Khamis, Oktober 27, 2011

Menghadiri Persidangan Key Performance Indicator (CKPI 2011) Di UTM Skudai

1st PERPUN International Conference and Workshop On Key Performance Indicators For Libraries 2011 (CKPI 2011) merupakan satu persidangan dan bengkel yang dianjurkan oleh Perpustakaan Sultanah Zanariah, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan berlangsung selama dua hari iaitu dari 17 hingga 19 Oktober 2011 di Dewan Sultan Iskandar, UTM Skudai, Johor.



Lebih daripada 100 orang peserta dari dalam dan luar negara terlibat menjayakan persidangan dan bengkel ini. Peserta-peserta ini datangnya dari Malaysia, Filipina, Brunei, Singapura, Hong Kong dan Jerman. Mereka adalah pustakawan, penerbit buku dan professional maklumat yang mewakili pelbagai institusi maklumat seperti perpustakaan awam, perpustakaan akademik dan swasta, penerbit dan pembekal buku. Sepanjang tempoh persidangan dan bengkel, sejumlah 10 orang pembentang kertas kerja telah membentangkan 7 kertas kerja masing-masing mengikut tema-tema yang disediakan.

Objektif persidangan dan bengkel ini diadakan ialah bagi menyediakan satu platform yang cemerlang untuk peserta bertukar-tukar pandangan dan kepakaran dalam bidang Petunjuk Prestasi Utama (KPI). Di samping itu ia juga menjadi tempat untuk mencadangkan idea-idea yang segar dan inovatif serta berkongsi pengalaman mengenai amalan terbaik untuk perkhidmatan sesebuah organisasi. Selain daripada itu, ia juga untuk memperkenalkan BS ISO 11620:2008 sebagai petunjuk prestasi yang akan digunakan oleh semua jenis perpustakaan khususnya di Malaysia.

Tema persidangan ialah "Embedding KPI Strategies : Transforming Libraries Toward Excellence". Tema ini dipilih seiring dengan usaha kerajaan untuk memastikan KPI menjadi faktor kritikal kejayaan dalam mengukur prestasi perpustakaan akademik berdasarkan matlamat setiap organisasi. Prestasi dan produktiviti organisasi boleh dicapai dan dipertingkatkan melalui pengurusan yang efektif dan efisien. Pengurusan yang efektif memerlukan suatu pendekatan yang sistematik dalam mengukur prestasi dan produktiviti organisasi dan staf di dalam organisasi tersebut.



Aku dan Norshahila Che Din mewakili Perpustakaan UTeM ke persidangan tersebut tanpa mengikuti lawatan ke NUS pada 19 Oktober 2011. Tentatif program adalah seperti berikut:

ISNIN, 17 OKTOBER 2011

8:00 - 9:00 pagi - Pendaftaran

9:00 - 10:00 pagi - Sesi Pembukaan
- Ketibaan tetamu kehormat, Datin Dr. Zainah Mokhtar
- Bacaan doa
- Ucapan aluan oleh Pengerusi Persidangan, Pn. Kamariah Nor Mohd Desa
- Ucapan khas oleh tetamu kehormat, Datin Dr. Zainah Mokhtar
- Montaj persidangan
- Lawatan ke pameran

10:20 - 10:50 pagi - Ucaptama
Datuk Farida Mohd. Ali
Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan), Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia

SESI I
TEMA : KPI DAN KEPIMPINAN
Pengerusi Sesi: Amir Hussain Md. Ishak, Pengerusi PERPUN/Ketua Pustakawan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Malaysia

11:00 - 11:30 pagi - Tajuk: Impact and Challenges of Implementing BS11620 as Key Performance Indicators in an Organization
Pembentang : Barbara Lison
Director, Bremen Public Libraries, Germany

11:40 - 12:10 t/hari - Tajuk: Implementing KPI : The Human Capital Commitment
Pembentang: Dr. Hajah Zahrah Mokhtar
Pendaftar, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Malaysia

12:20 - 12:50 t/hari - Tajuk: Using KPIs to Track and Meet User Needs : The NLB Singapore’s Experience
Pembentang: Ngian Lek Choh
Director, National Library, Singapore

James Er Jwee Chaw
Assistant Director, Corporate Planning Services
National Library, Singapore

SESI II
KPI: MENGUBAH PERPUSTAKAAN KE ARAH KECEMERLANGAN
Pengerusi Sesi: Margaret Simeng, Ketua Pustakawan, Universiti
Malaysia Sarawak (UNIMAS), Malaysia

2:10 - 2:40 petang - Tajuk : Implementing the Balanced Scorecard to Facilitate Strategic Management in a Public University
Pembentang : Professor Dr. Azlan Abdul Rahman
Director
Office of Corporate Affairs
Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Malaysia

Associate Professor Dr. Mohd Ariffin Abu Hassan
Deputy Director of University Social Responsibility (USR)
& Strategic Planning and Management
Office of Corporate Affairs
Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Malaysia

2:50 - 3:20 petang - Tajuk: All For One Excellence : Setting Targets and Measuring Success at NUS Libraries
Pembentang: Lee Cheng Ean
Associate University Librarian (Resources)
National University of Singapore (NUS), Singapore

3:30 - 4:00 petang - Tajuk : Discovering the Right Key Performance Indicator in Libraries : A Review of Literatures
Pembentang : Amir Hussain Md. Ishak
Pengerusi PERPUN /Ketua Pustakawan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Malaysia.

Mohd Dasuki Sahak, Universiti Putra Malaysia (UPM), Malaysia

4:10 - 4:40 petang - Tajuk : Leadership Skills in Relation to Library Leaders’ Key Performance Index
Pembentang : Kamariah Nor Mohd Desa
Ketua Pustakawan, Universiti Teknologi Malaysia, Malaysia

Profesor Madya Dr. Norliya Ahmad Kassim
Universiti Teknologi MARA (UiTM), Malaysia


SELASA, 18 OKTOBER 2011

8:30 - 10:00 pagi - Workshop on Implementing BS ISO 11620:2008 : Understanding on
Performance Indicators for Activities and Services Provided by Libraries
Moderator : Barbara Lison

10:30 - 12:10 pagi - Workshop on Implementing BS ISO 11620:2008 : Understanding on
Performance Indicators for Activities and Services Provided by Libraries
Moderator : Barbara Lison

2:00 - 4:30 petang - Workshop on Implementing BS ISO 11620:2008 : Understanding on
Performance Indicators for Activities and Services Provided by Libraries
Moderator : Barbara Lison

4.45 petang - Majlis Penutup 1st PERPUN Conference 2011 dan Pengenalan Kepada Hos 2nd Conference 2012 - UNIMAS




























Isnin, Oktober 24, 2011

Karnival Keh Seng

Ahad, 16 Oktober 2011. Jam 11.00 pagi, aku membawa Miza dan Alim ke sekolahnya di SJK (C) Keh Seng, Bukit Baru, Melaka.

Hari ini sekolahnya mengadakan Hari Kantin atau Karnival Keh Seng. Sejak beberapa bulan lalu, pelajar-pelajar diminta menjual kupon bagi tujuan menambahkan tabungan sekolah. Setiap pelajar diberikan 10 kupon dan setiap kupon berharga RM10.00.

Alim dan Miza memang bersemangat untuk ke karnival tersebut. Ifa sudahpun berada di sekolah lebih awal bagi membantu guru-guru membuat persiapan. Beliau menguruskan kaligrafi.

Sebelum itu, pada sebelah pagi, Karnival Keh Seng ini telah dirasmikan oleh YAB Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Ketua Menteri Melaka. Beliau adalah ADUN di kawasan tersebut.

Sewaktu kami sampai memang banyak gerai yang dibuka tetapi tidak banyak gerai yang kami boleh beli kerana tidak halal. Kami berjalan dari satu gerai ke satu gerai dan aku membelikan Alim dan Miza minuman dan alat tulis.

Pukul 12.15 tengah hari, kami ke Jusco Lebuh Ayer Keroh kerana membelikan makanan dan minuman untuk Ifa, Miza dan Alim.

Lepas Asar aku harus bergerak ke UTM Skudai untuk menghadiri Persidangan berkaitan KPI.

















Ucapan TPM - Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2011


























TEKS UCAPAN

YAB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD.YASSIN
TIMBALAN PERDANA MENTERI
MERANGKAP PENGERUSI JAWATANKUASA INDUK BULAN BAHASA KEBANGSAAN 2011

DI MAJLIS PELANCARAN BULAN BAHASA KEBANGSAAN 2011
PADA 13 OKTOBER 2011; PUKUL 9.00 PAGI
BERTEMPAT DI UNIVERSITI TEKNIKAL MALAYSIA MELAKA


Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.

1. Terlebih dahulu, marilah kita memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya jua, kita dapat berhimpun bersama-sama dalam Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2011. Bersempena dengan majlis ini, saya selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Bulan Bahasa Kebangsaan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Melaka, khususnya YAB Datuk Seri Mohd. Ali Rustam, Ketua Menteri Melaka, yang sudi menjadi tuan rumah sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan pada tahun ini. Saya juga mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri Melaka yang telah melancarkan Bulan Bahasa Kebangsaan di setiap daerah. Ini adalah satu inisiatif yang amat baik dalam usaha kita untuk menyemarakkan semangat cinta kepada bahasa Kebangsaan di segenap lapisan masyarakat di negara kita.

2. Bulan Bahasa Kebangsaan yang kita raikan saban tahun bukan sekadar satu acara tahunan. Lebih dari itu, sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan adalah sebahagian daripada rantaian perjuangan yang panjang dalam memartabatkan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa ilmu dan bahasa perpaduan di negara kita. Saya katakan satu perjuangan kerana bahasa Melayu tidak akan berada pada darjat yang semulia ini tanpa perjuangan para pejuang bangsa kita yang terdahulu.

3. Ketika negara kita masih di bawah penjajahan Inggeris, bahasa Inggeris berada pada kedudukan yang amat tinggi. Ianya digunakan dalam segala urusan rasmi dan juga sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah Inggeris. Mereka yang mengikuti pendidikan Inggeris biasanya mendapat peluang pekerjaan dan peluang ekonomi yang lebih baik berbanding mereka yang bersekolah aliran Melayu dan aliran bahasa ibunda yang lain.

4. Namun, di luar lingkungan pejabat kerajaan dan sekolah-sekolah Inggeris, bahasa yang digunakan secara meluas bukanlah bahasa Inggeris, tetapi bahasa Melayu dan juga bahasa ibunda kaum-kaum lain. Oleh kerana peluang ekonomi dan status sosial dikaitkan dengan kemahiran berbahasa Inggeris, maka hanya seglintir sahajalah yang mendapat peluang untuk memajukan diri dengan menguasai bahasa Inggeris. Sebahagian besar penduduk Tanah Melayu ketika itu terus dicengkam kemunduran.

5. Apabila negara kita mencapai kemerdekaan, para pemimpin kita yang terdahulu telah bersepakat menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan bahasa rasmi negara, sementara bahasa-bahasa ibunda yang lain boleh digunakan di luar urusan rasmi. Dalam konteks Tanah Melayu sebagai sebuah negara pasca-kolonial pada ketika itu, penerimaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dilihat amat penting dalam usaha memupuk perpaduan kaum dan membina sebuah negara bangsa yang bersatu padu. Bermula dengan termaktubnya Fasal 152 Perlembagaan Persekutuan, diikuti dengan penggubalan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1959, kemudiannya Akta Bahasa Kebangsaan pada tahun 1967, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi telah terpahat kukuh dalam perlembagaan dan undang-undang negara.

6. Namun, perjuangan memartabatkan bahasa Melayu tidak terhenti setakat itu sahaja. Kedudukan bahasa Melayu kemudiannya dimantapkan lagi dengan pelaksanaan Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan kebangsaan. Sekolah-sekolah yang dahulunya menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar telah diwajibkan menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya. Manakala sekolah-sekolah vernakular dibenar menggunakan bahasa ibunda masing-masing dengan harapan suatu hari nanti sekolah-sekolah ini juga akan menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama.

7. Pada peringkat awalnya, terdapat suara-suara yang tidak yakin dengan kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah. Ada yang menganggap bahasa Melayu adalah bahasa yang mundur. Bagi mereka bahasa Melayu tidak akan mampu mengungkapkan konsep-konsep ilmu moden yang diperlukan oleh bangsa kita untuk maju.

8. Andaian golongan ini ternyata meleset. Semenjak bahasa Melayu digunakan sebagai pengantar dalam sistem pendidikan kita, termasuk pada ketika itu di Universiti Malaya dan kemudiannya Universiti Kebangsaan Malaysia, berbondong-bondong pelajar dari segenap ceruk rantau berjaya memasuki universiti. Peluang melanjutkan pelajaran ke universiti bukan lagi menjadi milik ekslusif anak-anak golongan bangsawan dan hartawan, tetapi juga menjadi milik anak-anak petani, anak-anak nelayan, pekebun, peniaga kecil, pekerja estet, buruh kasar, guru, kerani dan lain-lain. Mereka mempelajari ilmu-ilmu moden dalam bahasa Melayu dan kemudiannya menguasai bahasa Inggeris.

9. Mereka inilah kemudiannya menjadi generasi awal rakyat tempatan yang mengisi keperluan tenaga kerja dalam sektor profesional. Dengan mendapat peluang pendidikan yang berkualiti dalam bahasa kebangsaan, anak-anak bangsa kita telah berjaya memajukan diri dan menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negara yang pesat.

10. Jelasnya, pemeluasan kelas menengah secara besar-besaran dan kemajuan pesat negara kita dicapai selepas bahasa kebangsaan menggantikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan kita. Bukankah ini satu bukti yang terang lagi nyata tentang kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa kemajuan. Janganlah kerana ketaksuban kita kepada bahasa asing menyebabkan kita mempunyai pandangan yang juling terhadap bahasa kebangsaan kita sendiri.

11. Sebetulnya juga, banyak negara-negara yang telah maju, atau yang sedang berkembang maju, berjaya menempa kemajuan tanpa meminggirkan bahasa kebangsaan masing-masing. Negara-negara ini mementingkan penguasaan bahasa Inggeris, tetapi tidak sekali-kali menggantikan tempat bahasa kebangsaan mereka dengan bahasa Inggeris. Malah, daripada lapan ekonomi gergasi dunia, iaitu negara-negara G7 dan China, hanya tiga buah negara sahaja, iaitu Amerika Syarikat, United Kingdom dan Kanada yang rakyatnya berbahasa Inggeris. Malah rakyat Kanada juga sebahagiannya berbahasa Perancis, manakala di United Kingdom sebahagian rakyatnya berbahasa Welsh, Scottish dan Irish.

12. Dalam kalangan negara-negara Brazil, Russia, India dan China atau BRIC, iaitu negara-negara yang sedang berada pada tahap kemajuan ekonomi paling rancak, hanya India sahaja tidak mengekalkan bahasa sendiri. Kebanyakan negara-negara Nordik yang maju juga mengekalkan bahasa masing-masing. Daripada empat negara Ekonomi Perindustrian Baru di Asia Timur, hanya Singapura sahaja yang tidak mengekalkan bahasa ibunda.

13. Jika kita meneliti perkembangan di negara-negara yang sudah maju, atau yang sedang berkembang maju, kita akan dapati bahawa bahasa Inggeris adalah satu bahasa yang penting, tetapi bukanlah satu-satunya bahasa yang menjamin kemajuan. Negara China tidak menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikannya semata-mata kerana mahu meraih laba globalisasi. Mereka menyanjungi bahasa kebangsaan negara mereka, malah menghormati bahasa kebangsaan negara-negara lain.

14. Ketika saya melawat negara China baru-baru ini, mereka meminta saya supaya bertutur dalam bahasa Melayu yang kemudiannya diterjemahkan ke dalam bahasa Cina, walaupun mereka boleh berbahasa Inggeris. Ini menunjukkan betapa sebuah negara yang telah menempa kemajuan, sebuah negara yang telah berjaya membina peradaban sejak ribuan tahun lampau, menghormati bahasa kebangsaan.

15. Saya percaya, yang penting ialah sikap kita terhadap bahasa kebangsaan. Kita perlu yakin dengan kemampuan bahasa kebangsaan kita sendiri sebagai bahasa ilmu dan bahasa kemajuan. Kerana itu, Dasar Pendidikan Kebangsaan menetapkan bahasa kebangsaan adalah bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan di negara kita. Bayangkan sekiranya bahasa kebangsaan tidak lagi digunakan di sekolah dan di universiti. Perkembangan bahasa kebangsaan pastinya akan terbantut dan tamatlah riwayat bahasa kita sebagai bahasa ilmu.

16. Apabila bahasa kita tidak lagi mempunyai apa-apa nilai yang dikaitkan dengan ilmu dan kemajuan, lama-kelamaan ianya akan menjadi bahasa pasar atau bahasa jalanan sahaja. Lebih malang sekiranya bahasa kita tidak lagi dipertuturkan orang dan pupus begitu sahaja. Pupus bahasa, pupuslah bangsa. Saya menimbulkan kebimbangan ini bukan kerana mahu bersikap pesimis terhadap nasib masa depan bahasa kebangsaan. Tetapi bak kata pepatah Melayu, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.

17. Sebagai Menteri Pelajaran, saya memikul satu amanah yang berat untuk terus mempertahan dan memperkukuhkan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang memartabatkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama. InsyaAllah, dengan sokongan anda semua, amanah ini akan saya galas sedaya upaya saya.

Angin berputar ombak bersahut
Membujur lalu melintang patah
Usahlah kita kelam kelibut
Amanah bangsa dijulang megah

18. Dalam melestarikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, peranan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar perlu diperluaskan ke peringkat pengajian tinggi. Ketika berkunjung ke Universiti Kebangsaan Malaysia baru-baru ini, saya menegaskan tentang peri pentingnya Universiti Kebangsaan Malaysia, yang ditubuhkan di atas semangat dan keringat para pejuang bahasa, supaya mempertahankan peranan dan fungsi asalnya sebagai insitusi keilmuan yang memartabatkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Sehubungan itu, saya menyarankan supaya UKM terus melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Melayu, termasuk dalam bidang sains dan teknologi, serta menggalakkan para pensyarah menerbitkan karya-karya ilmiah dalam bahasa Melayu. Usaha ini perlu juga dicontohi oleh universiti-universiti lain.

19. Kita memahami bahawa penerbitan dalam bahasa Inggeris adalah penting untuk meningkatkan penarafan universiti di peringkat antarabangsa. Tetapi ini tidak bermakna kita harus meminggirkan penerbitan karya-karya ilmiah dalam bahasa Melayu. Adalah lebih baik sekiranya karya-karya ilmiah, terutamanya dalam bidang sains dan teknologi diterbitkan dalam bahasa Melayu untuk tatapan rakyat terbanyak. Dengan itu akan berlakulah limpahan ilmu yang lebih luas dalam kalangan masyarakat yang pastinya akan mendorong lebih banyak cetusan kreativiti dan inovasi rakyat.

20. Pada masa kini, daripada hampir 15,700 judul buku yang diterbitkan di negara kita, hanya terdapat sekitar 3,900 judul buku sains dan teknologi. Jumlah buku ilmiah dalam bidang sains dan teknologi yang bertaraf ilmu tinggi dalam bahasa Melayu adalah amat sedikit. Sekiranya kita benar-benar mahu menyebarluaskan fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, terutamanya dalam bidang sains dan teknologi, maka jumlah buku-buku ilmiah sains dan teknologi dalam bahasa Melayu perlu diperbanyakkan.

21. Sehubungan itu, sukacita saya mengumumkan kerajaan melalui Dewan Bahasa dan Pustaka, akan mewujudkan dana berjumlah 2 juta ringgit bermula tahun 2012 untuk menggalakkan penerbitan buku-buku ilmiah sains dan teknologi bertaraf ilmu tinggi dalam bahasa Melayu. Setiap penulis yang menghasilkan buku-buku ini yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka akan menerima ganjaran sebanyak RM20,000 selain bayaran royalti yang biasa diterima. Pihak Dewan Bahasa dan Pustaka akan menentukan karya-karya yang layak diterbitkan berdasarkan manuskrip yang dihantar dan memberi ganjaran kepada penulis yang berjaya.

22. Selain memperkasakan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, fungsinya sebagai bahasa rasmi, khususnya dalam pentadbiran dan urusan rasmi kerajaan, perlu dimantapkan. Sehubungan itu, kabinet telah bersetuju supaya semua penjawat awam diwajibkan menggunakan bahasa kebangsaan dalam segala urusan rasmi sama ada mesyuarat, surat-menyurat, seminar dan lain-lain. Untuk memastikan arahan ini dipatuhi, Pekeliling Perkhidmatan berkaitan Panduan Penggunaan Bahasa Kebangsaan Dalam Perkhidmatan Awam akan dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam.

23. Penguatkuasaan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul di tempat-tempat awam juga perlu diberikan perhatian utama oleh pihak-pihak berkuasa tempatan. Pada kesempatan ini, saya ingin merakamkan penghargaan kepada dua pihak berkuasa tempatan, iaitu Majlis Perbandaran Melaka Bandar Raya Bersejarah dan Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur yang telah mewajibkan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul pada papan-papan iklan di tempat awam. Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada kedua-dua pihak berkuasa tempatan ini atas komitmen yang ditunjukkan dalam usaha untuk menguatkuasakan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul.

24. Syarikat-syarikat berkaitan kerajaan juga perlu turut sama menyebarluaskan penggunaan bahasa kebangsaan dalam organisasi masing-masing. Saya menyeru syarikat-syarikat berkaitan kerajaan supaya turut memainkan peranan penting dalam usaha memperkasa bahasa kebangsaan dalam segala urusan syarikat. Sewajarnya syarikat-syarikat berkaitan kerajaan mempelopori usaha menyokong agenda nasional untuk memartabatkan bahasa kebangsaan dalam bidang-bidang berkaitan perbankan, kewangan, perdagangan, perniagaan, pembuatan dan lain-lain perkhidmatan. Sama-samalah kita berganding bahu dalam menjayakan usaha memperluaskan penggunaan bahasa kebangsaan di negara kita.

25. Anggota masyarakat juga perlu sentiasa mempunyai sikap yang positif terhadap bahasa kebangsaan. Ini bermakna, kita perlu memupuk rasa cinta dan bangga terhadap bahasa kebangsaan. Ungkapan “Bahasa Jiwa Bangsa” perlu benar-benar dijiwai oleh kita semua supaya kita merasakan bahawa bahasa kebangsaan adalah milik kita bersama. Justeru, saya amat berharap agar kempen Bulan Bahasa Kebangsaan ini dapat memupuk sikap positif rakyat terhadap bahasa kebangsaan.

26. Akhir kata, saya selaku pengerusi Jawatankuasa Induk Bulan Bahasa Kebangsaan 2011 merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan pada tahun ini. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada penerima Anugerah Tokoh Bahasa Melayu Antarabangsa, Professor Wu Zong Wu, Pengarah Pusat Pengajian Melayu China, Beijing Foreign Studies University, atas sumbangan besar beliau terhadap usaha mengembangkan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa, khususnya di negara China. Mudah-mudahan dengan sumbangan yang beliau curahkan ini, bahasa Melayu akan terus unggul di persada dunia.

Dengan lafaz “Bismillahirrahmanirrahim” saya dengan sukacitanya melancarkan Bulan Bahasa Kebangsaan 2011.

Wabillahi al-taufiq wal hidayah wassalamu’alaikum wa rahmatullahi wabarakatuh

14 Oktober 2011/16 Zulkaedah 1432

Jumaat, Oktober 21, 2011

Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2011

Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2011 Peringkat Kebangsaan telah diadakan di Dewan Besar UTeM, Durian Tunggal, Melaka pada 13 Oktober 2011.

Majlis ini telah dirasmikan oleh YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Haji Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan dihadiri lebih 3000 orang yang terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta, sekolah-sekolah, NGO berkaitan bahasa dan orang-perseorangan.

Turut hadir ialah Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Dato' Seri Utama Dr. Rais Yatim, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua Pengarah DBP, Dato' Hj. Termuzi Hj. Abdul Aziz. Ketua Menteri Melaka diwakili oleh Datuk Gan Tian Loo, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Belia dan Sukan.





















Berikut adalah petikan daripada Berita Harian Online, 14 Oktober 2011

Wajib Bahasa Melayu

Kerajaan keluar pekeliling urusan rasmi penjawat awam mesti guna bahasa kebangsaan

DURIAN TUNGGAL: Semua penjawat awam diwajib menggunakan bahasa kebangsaan dalam segala urusan rasmi dan pentadbiran kerajaan termasuk ketika bermesyuarat, surat-menyurat atau seminar. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata Kabinet bersetuju dengan keputusan itu bagi memantapkan peranan bahasa Melayu selain memperkasakannya sebagai bahasa ilmu. "Bagi memastikan arahan ini dipatuhi, Pekeliling Perkhidmatan berkaitan Panduan Penggunaan Bahasa Kebangsaan Dalam Perkhidmatan Awam akan dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam," katanya ketika melancarkan sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan peringkat kebangsaan 2011 di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di sini, semalam.

Beliau berkata, sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan adalah sebahagian daripada rantaian perjuangan yang panjang dalam memartabatkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa ilmu dan bahasa perpaduan di negara ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran turut meminta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) memainkan peranan penting memperkasakan bahasa kebangsaan dalam segala urusan syarikat.

“GLC sewajarnya mempelopori usaha menyokong agenda nasional untuk memartabatkan bahasa kebangsaan dalam bidang berkaitan perbankan, kewangan, perdagangan, perniagaan, pembuatan dan lain-lain perkhidmatan,” katanya.
Katanya, Malaysia wajar mencontohi sikap beberapa negara maju dan sedang berkembang maju yang tidak meminggirkan bahasa kebangsaan masing-masing, meskipun masih mementingkan penguasaan bahasa Inggeris.

Malah, katanya, daripada lapan ekonomi gergasi dunia iaitu negara G7, dan China, hanya tiga negara iaitu Amerika Syarikat, United Kingdom dan Kanada yang rakyatnya berbahasa Inggeris. Rakyat Kanada juga sebahagiannya berbahasa Perancis manakala di United Kingdom sebahagian rakyatnya berbahasa Welsh, Scottish dan Irish.

“Di Brazil, Russia, India dan China (BRIC) iaitu negara yang berada pada tahap kemajuan ekonomi paling rancak, hanya India tidak mengekalkan bahasa sendiri. Kebanyakan negara Nordik yang maju, juga mengekalkan bahasa masing-masing.

“Daripada empat negara Ekonomi Perindustrian Baru Asia Timur, hanya Singapura tidak mengekalkan bahasa ibunda. Jika kita teliti perkembangan negara-negara berkenaan, kita dapati bahasa Inggeris adalah bahasa penting tetapi bukanlah satu-satunya bahasa yang menjamin kemajuan.

“China tidak menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikannya semata-mata kerana mahu meraih laba globalisasi. Mereka menyanjungi bahasa kebangsaan mereka dan menghormati bahasa kebangsaan negara lain,” katanya.

Sempena majlis itu, Pengarah Pusat Pengajian Melayu Universiti Pengajian Bahasa-Bahasa Asing Beijing (BFSU) China, Profesor Wu Zongyu dianugerahkan Tokoh Pejuang Bahasa Melayu Antarabangsa sekali gus menerima hadiah wang tunai RM50,000, watikah penghormatan negara dan buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Hadir sama Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin; Exco kerajaan negeri mewakili Ketua Menteri, Datuk Gan Tian Loo dan Ketua Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abdul Aziz.

Muhyiddin juga mengumumkan penyediaan dana kerajaan menerusi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebanyak RM2 juta untuk menggalakkan penerbitan buku ilmiah sains dan teknologi bertaraf ilmu tinggi dalam bahasa Melayu.

Setiap penulis yang menghasilkan buku jenis berkenaan yang diterbitkan oleh DBP akan menerima ganjaran sebanyak RM20,000 selain bayaran royalti yang biasa diterima. DBP akan menentukan karya yang layak diterbitkan berdasarkan manuskrip dihantar dan memberi ganjaran kepada penulis berjaya.

Sementara itu, Rais berkata, menteri, timbalan menteri serta pemimpin pada peringkat negeri digalak bertutur dalam bahasa Melayu ketika menyampaikan ucapan di samping berusaha memberi pesanan ringkas mengenai kepentingan masyarakat mempertahankannya sebagai bahasa rasmi negara.