Khamis, Disember 29, 2011

Santai Di Bukit Gambang Water Park

Selasa, 27 Disember 2011. Pagi ini anak-anak bangun lewat. Ida sudahpun berada di dapur untuk menyediakan sarapan pagi. Memang mudah bila ada dapur elektrik. Bekalan bahan mentah yang kami bawa seperti ayam dan sayur-sayuran boleh dimasak tanpa mengeluarkan banyak asap. Jimat sedikit perbelanjaan.

Setelah bersarapan, kami bertolak ke Bukit Gambang Water Park (BGWP) yang terletak lebih kurang satu kilometer dari lobi resort. Ada dua pilihan sama ada menaiki kenderaan sendiri atau tram. Kami selesa menggunakan kenderaan sendiri kerana mudah bagi kami mengatur perjalanan.

Pukul 10.45 pagi, kami sudahpun berada di sana. Bayaran masuk untuk dewasa ialah RM21.90 manakala kanak-kanak di bawah ketinggian 90cm atau di bawah umur 12 tahun dikenakan bayaran sebanyak RM14.90. BGWP dibuka pukul 9.30 pagi hingga 6.30 petang.

Kami membuat tempahan cabana, iaitu pondok khas untuk bersantai seisi keluarga. Banyak cabana disediakan di merata tempat di dalam taman tema ini oleh pengurusan BGWP seperti Coco Cabana, River Cabana, Garden Cabana dan Slide Cabana. Kami memilih Penguin Cabana berharga RM45 dengan kemudahan tilam. Segala barangan yang kami bawa kami longgokkan di cabana.

Di sini segala transaksi berlaku tanpa wang tunai. Jika pengunjung ingin menikmati makanan, mereka hanya perlu ke kaunter top-up untuk menambah nilai dengan bayaran tertentu dan segala urusan akan dilakukan tanpa tunai. Ini memudahkan pengunjung daripada membawa wang tunai yang terlalu banyak. Jika ada baki, pengunjung boleh menukar semula nilai sedia ada kepada wang tunai di kaunter pertukaran sebelum meninggalkan BGWP.

Di Penguin Island, Miza, Farhana, Alim dan Farhan seronok menaiki kids slide, mandi-manda dan bermain di children playground serta menunggu diri disimbahi air dari tong besar berbentuk ikan, menyusuri sungai kecil yang berombak dan disirami air serta melalui glacier river.

Farok, Arif dan Ifa pula sukakan permainan 6 lane racer iaitu permainan menggunakan pelapik getah dan turun melalui slide khas. Selain itu ada juga crystal slide, galaxy slide, canopy slide dan family raft ride. Seperti juga mana-mana taman tema, di sini juga disediakan wave pool khusus kepada pengunjung dewasa yang ingin bersantai di atas tube di kawasan kolam.

Setelah penat, kami menjamu selera di gerai makan berhampiran. Makanan di sini sedikit mahal namun demi peraturan yang disediakan oleh pengurusan, pengunjung terpaksa akur.

Pukul 5.30 petang, setelah pihak pengurusan mengumumkan melalui pembesar suara bahawa taman tema bakal ditutup dalam tempoh 30 minit, kelihatan para pengunjung berpusu-pusu memulangkan tube atau pelampung yang disewa, mengemas diri dan ada juga yang masih menikmati makanan ringan seperti ais krim.

Kami bergerak keluar dari BGWP pukul 6.00 petang dan singgah di lobi untuk bergambar. Sebelum pulang, Mak Munah menghadiahkan cucu-cucunya seorang sehelai baju BGRW di Gift Shop.

Kelihatan anak-anak sedikit letih tetapi gembira dapat menikmati keseronokan bermain permainan air di BGWP. Semoga kenangan manis di sini dapat diabadikan sampai bila-bila hendaknya.

Kami bergerak balik ke bilik pukul 7.00 malam.


























































































Tiada ulasan:

Catat Ulasan