Jumaat, Jun 17, 2011

Tahlil Ringkas dan Jamuan Kesyukuran

17 Jun 2011. Hari ini diadakan tahlil ringkas dan doa selamat serta jamuan kesyukuran buat semua staf perpustakaan. Majlis bermula pada jam 12.20 tengah hari dan dihadiri hampir 30 orang staf. Tahlil ringkas dipimpin oleh Ustaz Azman Amir.

Tahlil ringkas ini khusus untuk kaum keluarga staf yang sudah tiada manakala jamuan kesyukuran pula buat mereka yang menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) pada tahun ini dan juga mereka yang telah mendapat jawatan tetap.

Pada tahun ini seramai empat orang staf Perpustakaan UTeM menerima anugerah tersebut sempena Majlis Hari Kualiti 2011, Universiti Teknikal Malaysia Melaka yang diadakan di Dewan Besar UTeM pada 18 Mei 2011 yang lalu.

Mereka ialah Fauziah Hassan, Pustakawan, Aziana M. Bahrim dan Noorlizawati Kamis, Pembantu Perpustakaan dan Amir Hafizuddin A. Bakar, Pembantu Am Pejabat. Keempat-empat mereka adalah antara 142 orang menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada tahun ini.

Bagi Nor Ridzuan S. Kasehan pula, beliau kini berstatus jawatan tetap setelah hampir tiga tahun bertugas di UTeM.

Majlis ini diadakan di Ruang Penjilidan, Unit Perolehan. Turut hadir ialah Cik Siti Noor Kiah Syed Abdul Malek, Timbalan Ketua Pustakawan. Antara menu yang disajikan ialah nasi ayam, karipap, buah-buahan, kek dan ais krim.

Di dalam majlis ini juga diraikan perpisahan Cik Aziana M. Bahrim yang mendapat jawatan baru dan bertukar ke Pejabat Pendaftar.

Kepada Fauziah Hassan, Aziana M. Bahrim, Noorlizawati Kamis, Amir Hafizuddin A. Bakar dan Nor Ridzuan S. Kasehan, saya bagi pihak staf perpustakaan yang lain mengucapkan ribuan terima kasih di atas jamuan ini. Semoga kalian murah rezeki dan cepat naik pangkat.

Amin!




















Tiada ulasan:

Catat Ulasan