Rabu, Jun 08, 2011

Bengkel ePrints Di PSB - Hari Terakhir

Isnin, 6 Jun 2011. Hari ini merupakan hari kedua dan terakhir kami menjalani latihan ePrints di Perpustakaan Sultanah Bahiyah, UUM. Selepas bersarapan pagi di Hotel EDC-UUM, kami bergerak ke Bilik Mesyuarat PSB, tempat di mana latihan diadakan. Latihan bermula pada jam 8.30 pagi.


Ruang legar dan pintu masuk Perpustakaan Sultanah Bahiyah, Universiti Utara Malaysia.


Bagi menjelaskan proses kerja berkaitan ePrints, kerja-kerja arkib bahan dijalankan di Bahagian Penerbitan Elektronik dan Perkhidmatan Maya. Tugas ini dibahagikan mengikut staf.


Encik Husni Ismail merupakan staf sokongan yang menjalankan kerja-kerja arkib bahan tesis daripada pelajar dan pensyarah.


Beliau tidak lokek untuk berkongsi ilmu dan memberikan kami satu demo kerja mengarkib bahan bermula dari ianya diterima. Beberapa soalan berkaitan kerja dapat dijawab oleh beliau dengan yakin.


Sebahagian bahan yang diterima perlu melalui proses verifikasi sebelum kerja mengarkib dijalankan.


Kerja-kerja mengarkib menggunakan scanner berjenama Fujitsu fi5530c berharga pada anggaran RM17,000.00 Beliau mengesyorkan menggunakan Adobe Acrobat Professional 7 yang mempunyai fungsi OCR.


Puan Norihan Anah, Pustakawan merupakan editor yang akan menyemak semua bahan yang ditelah dimuatnaik ke dalam ePrints sebelum bahan dideposit dan boleh dirujuk ole pengguna di dalam web.


Pukul 9.30 pagi, bengkel disambung semula. Encik Salleh Huddin, KP PSB meneruskan penerangan tentang perkara berkaitan pemasangan dan backup ePrints kepada KP Perpustakaan UTeM, Puan Hajjah Faridah Md. Amin.


Encik Salleh Huddin masih berkongsi ilmu dan mengingatkan beberapa perkara penting semasa membangunkan ePrints.


Cik Rasida dan Cik Norlian juga sama-sama memerhatikan gerak kerja yang dijalankan kerana tugas memuatnaik bahan akan dibuat di Unit Rujukan kelak.


Encik Mohd Rashid membuat latihan yang diberikan agar lebih faham kerana beliau bakal membangunkan server ePrints dan perkara-perkara teknikal di Perpustakaan UTeM nanti.


Latihan juga dibantu oleh Cik Zuraidah Darus, salah seorang pustakawan di Bahagian Penerbitan Elektronik dan Perkhidmatan Maya.


Di akhir program, Puan Hajjah Faridah menyerahkan cenderahati kepada KP PSB, Encik Salleh Huddin.


Cenderahati juga diberikan kepada Cik Zuraidah Darus, yang turut membantu dalam latihan ePrints ini.


Pukul 4.10 minit, perkakasan seperti komputer yang dibawa mula ditanggalkan komponennya dan dimasukkan ke dalam kotak untuk dibawa pulang.


Salah seorang staf PSB membantu kami memasangkan semula komponen elektrik yang rosak semasa latihan.


Pukul 4.40 petang, kami bergerak meninggalkan Universiti Utara Malaysia menuju ke Hotel EDC-UUM untuk menunaikan solat Asar sebelum bergerak balik ke Melaka jam 5.00 petang. Terima kasih kepada Ketua Pustakawan PSB, UUM dan pasukan kerjanya yang banyak membantu kami membangunkan ePrints. Juga jamuan yang disediakan semasa bengkel memang tidak dapat kami lupakan. Semoga kerjasama begini dapat dipertingkatkan pada masa hadapan.

Isnin, Jun 06, 2011

Singgah di Bukit Kayu Hitam dan Kuala Perlis


Selesai berbengkel, kami dan KP bersama anak-anaknya menaiki van menuju ke Bukit Kayu Hitam. Ini kali pertama aku sampai ke kawasan bebas cukai di sempadan Malaysia-Thailand.


Kami cuba untuk memasuki kawasan sempadan Thailand tanpa pasport. Hasrat terbantut bila mana caj sekepala sebanyak RM20.00 dikenakan oleh orang tengah. Memandangkan ia boleh menimbulkan risiko, kami membuat keputusan membatalkan hasrat tersebut.


Menurut beberapa orang penduduk, kawasan sempadan ini sememangnya sesak terutama hujung minggu. Kenderaan berbaris menunggu kebenaran masuk dari pihak imigresen dari kedua pihak Malaysia dan Thailand.


Sempat singgah di Kompleks Bebas Cukai di Bukit Kayu Hitam.


Dari Bukit Kayu Hitam, kami bergerak ke Kuala Perlis yang letaknya kira-kira 35 km dari Changlun. Ini adalah Hotel Brasmana di Kuala Perlis di mana tidak jauh dari hotel ini letaknya gerai-gerai makan.


Kami singgah di Koma Laut singkatan kepada Kompleks Makanan Laut di Kuala Perlis. Bangunan ini dibina seperti Medan Ikan Bakar Serkam.


Gerai yang kami kunjungi.


Makanan laut yang dipesan.


Muaat bersama adik iparnya, yang tinggal di Kuala Perlis.


Rakan setugas Rasida tersenyum sambil menikmati makanan laut.


Rashid yang kerap lapar juga gembira dapat menikmati ikan bakar.

Bengkel ePrints Di PSB - Hari Pertama


Suasana pagi yang nyaman. Pemandangan dari Hotel EDC-UUM, Sintok,


Jalan masuk ke Hotel EDC-UUM dari Changlun.


Pukul 8.30 pagi kami ke Perpustakaan Sultanah Bahiyah, UUM untuk menghadiri Bengkel ePrints. Kami disambut oleh Ketua Pustakawan PSB, Encik Salleh Hudin Mustafa. Sepanjang hari, kami mendapat tunjuk ajar daripada beliau bagaimana untuk membangunkan ePrints.


Sesi tidak formal begini memudahkan kami untuk bertanya lebih banyak soalan tentang ePrints. Fasilitator ini gemar membuat lawak bagi mengurangkan tekanan pada peserta. Beliau suka berkongsi maklumat dan tidak lokek untuk membantu. Kami selesai bengkel hari pertama pada jam 4.45 petang setelah selesai setup ePrints.

Ahad, Jun 05, 2011

Sampai Lewat Proton Perdana V6 Rosak

Alhamdulillah, kami sampai di Hotel EDC-UUM pada jam 9.45 malam. Setelah check-in, kami bergerak menuju ke bilik penginapan masing-masing. Aku, Muaat dan Rashid duduk sebilik, Norlian dan Rasida sebilik manakala KP dengan anak-anaknya tinggal sebilik.

Mengimbas kembali perjalanan kami pagi tadi, aku, Muaat, Rashid, Norlian dan Rasida menaiki van jabatan. Van dipandu oleh Muaat. Kami semua dalam perjalanan ke Perpustakaan UUM untuk menghadiri Kursus ePrints. Kami bergerak pukul 10.00 pagi setelah menziarahi Siddiq dan Nadia, pengantin baru di rumahnya di Taman Bunga Raya, Bukit Beruang.

Kami melalui Lebuhraya Utara-Selatan dan perjalanan kami lancar. Aku yang duduk di bahagian hadapan di sebelah pemandu sesekali melayan Muaat berbual bagi mengelakkan beliau mengantuk tetapi apa yang berlaku sebaliknya. Sesekali aku terlelap. Kami bercadang untuk singgah di Plaza R&R Tapah.

Hanya beberapa meter untuk masuk ke susur keluar Plaza R&R Tapah, Muaat menerima panggilan telefon daripada KP menyatakan kereta Proton Perdana V6 yang dipandunya mengalami masalah. Kejadian berlaku lebih kurang 2 kilometer sebelum susur keluar Plaza Tol Gopeng.

Akhirnya kami membatalkan hasrat untuk singgah di Plaza R&R Tapah sebaliknya meneruskan perjalanan untuk melihat kerosakan kepada kenderaan KP. Pukul 2.00 petang, sewaktu kami sampai di tempat kejadian, kami lihat sebuah kenderaan Proton Perdana V6 berada di bahu jalan manakala KP bersama anak-anaknya duduk di bawah sepohon pokok di sebelah longkang kecil di tepi lebuhraya.

Aku, Muaat dan Rashid membuka hood kereta dan melihat kerosakan tersebut. Terdapat sedikit leaking pada enjin dan air di dalam radiator juga tiada. Kami cuba mencari ikhtiar mendapatkan air daripada botol-botol minuman tetapi tidak mencukupi. Selepas kira-kira 15 minit meninjau kerosakaan dan cuba mengisi air ke dalam radiator, tiba-tiba sebuah kereta Proton Iswara yang dipandu oleh seseorang berhenti dan mengundurkan kenderaan ke arah kami.

Seorang lelaki India bertanyakan masalah dan menyatakan radiator ketiadaan air. Beliau meninjau dan memaklumkan kepada kami radiator cap rosak menyebabkan air meleleh keluar. Kami meminta bantuan daripada lelaki India yang kami panggil 'macha' itu dan dia juga mengisi air dari dalam tong kecil keretanya ke dalam radiator tersebut.

Sedang macha ini berusaha membantu, tiba-tiba sebuah kereta peronda daripada Plus sampai. Macha meminta air daripada petugas dan mereka memberikan sebuah tong sederhana besar berisi air. Macha memasukkan air ke dalam radiator sehingga penuh. Kemudian air diisi ke dalam botol-botol sebagai bekalan jika berlaku lagi pengurangan air di dalam tangki. Setelah meneliti keadaan enjin, Macha meminta kami keluar melalui Plaza Tol Gopeng untuk dibersihkan radiator dan ditukarkan radiator cap yang baru.

KP meminta aku memandu Proton Perdana V6 manakala beliau bersama anak-anak perempuannya menaiki van. Akhirnya Rashid memandu Proton Perdana V6 manakala aku duduk kerusi sebelah. Dua orang anak lelaki KP juga berada di dalam kereta Proton Perdana V6 tersebut.

Pukul 3.00 petang, kami sudah berada di Plaza Tol Gopeng. Kenderaan dibawa berdekatan tandas dan radiator dicuci kerana air sudah bercampur dengan sedikit minyak enjin. Macha membuat semua kerja pembersihan tersebut dan menguji enjin kereta. Setelah menutup radiator dengan cap yang baru, fasa seterusnya memastikan kipas berpusing kerana jika sebaliknya, enjin akan menjadi panas. Bila enjin menjadi panas, kerosakan pada enjin akan menjadi lebih teruk. Aku berdoa semoga segala masalah akan selesai. Tiba-tiba kipas berpusing dan kami berasa lega dengan masalah tersebut.

Kos keseluruhan pencucian tangki radiator dan juga radiator cap baru berjumlah RM105.00 dan kami terkejut dengan jumlah tersebut. Kami cuba berbincang meminta macha mengurangkan caj tersebut namun beliau hanya boleh mengurangkan sebanyak RM5.00 sahaja.

Setelah membayar kos tersebut, kami meneruskan perjalanan semula. KP seakan trauma dengan kejadian ini dan meminta aku, Rashid dan anak-anak lelakinya meneruskan perjalanan dengan Proton Perdana V6 tersebut. Dua buah kenderaan akhirnya bergerak secara bertunda dan Muaat memastikan jarak di antara dua kenderaan tidak jauh.

Sambil memandu, kami melihat petunjuk air pada dashboard dan ianya nampak stabil. Kami singgah di Plaza R&R Gurun untuk menunaikan solat Maghrib dan mengisi perut. Pukul 9.00 malam kami meneruskan perjalanan dan akhirnya sampai juga kami di Hotel EDC-UUM, lebih kurang 9 km daripada Changloon.

Pukul 10.30 malam, kami keluar makan malam di sebuah gerai makan berhampiran pintu masuk UUM. Pukul 11.30 malam, kami kembali semula ke hotel.

Setiap kejadian Allah SWT itu ada hikmahnya. Manusia hanya merancang hanya Allah SWT yang menentukan.





Menziarahi Pengantin -Siddiq dan Nadia

4 Jun 2011. Hari ini adalah hari cuti sempena Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong. Pagi ini aku dijadualkan bersama beberapa rakan yang lain bergerak ke utara menuju Universiti Utara Malaysia. Pukul 8.00 pagi aku bergerak dari rumah dan sampai di perpustakaan pada pukul 8.30 pagi.

Setibanya aku sana, Muaat, Rasida dan Norlian sudahpun berada di dalam van. Mereka menunggu aku. Setelah memindahkan bagasi, kami bergerak ke rumah Rashid di Bukit Beruang.

Selepas itu kami ke Taman Bunga Raya mencari rumah Encik Jais. Setelah menelefon dan mengetahui lokasi rumah, akhirnya kami sampai di rumah tersebut pada jam 9.30 pagi. Kami dilayan oleh kedua mempelai walapun masih belum bersiap memakai pakaian pengantin. Khabarnya warna tema pilihan ialah serba ungu. Mereka dijangka mengadakan majlis perkahwinan di Dewan MPHTJ, Bukit Beruang. Kami berbual-bual selama 20 minit sambil dihidangkan dengan sedikit juadah.

Akhirnya pukul 10.00 pagi, kami meminta diri kerana harus segera bergerak ke UUM.

Buat Siddiq dan Nadia diucapkan Selamat Pengantin Baru semoga kekal selamanya...

Jumaat, Jun 03, 2011

Final Liga MAFA

Rabu, 1 Jun 2011. Aku mendapat tahu pasukan Alai FC yang dibentuk oleh Saudara Noor Azman Abd. Rahman dari MRJ ke perlawanan akhir Piala MAFA. Selepas menghantar Ifa ke tuisyen, aku ke Stadium Hang Tuah untuk menyaksikan perlawanan tersebut.

Ramai penduduk Alai yang turun memberikan sokongan. Sebagai sebahagian penduduk Kampung Alai, aku pun memberikan kesetiaan dengan hadir menyokong pasukan tersebut bersama Arif, Miza dan Ifa. Memang hebat. Kedua-dua pasukan mempunyai peluang yang sama tetapi pemain-pemain tidak menggunakan kesempatan yang ada.

Pukul 11.30 malam perlawanan tamat dengan LAM (SAMB) menjadi juara menerusi sepakan penalti 8-7 setelah kedudukan terikat 1-1 sehingga ke masa tambahan.

Berita selanjutnya dipetik daripada akhbar Berita Harian, 3 Jun 2011.


SAMB ungguli Liga MAFA musim 2011
Oleh Nazri Abu Bakar
bhsukan@bharian.com.my
2011/06/03


SKUAD bola sepak Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) muncul juara Liga Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA) 2011 selepas menang 8-7 menerusi penentuan sepakan penalti pada aksi sengit yang berlangsung di Stadium Hang Tuah, semalam.

Selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sepanjang 120 minit permainan, penjaga gol SAMB Mohd Rizal Ibrahim muncul wira selepas menafikan sepakan penalti kelapan Alai FC. Dalam perlawanan disaksikan 5,000 penonton itu, SAMB mendahului pada minit ke-16 menerusi Ainnur Rahim Hassan tetapi Alai FC menyamakan kedudukan menerusi Iskandar Abd Aziz pada minit ke-56 dan kedudukan jaringan yang tidak berubah memaksa perlawanan ke permainan masa tambahan.

Gajah Berang FC pula menewaskan HSOBA 2-1 dalam perebutan tempat ketiga. Hadiah disampaikan Presiden MAFA, Datuk Md Yunos Husin. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif SAMB, Ir. Mohd Khalid Nasir, Timbalan Pengerusi SAMB, Ab Rahaman Ab Karim.

Azri Zainal Abidin dari Alai FC dinobat Pemain Tengah Terbaik manakala anugerah utama lain dimenangi pemain SAMB termasuk Penjaga Gol dan Pemain Terbaik Final (Mohd Rizal), Ibrahim Amat (Pertahanan Terbaik), Asnizam Hamzah (Penyerang Terbaik) dan G. Torairaju (Jurulatih Terbaik).










Bahagian Teknikal Menang Bolatampar Persahabatan

Dalam perlawanan persahabatan yang diadakan di gelanggang bolatampar Kompleks Sukan UTeM pada 1 Jun 2011, pasukan Bahagian Teknikal memenangi perlawanan tersebut dengan menewaskan pasukan dari Bahagian Perkhidmatan tiga perlawanan tanpa balas.

Dalam set pertama, pasukan Bahagian Teknikal menang 21-9. Pasukan Bahagian Perkhidmatan cuba bangkit untuk memenangi perlawanan tetapi dengan pengalaman yang ada pada pasukan Bahagian Teknikal, pasukan ini berjaya menewaskan pasukan Bahagian Perkhidmatan 21-18.

Perlawanan terakhir juga memihak kepada pasukan daripada Bahagian Teknikal apabila berjaya menewaskan pasukan lawan dengan mata 21-15.

Menurut Pengerusi LISTAC, Encik Mohd Nasir Hashim, dengan adanya perlawanan begini, ia akan dapat merapatkan silaturrahim di antara staf. Beliau juga berharap akan adanya lagi perlawanan bagi sukan-sukan lain untuk merancakkan aktiviti LISTAC.