Ahad, November 04, 2012

Kuasa Buah

Kuasa Buah
Ketahui khasiat sebenar makanan wajib bantu ubati, hindari penyakit.

Buah-buahan memiliki kandungan gizi, vitamin dan mineral yang sangat baik untuk tubuh. Khasiat buah-buahan diletakkan pada aras dua Piramid Makanan bersama sayur-sayuran. Pengambilan buah-buahan mengikut jumlah hidangan mencukupi dapat memastikan tubuh badan dan otak kita menerima semua nutrien mencukupi bagi membolehkan ia berfungsi dengan baik.

Malangnya, berapa ramai antara kita tahu kelebihan sebenar khasiat buah-buahan kecuali vitamin C yang sudah terlalu kerap dikaitkan dengan buah-buahan tertentu seperti oren dan epal.

Bagaimana pula dengan aspek lain buah-buahan seperti khasiatnya membantu mengurangkan penyakit?

Buah-buahan Anti Kanser

Pakar Diet Klinikal, Pusat Perubahan Gaya Hidup, Pusat Perubatan Prince Court, Tan Yen Sing menjelaskan, kajian menunjukkan pengambilan lebih daripada lima hidangan buah-buahan dan sayur-sayuran sehari dikatakan boleh mengurangkan sehingga 17 peratus penyakit jantung koronari.

“Pada 2005, 17.5 juta orang mati akibat penyakit kardiovaskular iaitu 30 peratus daripada jumlah kematian global. Pemakanan yang baik adalah pendekatan terbaik untuk mencegah penyakit dan penjagaan kesihatan.

“Nutrien adalah khasiat yang mesti kita peroleh daripada makanan. Khasiat pemakanan ini adalah penting untuk pertumbuhan dan penjagaan tubuh badan sepanjang hayat,” katanya.

Lebih menarik lagi, hasil penyelidikan mengenai manfaat buah-buahan kepada kesihatan turut dikongsi pada kempen kemasyarakatan, Kesihatan Itu Kekayaan anjuran MBG Fruitshop di Jaya 33, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.


Antara fakta menarik yang dikongsi termasuk, ramai tidak tahu pisang membantu menentang kemurungan. Selain itu, antioksidan daripada buah-buahan dan sayur-sayuran mengurangkan risiko kanser esofagus; buah kiwi meningkatkan kesihatan seksual lelaki dan kismis membantu menjaga kesihatan gigi serta pembangunan mental kanak-kanak.

Bagi kanak-kanak misalnya, buah-buahan yang kaya dengan pelbagai khasiat seperti karbohidrat, mineral dan vitamin penting dalam pertumbuhan mental fizikal mereka. Karbohidrat dalam buah-buahan misalnya, adalah dalam bentuk gula yang menyumbang kepada tenaga badan. Selain itu, buahan-buahan juga tinggi dengan serat yang membantu dalam mengelak masalah sembelit terutama di kalangan kanak-kanak.

Khasiat buah-buahan:

Anggur/kismis
Mengurangkan risiko kanser; strok; penyakit jantung dan hilang ingatan; antipenuaan; antioksidan; antiradang; kesihatan kulit; mata; kardiovaskular; kesihatan gastrik; kesihatan saluran kencing dan penyakit gusi.

Buah oren
Kesihatan jantung; penglihatan; pelalian dan mengurangkan risiko penyakit kanser. Pada masa sama, buah sitrus ini turut memiliki kelebihan sebagai antioksidan; membantu perkembangan otak janin dan mengawal tekanan darah.

Buah Epal
Pengambilannya yang kerap dikatakan dapat mencegah dementia atau nyanyuk; mencegah kenaikan berat badan; menurunkan kolesterol; menentang kanser dan antioksidan.

Buah Pear
Bersifat antioksidan; menjaga kesihatan kardiovaskular; antiradang; menjaga kesihatan jantung; menyembuhkan luka dan lebam; membaiki tisu; menjaga kesihatan penglihatan; menentang jangkitan; menyokong transmisi saraf dan melawaskan perut.

Pisang kaki
Menjaga kesihatan penglihatan, melegakan sembelit, cirit-birit, hemoroid (buasir) dan antioksidan.

Mangga
Anti kanser; menjaga kesihatan penglihatan; membantu penghadaman; menjaga kesihatan kulit; membantu membaiki kesihatan seksual; menambah berat badan; menguatkan daya ingatan; berfaedah untuk anemia (kurang darah) dan mencegah selaran panas.

Kiwi
Buah yang kaya dengan vitamin C dan berasal dari New Zealand ini membantu mengatasi insomnia (sukar tidur); mencairkan darah untuk kesihatan kardiovaskular (menurunkan kolesterol dan trigliserida); membantu membaiki pernafasan kanak-kanak (pendek nafas dan batuk malam); mencegah kerosakan kulit yang menyebabkan kanser kulit; menjaga kesihatan penglihatan; kesihatan kolon dan kesihatan prostat.

Pisang
Bagi mereka yang mudah stres atau alami tekanan, buah pisang boleh menjadi pilihan. Ini disebabkan ia kaya khasiat antikemurungan (membantu membaiki mood dan tidur); antioksidan; mengawal tekanan darah; meningkatkan daya tumpuan dan menguatkan ingatan; meningkatkan tenaga; menjaga kesihatan jantung; mengurangkan risiko kanser; menentang ulser peptik; melegakan cirit-birit dan sembelit.

Sumber: Berita Harian, 31/10/2010

Khamis, November 01, 2012

Pertukaran Yang Emosional

Rabu lalu, tujuh staf diarahkan bertukar bahagian mengikut keputusan bos. Satu perpustakaan terkejut dengan keputusan ini. Pertukaran ini bukan sahaja melibatkan pegawai malah staf sokongan. Begitu cepat berita tersebar ke seluruh perpustakaan melalui segala saluran yang ada.


"Bos mengamuk...", kata salah seorang staf yang identitinya dirahsiakan.

Hakikatnya, emosi mengatasi kewarasan berfikir. Dan Ia sering berlaku dalam kehidupan seharian.

Beberapa jam kemudian, ianya menjadi realiti. Surat-surat pertukaran bahagian sampai ke tangan yang empunya diri. Masing-masing terpinga-terpinga. Pertukaran ini tidak pernah diperbincangkan dan tidak pernah dimaklumkan kepada mereka. Cuma yang empunya diri perlu menukar mindset, bertugas di tempat baru dan bersedia dengan apa juga kemungkinan.

Dalam konteks yang berbeza, emosi yang mengatasi kewarasan berfikir telah banyak menimbulkan huru-hara dalam kehidupan. Lalu mengawal emosi merupakan satu keperluan yang sangat penting.

Pada hemat saya, mengawal emosi ini perlu dikaitkan dengan kesabaran. Bila ditimpa ujian, ayat 45, Surah Al-Baqarah boleh dijadikan panduan.

“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk”.

Kepada yang terlibat dengan pertukaran bahagian ini diharapkan bersabar. Lihatlah secara positif akan pertukaran ini dan gunakan ruang dan peluang yang diberikan untuk mencapai sesuatu kejayaan pada masa hadapan.

Selamat bertugas di tempat baru....

Isnin, Oktober 29, 2012

Lawatan Kerja Staf Perpustakaan UiTM Sarawak

Perpustakaan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) sekali lagi menerima pelawat dan kali ini dari Bumi Kenyalang.

Pada 29 Oktober 2012, seramai 25 orang staf Perpustakaan UiTM Sarawak yang diketuai oleh Encik Arifin Hj. Jamaluddin, Timbalan Ketua Pustakawan mengadakan lawatan sambil belajar ke Perpustakaan UTeM. Rombongan ini terdiri daripada 3 orang pustakawan dan 21 orang staf sokongan.


Di antara tujuan lawatan ini ialah untuk berkongsi maklumat mengenai perkhidmatan perpustakaan yang disediakan di samping mengeratkan hubungan silaturrahim di antara kedua perpustakaan ini.

Selain Perpustakaan UTeM, rombongan ini juga dijangka akan berkunjung ke Perpustakaan UiTM Lendu, UTM Skudai dan beberapa buah perpustakaan lain di sekitar Kuala Lumpur.

Rombongan pelawat ini tiba di Perpustakaan UTeM pada jam 10.45 pagi. Mereka disambut oleh Cik Rasida Abu Bakar, Pustakawan Kanan dan Puan Mez Zelina, Pustakawan dari Bahagian Rujukan dan dibawa ke Bilik Mesyuarat Utama.

Ucapan alu-aluan dan taklimat perpustakaan disampaikan oleh Encik Azman Hj. Ayup, Timbalan Ketua Pustakawan (Memangku) mewakili Ketua Pustakawan. Turut hadir Encik Arman Mohammad, Pustakawan Kanan, Bahagian Perolehan.

Sebaik selesai taklimat perpustakaan, diadakan sesi soal jawab di antara kedua pihak dan ternyata sesi ini begitu mesra dan terbuka. Satu sesi pertukaran cenderamata diadakan bagi menghargai kerjasama di antara kedua pihak atas inisiatif lawatan yang dirangkakan.

Pukul 11.30 pagi, rombongan ini dibawa melawat ke bahagian-bahagian perpustakaan seperti Bahagian Perolehan, Bahagian Pengindeksan, Bahagian Rujukan, Bahagian Sirkulasi dan juga ruang-ruang perkhidmatan di perpustakaan.

Di akhir lawatan, satu sesi bergambar diadakan di ruang galeri untuk tujuan kenang-kenangan.

Lawatan berakhir pada jam 2.00 petang.

Khamis, Oktober 25, 2012

Menikmati Nasi Ayam Gemas Mustafah

Tengah hari tadi, aku dan Mahadir ke Restoran Nasi Ayam Gemas Mustafah di Kg. Air Merbau, Jasin untuk menikmati nasi ayam. Minggu lepas, ada rakan sekerja menyampaikan kepada kami akan keenakan nasi ayam tersebut. Sebelum ini, nasi ayam yang paling sedap mengikut citarasa aku ialah Nasi Ayam Singapore yang terletak di Jalan Krubong di Kawasan Perindustrian Krubong, Melaka.


Perjalanan dari Ayer Keroh ke Taman Asia Selatan, Air Merbau, lokasi restoran mengambil masa lebih kurang 20 minit. Dari pekan Bemban ke Bandar Jasin, restoran ini terletak di sebelah kanan jalan berhampiran jejantas PLUS.


Sewaktu kami sampai, tidak ramai pelanggan di restoran tersebut. Restoran ini agak bersih dan pelanggan boleh nampak kawasan dapur restoran tersebut daripada bahagian hadapan tempat duduk.
Seperti diduga, menu utama di restoran ini ialah nasi ayam. Setiap hidangan ada ayam, sos cili, sup, kicap dan timun.


Menariknya ayam kicapnya digoreng sebegitu rupa sehingga kulit luarnya rangup tanpa menjejaskan isinya di bahagian dalam. Kemudian ayam ditabur bawang goreng di atasnya sehingga menampakkan hidangan begitu menyelerakan. Pelanggan boleh memilih ayam separuh atau ayam suku mengikut selera sendiri. Tekstur nasinya biasa-biasa sahaja.


Kami memesan dua pinggan nasi ayam dan air mata kucing sejuk. Harga makanan di sini sedikit mahal tetapi berbaloi. Dua pinggan nasi ayam, ayam suku dengan dua gelas air mata kucing harganya RM18.30.





Selain di Jasin, ada cawangan-cawangan Nasi Ayam Gemas Mustafa di Segamat, Tampin, Cheng, Bukit Beruang, Wangsa Maju dan terbaru di Putrajaya.

Kepada sesiapa yang ingin menikmati Nasi Ayam Gemas Mustafah, restorannya terletak di Taman Asia Selatan (Air Merbau), Jasin, 77000 Melaka atau telefon sahaja 019-2872463 atau 017-6749094 untuk tempahan.

Selamat mencuba....