Rabu, Jun 22, 2011

Ustazah Hazlinah Meninggal Dunia

Sabtu, 18 Jun 2011. Pukul 2.00 petang, sewaktu balik daripada menjemput anak-anak yang menghadiri kelas pengajian tahfiz dan kelas Bahasa Arab, kami melalui lorong di hadapan rumah Imam Ahmad. Kelihatan dua orang pemuda sedang menunggu di halaman rumah imam barangkali ingin menyampaikan sesuatu berita kepada beliau.

Beberapa meter di hadapan, kelihatan orang sudah mula ramai di hadapan rumah Abang Nan. Aku sangkakan ada kenduri. Tetapi bila aku sampai di rumah, Mak Munah memaklumkan bahawa anak Abang Samah meninggal dunia akibat kemalangan di Tehel.

Allahyarhamah Hazlinah Abu Samah, berusia 34 tahun meninggalkan dua orang anak iaitu Muhamad Hafiz Hakimin Mohd. Hafizi yang berusia 9 tahun dan Mohd. Faerid Mohd. Hafizi, 8 tahun. Bertugas sebagai guru di Sekolah Rendah Agama Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Selandar, beliau menetap di Selandar tetapi kerap pulang ke rumah bapanya di Kg. Pengkalan Jajar, Alai.

Suaminya pula menetap di Perak kerana mengusahakan kebun-kebunnya di sana. Khabarnya suami arwah beberapa kali mengajaknya bertukar ke Perak tetapi belum diluluskan permohonan pertukarannya. Arwah ada memaklumkan kepada bapanya hasratnya untuk menyambung pengajian di Institut Perguruan Perempuan Melayu (IPPM) Durian Daun, Melaka namun hasratnya tidak kesampaian.

Pada hari kejadian, suaminya yang tinggal di Perak terpaksa menumpang kereta adiknya yang tinggal di Butterworth untuk balik ke Melaka. Memandangkan jarak perjalanan yang jauh, pengurusan jenazah di Hospital Jasin terpaksa ditangguhkan bagi menunggu suaminya sampai.

Akhirnya jenazah disemadikan pada jam 1.00 pagi di Tanah Perkuburan Alai setelah dimandikan dan dikafankan di hospital. Jenazah sempat dibawa ke rumah untuk tatapan kali terakhir kaum keluarga dan sahabat handai.

Semalam aku sempat menghadiri majlis tahlil di rumah Abang Samah. Allahyarhamah Hazlinah Abu Samah merupakan anak kedua daripada tiga orang anak Abang Samah.

Semoga roh Allahyarhamah Hazlinah Abu Samah dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan para solihin.

Al-Fatihah...

Berita Kemalangan























Keratan daripada Harian Metro, 20 Jun 2011
























Keratan daripada Utusan Malaysia, 20 Jun 2011

Tiada ulasan:

Catat Ulasan