Sabtu, Februari 26, 2011

Hajah Munah Menunaikan Umrah

Segala persiapan sudah disediakan. Dari beg pakaian hinggalah kepada keperluan semasa di tanah suci nanti. Begitulah persediaan Hajah Munah untuk ke Mekah bagi menunaikan umrah.

Kali ini beliau mengikuti rombongan De Mawardah Travel & Tours bersama adiknya, Haji Ahmad dan isteri beliau. Jemaah lain juga ramai yang mengikuti pakej umrah ini. Kali terakhir Hajah Munah menunaikan umrah ialah pada 30 Mei 2009 bersama Arif, Yunus dan Sarah.

Pukul 11.58 malam, 18 Februari 2011, ramai tetamu yang merupakan sanak saudara dan jiran-jiran berkumpul di halaman rumah Mak Munah. Azan berkumandang dan dilaungkan oleh Pak Long Latip. Sebaik selesai azan, Mak Munah menaiki kereta Naza Ria Zaki. Kami sekeluarga menyusul kemudian.

Mengikut jadual yang dikeluarkan oleh agen, semua jemaah harus berada di KLIA pada jam 3.00 pagi, 19 Februari 2011 dan penerbangan menggunakan Garuda Airlines akan berlepas ke Jakarta pada jam 7.45 pagi sebelum transit dan berlepas ke Jeddah pada jam 12.30 tengah hari.

Pukul 2.30 pagi, kami berehat di Stesen Petronas KLIA sebentar sebelum bergerak ke Balai Berlepas, Aras 5 KLIA pada jam 3.30 pagi. Akhirnya setelah menurunkan penumpang, aku meletakkan kereta di tempat letak kereta KLIA. Pukul 4.45 pagi, proses check-in bagasi dilakukan dan kemudian taklimat tentang perjalanan disampaikan oleh wakil agen di suatu sudut di ruang terbuka KLIA.

Sebaik selesai sembahyang Subuh, semua jemaah berkumpul bersama ahli keluarga masing-masing. Kemudian jemaah mula bersalaman dan berpelukan dengan sanak saudara kerana mereka akan bertolak sebentar lagi.

Sebaik mengiringi jemaah, aku disapa seseorang yang aku kenali. Azlina Azhari, Pegawai Kewangan Kanan, Pejabat Bendahari, UTeM yang turut sama menghantar ibu saudaranya menunaikan umrah menggunakan agen yang sama.

Jam 7.00 pagi, Mak Munah bersama jemaah-jemaah lain memasuki balai berlepas dan kami hanya melambaikan tangan kepada beliau sebagai tanda selamat jalan.

Sebaik hilang kelibat Mak Munah dari pandangan mata, aku lihat Ida dan Miza mengalirkan air mata. Aku faham situasi isteri dan anak aku yang terasa dengan perpisahan ini tetapi aku cuba menenangkan keduanya. Aku memujuk Miza dan memaklumkan perpisahan ini hanya dua minggu sahaja. Beliau bersetuju tetapi masih belum boleh menerima kenyataan tersebut.

Jam 8.30 pagi, kami bertolak pulang ke Melaka setelah menjamah bekalan yang dibawa di tempat letak kereta Masjid KLIA. Semalaman aku tidak dapat melelapkan mata dan pagi itu aku terus memandu walaupun penumpang di kiri dan belakang aku semuanya lelap. aku sampai di Melaka pada jam 10.20 pagi.

Pakej umrah yang disertai oleh Mak Munah ini tempohnya ialah 2 minggu. Beliau bersama jemaah lain dijangka tiba di KLIA pada 4 Mac 2011, jam 8.10 malam menggunakan Garuda Airlines.

Semoga perjalanan Mak Munah bersama jemaah lain selamat dan mendapat umrah yang mabrur.




























Tiada ulasan:

Catat Ulasan