Isnin, September 10, 2012

Majlis Persaraan Abu Hassan

Petang tadi kami meraikan persaraan Abu Hassan Shamsudin, Pembantu Perpustakaan Kanan dalam sebuah majlis ringkas di Ayer Keroh Country Resort, Melaka. Ianya disekalikan dengan majlis meraikan pertukaran Mohd Shahar Akashah, Ketua Penolong Pendaftar dan Amir Hafizuddin Abu Bakar, Pembantu Am Pejabat ke Pejabat Pendaftar setelah beberapa tahun berkhidmat di Perpustakaan UTeM.



Majlis persaraan bermula pada jam 5.30 petang. Majlis ini dihadiri oleh staf-staf dari pelbagai jawatan di perpustakaan. Pengacara majlis petang ini ialah Zaidi Saad. Seperti yang telah ditetapkan di dalam tentatif program, majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Azman Amir, Penolong Pegawai Perpustakaan.

Ia kemudian diteruskan dengan ucapan dari Mohd Nasir Hashim, Pengerusi Kelab Staf Perpustakaan (Listac). Di dalam ucapannya, beliau menyatakan pertemuan dan perpisahan merupakan suatu perkara yang lumrah. Beliau berharap perpisahan ini hanyalah perpisahan dari segi fizikal sahaja tetapi tidak dari sudut hati. Sebelum mengakhiri ucapannya, Mohd Nasir mengucapkan selamat menempuh dunia baru iaitu dunia persaraan kepada Abu Hassan.

Mengikut rekod perkhidmatannya, Abu Hassan yang berasal dari Kota, Negeri Sembilan telah berkhidmat dengan kerajaan selama 27 tahun. Beliau pernah bertugas di Perpustakaan Sultanah Zanariah, Universiti Teknologi Malaysia (UTM)selama 15 tahun mulai di UTM Jalan Semarak, Kuala Lumpur dan kemudian di UTM Skudai, Johor. Beliau berpindah ke Melaka dan berkhidmat dengan UTeM mulai 6 November 2001 dan berkhidmat selama 12 tahun sebelum bersara pilihan pada umur 54 tahun. Beliau yang dinaikkan pangkat sebagai Pembantu Perpustakaan Kanan pada 12 Jun 2002 merupakan salah seorang perintis dalam pembangunan perpustakaan di UTeM. Abu Hassan lebih mesra dengan panggilan Abang Hassan di kalangan rakan-rakan merupakan seorang yang mudah mesra dan sentiasa bersedia mencurahkan pengalamannya kepada staf-staf baru.

Ucapan Hajah Faridah Hj. Md. Amin, Ketua Pustakawan lebih menjurus kepada nostalgia sewaktu beliau bersama-sama dengan Abu Hassan di Perpustakaan Sultanah Zanariah, UTM di Kuala Lumpur dan Skudai. Beliau juga mengucapkan selamat maju jaya kepada Abu Hassan dan berharap sesuatu yang pahit itu tidak disimpan di dalam memori beliau semasa dalam perkhidmatan dahulu.

Dalam ucapan balasnya, Abu Hassan mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang telah menjayakan majlis persaraan beliau dan memohon maaf di atas apa jua perkara yang pernah beliau lakukan sewaktu bertugas dahulu dan berharap semoga perpustakaan akan terus maju pada masa hadapan.

Kesempatan yang ada juga digunakan oleh majlis dengan menjemput Mohd Shahar dan Amir Hafizuddin untuk menyampaikan sepatah dua kata sempena perpindahan mereka berdua pada bulan Ogos 2012. Mohd Shahar bertugas di Perpustakaan UTeM selama 3 tahun manakala Amir Hafizuddin berkhidmat selama 8 tahun sejak mula ditawarkan jawatan oleh UTeM.

Dalam majlis persaraan ini, diadakan juga penyampaian cenderahati kepada Abu Hassan, Mohd Shahar dan Amir Hafizuddin.

Sewaktu para tetamu menikmati jamuan, diadakan pula acara cabutan bertuah. Beberapa orang staf yang bertuah pada petang itu menerima hadiah berupa hamper daripada Listac.

Majlis diteruskan dengan acara memotong kek oleh ketiga tetamu yang diraikan dan diakhiri dengan sesi bergambar oleh staf bersama Abu Hassan, Mohd Shahar dan Amir Hafizuddin. Sebelum beredar, kelihatan beberapa orang staf bersalaman dengan mereka yang diraikan.

Buat Abu Hassan, Mohd Shahar dan Amir Hafizuddin, diucapkan selamat maju jaya dalam dunia persaraan dan juga persekitaran baru pekerjaan.

Majlis persaraan berakhir pada jam 7.00 malam.





































Tiada ulasan:

Catat Ulasan