011

Menziarahi Arysad di ICU

Khamis, 29 Disember 2011. Pukul 12.00 tengah hari, aku, Ida dan Ifa bergerak dari Putra Heights, USJ ke Pusat Perubatan UKM di Bandar Tun Razak. Lebih kurang 30 minit perjalanan, kami sampai di HUKM. Mencari parkir agak sukar di sini terutama waktu melawat. Entah berapa kali pusing, akhirnya baru mendapat petak kosong. Terus parking di situ.



Kami terus ke Tingkat 4 bangunan hospital mencari Pediatric High Dependency Unit (PICU). Kami sampai lebih kurang pukul 1.30 petang. Aku bersalaman dengan Nizam dan duduk di satu sudut khas untuk pelawat manakala Azilah masih di katil pesakit melayan kunjungan rakan-rakan sekerja.

Aku bertanyakan kepada Nizam kejadian sebenar kemalangan yang menimpa Arysad. Menurutnya, pada hari kejadian iaitu petang Selasa, 27 Disember 2011, beliau merancang untuk menjemput Azilah pulang dari kerja. Ketika bersiap untuk memasukkan barangan ke dalam kereta, beliau memasukkan Arysad terlebih dahulu di kerusi penumpang bahagian belakang dan mengarahkan Ali, anak keduanya untuk masuk ke sebelah kerusi penumpang bahagian kanan. Pada masa itu, Arysad memegang kerusi bahagian hadapan sebelah kiri pemandu manakala sebelah tangan lagi memegang cermin pintu kiri bahagian belakang kereta yang terbuka tingkapnya.

Menurut Nizam, Arysad ketika itu sungguh gembira melambai sepupu-sepupunya yang lain. Tanpa disedari, Ali dikatakan keluar daripada kereta dan membuka pintu sebelah kiri menyebabkan Arysad terjatuh dan terhempas ke lantai simen. Kejadian berlaku di rumah neneknya di Keramat.



Menurut Nizam lagi, sepanjang perjalanan, Arysad menangis dan dipujuk oleh abang sulungnya, Adam. Namun adiknya tetap menangis sehingga sampai di tempat kerja ibunya. Apabila Arysad senyap, Azilah menyangkakan Arysad tidur tetapi apabila sampai dan ingin memandikan Arysad, anak kecil ini terus senyap tidak seperti hari-hari biasa di mana dia akan tersedar apabila terkena air. Bila diperiksa, ada tanda buih di bahagian hidung dan dengan segera Azilah membawanya ke sebuah klinik berhampiran. Pihak klinik selepas memeriksa Arysad, meminta Azilah membawanya ke hospital.

Sesampai di Pusat Perubatan UKM, berlaku sedikit masalah pendaftaran bila mana pihak hospital terlalu mengikut prosedur walaupun pesakit dalam keadaan kritikal. Apabila dirujuk kepada doktor, beliau mengarahkan supaya pesakit segera dibawa ke ICU. Hasil pemeriksaan, doktor mengesahkan berlaku perdarahan di dalam kepala sebelah kanan dan terpaksa ditebuk untuk rawatan. Ketika itu Arysad sudah koma dan tidak bergerak lagi.



Bantuan pernafasan melalui mesin terus diberikan. Harapan untuk hidup yang diberikan oleh doktor sekadar 50 peratus sahaja disebabkan tempoh masa kecederaan yang panjang sebelum mendapat rawatan menyukarkan pesakit untuk selamat.

Menurut Nizam, jam 12.30 tengah hari tadi, doktor telah memanggil kedua ibu bapa untuk menerangkan kedudukan pesakit dan menyatakan bahawa situasi sekarang ialah Arysad bergantung sepenuhnya kepada mesin pernafasan dan meminta Nizam dan Azilah membuat keputusan serta redha dengan ketentuan Ilahi. Akhirnya kedua ibu bapa ini bersetuju untuk tidak menggunakan mesin pernafasan dan proses ini bakal dilakukan selepas Maghrib.



Aku bertanyakan kepada Azilah sekiranya Arysad tidak panjang umur, dimanakah ianya dikebumikan dan Azilah bersetuju untuk membawa pulang jasad Arysad ke rumahnya di Taman Angsana, Cheras walaupun ada permintaan di pihak keluarga Nizam untuk dikebumikan di Keramat. Ini kerana katanya, Arysad bila pulang ke rumahnya, dia akan rasa gembira dan berlari-lari di dalam rumah.

Aku melihat Azilah bengkak matanya mungkin terlalu bersedih dengan situasi yang terjadi tetapi aku percaya adik perempuan aku ni redha dengan ujian Allah SWT dan pasrah dengan ketentuanNya.

Memandangkan sudah lami kami berada di hospital, kami meminta diri untuk pulang. Kami bersalaman dengan Azilah manakala Nizam tiada kerana membawa anak-anaknya makan tengah hari di kantin hospital. Azilah meminta kami datang ke rumah sebelah malam nanti.

Aku mengharapkan semoga Arysad tenang di sisi keluarga tercinta dan dilimpahi rahmat Allah SWT.

Pukul 3.00 petang, dalam perjalanan, kami singgah di sebuah kedai makan sebelum pulang ke Putra Heights.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan