Jumaat, September 30, 2011

Sambutan Eidulfitri Peringkat UTeM

Majlis Sambutan Eidulfitri 1432H Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah diadakan pada 20 September 2011 bersamaan 22 Syawal 1432H bertempat di Perkarangan Dewan Besar, UTeM.

Majlis yang diselenggarakan oleh Pusat Islam ini merupakan aktiviti tahunan universiti dan ianya bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara jemputan dan warga kampus.



Tetamu khas pada majlis ini ialah TYT Tun Datuk Seri Utama Mohd Khalil Yaakob merangkap Canselor UTeM. Pelbagai juadah disediakan oleh PTj dan fakulti di khemah masing-masing mengikut tema negeri.

Seawal jam 7.00 pagi, para petugas sudahpun mengambil tempat bagi menghias khemah atau gerai masing-masing.

Bagi perpustakaan, gerai kali ini bertemakan gerai negeri Terengganu. Jadi makanan yang disediakan ialah keropok lekor dan keropok keping. Jawatankuasa Jamuan membawa perkakasan seperti tong gas, dapur, pisau, sudip dan lain-lain bagi memudahkan kerja menggoreng keropok. Kerja bergotong-royong sungguh menyeronokkan dan dari sini ternampak kemesraan di kalangan staf perpustakaan.



Pukul 10.30 pagi, pegawai-pegawai kanan UTeM sudahpun tiba di lokasi majlis. Mereka menunggu kehadiran Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Dr. Ahmad Yusoff Hassan. Jam 10.40 pagi, Pengerusi Lembaga Pengarah UTeM, Datuk Ir. (Dr.) Hj. Ahmad Zaidee Laidin dan Pro Canselor UTeM, Tan Sri Datuk Dr. Johari Mat tiba di lokasi berkenaan.

Pukul 11.00 pagi, Tun Canselor UTeM, TYT Tun Datuk Seri Utama Mohd. Khalil Yaakob bersama isterinya tiba. Sebaik sampai, majlis diteruskan dengan ucapan aluan oleh Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Dr. Ahmad Yusoff Hassan.

Aturcara seterusnya ialah lawatan ke gerai-gerai oleh TYT, Ahli Lembaga Pengarah UTeM, Naib Canselor dan pegawai-pegawai kanan universiti.

Sempena Majlis Sambutan Eidulfitri 1432H ini, diadakan beberapa pertandingan gerai bagi menampakkan kerjasama yang lebih erat di kalangan PTj dan fakulti. Kategori pertandingan ialah Gerai Paling Ceria dan Tercantik, Gerai Menu Paling Digemari, Gerai Staf Paling Bekerjasama dan Gerai Perkhidmatan dan Layanan Terbaik.

Perpustakaan memenangi kategori Gerai Menu Paling Digemari iaitu keropok. Di antara kriteria yang dinilai dalam kategori ini ialah cara penyediaan dan persembahan makanan dan minuman, keenakan rasa, bilangan pengunjung paling ramai serta kebersihan penyediaan makanan.Hadiah disampaikan oleh TYT Tun Canselor sebelum majlis berakhir pad jam 1.00 tengah hari.

Sesungguhnya Majlis Sambutan Eidulfitri 1432H Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) ini telah berjaya merapatkan silaturrahim di kalangan staf dan pelajar UTeM di mana ianya bukan sahaja disambut oleh kalangan warga beragama Islam malah turut diraikan oleh mereka yang bukan beragama Islam.











































Persiapan Gerai Sambutan Hari Raya

Bagi menjayakan persiapan Majlis Sambutan Eidulfitri 1432H. Peringkat UTeM, beberapa fakulti dan jabatan diberikan sedikit peruntukan oleh universiti untuk membuat persiapan di gerai masing-masing. Penganjurnya iaitu Pusat Islam akan mengatur apakah jenis makanan yang akan dihidangkan kepada tetamu semasa majlis berlangsung nanti.

Bagi perpustakaan, menu yang ditetapkan ialah aneka keropok iaitu keropok lekor dan keropok keping dan gerai kami mewakili gerai Negeri Terengganu Darul Iman. Jawatankuasa sambutan peringkat jabatan diketuai oleh Zaidi Saad dan dibantu oleh Mohd Mawardi Badruddin. Aku dilantik untuk mengetuai persiapan jamuan manakala Hasliza Mohamad pula mengetuai persiapan gerai dan keceriaan.



Perjumpaan pertama jawatankuasa ialah pada 14 September 2011 dan perjumpaan seterusnya ialah pada 15 September 2011. Dalam kedua perbincangan ini, jawatankuasa banyak membincangkan tentang kerjasama dalam mendapatkan barangan atau peralatan buat persiapan sama ada untuk keceriaan maupun jamuan. Memang ramai ahli jawatankuasa yang sudi menawarkan barangan milik peribadi mereka untuk membantu menjayakan program universiti ini.

Pada hari Isnin, 19 September 2011, jam 10.00 pagi, ahli jawatankuasa berkumpul buat kali terakhir di Bilik Mesyuarat, Unit Perolehan bagi membincangkan jumlah peralatan sedia ada dan strategi dalam membuat persiapan terakhir di gerai nanti. Sebaik perbincangan berakhir, ahli-ahli jawatankuasa yang dilantik terus melaksanakan tugas yang telah diamanahkan kepada mereka.

Ada di kalangan jawatankuasa menaiki van mencari buluh untuk dibuat hiasan pada khemah, ada yang membawa peralatan memasak, ada juga yang melukis untuk hiasan di gerai serta tidak terketinggalan ramai juga yang memberikan idea-idea yang bernas.




























Pukul 2.15 petang, kami bergerak ke tapak majlis iaitu di parkir Dewan Besar UTeM. Setelah mengenalpasti khemah yang ditetapkan oleh urusetia, kami menyusun buluh-buluh untuk dibuat pagar. Kerja-kerja memotong buluh dibuat oleh M. Jefridzain Jaafar atau abang Jep. Yang lain-lain membantu dari segi mengikat buluh dengan kawat, memasang scallop pada khemah dan menyusun meja. Dari segi kerjasama, memang terbaik kerana banyak idea yang disumbangkan oleh mereka.

Pukul 5.30 petang, apabila gerai hampir siap, aku meminta diri untuk menjemput anak-anak balik sekolah agama. Persiapan diteruskan dengan pemantauan daripada pengerusi jawatankuasa, Zaidi Saad sehingga siap.