Ahad, Disember 04, 2011

Kursus Asas Siasatan Kehilangan Aset

Pada 23 dan 24 November 2011, aku berpeluang menghadiri Kursus Asas Siasatan Kehilangan Aset anjuran Pejabat Bendahari bersama Unit Latihan, Bahagian Pembangunan Sumber Manusia, Pejabat Pendaftar UTeM.

Kursus ini diadakan di Dewan Seminar FTMK, UTeM dan dihadiri seramai 20 orang peserta. Objektif kursus ialah memberi pengetahuan dan kemahiran kepada pegawai penyiasat dalam aspek penyiasatan kes kehilangan di universiti. Ia juga bertujuan memahami teknik-teknik dan prosedur penyiasatan dalaman serta teknik penyediaan laporan akhir siasatan.

Taklimat kursus disampaikan oleh dua orang pegawai PDRM iaitu Supt. P.R. Gunarajan Ramayal, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen, Melaka dan ASP Md. Dom bin Dollah, Pegawai Turus D10 (Forensik), Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen, Melaka.

Di antara topik yang dibentangkan ialah Pengenalan dan Siasatan Kehilangan, Membuat Laporan/Pengaduan, Rakaman Percakapan, Penyediaan Gambar & Rajah Kasar, Siasatan Forensik dan Penyediaan Laporan Siasatan.

Sepanjang dua hari berkursus, banyak ilmu baru yang dapat dipelajari khususnya cara memulakan siasatan sesuatu kes. Dalam hal ini, repot perlu dibuat sebelum sesuatu siasatan bermula. Proses menerima repot dan cara menulis repot juga diajar kepada para peserta.

Dalam sesuatu kes yang berlaku, sebaiknya perlu ada rajah kasar tempat kejadian dan rakaman foto. Ini bertujuan memberikan gambaran lebih jelas tentang kejadian yang berlaku. Ia juga merupakan satu cara menyegarkan ingatan pegawai penyiasat dan juga saksi-saksi yang terlibat dan juga sebagai bahan penting di mahkamah.

Selain daripada itu, sains forensik amat penting di mana ia merupakan teknik-teknik sains di dalam penyiasatan kes-kes jenayah bagi tujuan menegakkan keadilan. Banyak perkara yang meliputi sains forensik seperti sainskimia, fizik, biologi, matematik, statistik, botani, zoologi dan perubatan.

Banyak keterangan yang boleh membantu di dalam penyiasatan seperti kesan cap jari, DNA, tulisan tangan, tapak kaki atau tayar, ujian balistik, peralatan pecah rumah, peralatan fotofit dan peralatan drug kit adalah sebahagian daripada teknik yang akan digunakan untuk melakukan penyiasatan oleh pihak polis.

Kesimpulannya, lain kes lain cara penyiasatan dan pegawai penyiasat harus peka dengan persekitaran dalam melakukan penyiasatan. Kursus ini memang amat berguna tetapi aku harus meninggalkan kursus ini pada sebelah petang hari kedua kerana terpaksa ke Putrajaya untuk satu lagi urusan kerja di sana.







Tiada ulasan:

Catat Ulasan