Jumaat, Jun 03, 2011

Final Liga MAFA

Rabu, 1 Jun 2011. Aku mendapat tahu pasukan Alai FC yang dibentuk oleh Saudara Noor Azman Abd. Rahman dari MRJ ke perlawanan akhir Piala MAFA. Selepas menghantar Ifa ke tuisyen, aku ke Stadium Hang Tuah untuk menyaksikan perlawanan tersebut.

Ramai penduduk Alai yang turun memberikan sokongan. Sebagai sebahagian penduduk Kampung Alai, aku pun memberikan kesetiaan dengan hadir menyokong pasukan tersebut bersama Arif, Miza dan Ifa. Memang hebat. Kedua-dua pasukan mempunyai peluang yang sama tetapi pemain-pemain tidak menggunakan kesempatan yang ada.

Pukul 11.30 malam perlawanan tamat dengan LAM (SAMB) menjadi juara menerusi sepakan penalti 8-7 setelah kedudukan terikat 1-1 sehingga ke masa tambahan.

Berita selanjutnya dipetik daripada akhbar Berita Harian, 3 Jun 2011.


SAMB ungguli Liga MAFA musim 2011
Oleh Nazri Abu Bakar
bhsukan@bharian.com.my
2011/06/03


SKUAD bola sepak Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) muncul juara Liga Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA) 2011 selepas menang 8-7 menerusi penentuan sepakan penalti pada aksi sengit yang berlangsung di Stadium Hang Tuah, semalam.

Selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sepanjang 120 minit permainan, penjaga gol SAMB Mohd Rizal Ibrahim muncul wira selepas menafikan sepakan penalti kelapan Alai FC. Dalam perlawanan disaksikan 5,000 penonton itu, SAMB mendahului pada minit ke-16 menerusi Ainnur Rahim Hassan tetapi Alai FC menyamakan kedudukan menerusi Iskandar Abd Aziz pada minit ke-56 dan kedudukan jaringan yang tidak berubah memaksa perlawanan ke permainan masa tambahan.

Gajah Berang FC pula menewaskan HSOBA 2-1 dalam perebutan tempat ketiga. Hadiah disampaikan Presiden MAFA, Datuk Md Yunos Husin. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif SAMB, Ir. Mohd Khalid Nasir, Timbalan Pengerusi SAMB, Ab Rahaman Ab Karim.

Azri Zainal Abidin dari Alai FC dinobat Pemain Tengah Terbaik manakala anugerah utama lain dimenangi pemain SAMB termasuk Penjaga Gol dan Pemain Terbaik Final (Mohd Rizal), Ibrahim Amat (Pertahanan Terbaik), Asnizam Hamzah (Penyerang Terbaik) dan G. Torairaju (Jurulatih Terbaik).










Tiada ulasan:

Catat Ulasan