Selasa, Jun 21, 2011

Sambutan Hari Bapa

Kalau bulan Mei diadakan sambutan hari ibu, dalam bulan Jun pula diadakan sambutan hari bapa atau ‘Father's Day’. Tarikh sebenar sambutan hari tersebut juga berbeza-beza mengikut negara berdasarkan persepsi masing-masing. Di Malaysia kita tarikh sambutan hari bapa ditetapkan pada hari Ahad ketiga pada bulan Jun. Maknanya bagi tahun 2011, tarikh sambutan hari bapa adalah pada 19 Jun 2011.

Laman Wikipedia menjelaskan sejarah sambutan ‘Father’s Day’ secara moden mula dilaksanakan pada 5 Julai, 1908 di Fairmont, West Virginia. Punca sambutan pun boleh rujuk di laman tersebut. Di Malaysia pula tidak pasti bilakah sambutan hari bapa mula diperkenalkan.

Bagaimana pula dengan hukum meraikan hari bapa bagi umat Islam? Ia sama dengan isu hukum sambutan hari ibu. Rasanya selagi ianya tidak bercanggah dengan syariat dan peraturan Islam, ianya boleh diraikan dengan cara yang munasabah.

Sebab itulah setiap Muslim sepatutnya paling kurangpun mendoakan kesejahteraan ibu dan bapa mereka 5 kali sehari setiap kali selepas solat 5 waktu di samping berusaha sedaya upaya menjaga kebajikan dan perasaan mereka yang bersusah payah membesarkan anak-anak.

Pada masa yang sama Islam juga telah meletakkan peranan bapa di tempat paling tinggi dalam institusi keluarga. Seorang suami atau bapa hendaklah berilmu, jujur, ikhlas, berakhlak mulia, bermoral, bijak, cekap dan tegas dengan kebenaran. Dia hendaklah berusaha menjadikan suasana damai sentiasa wujud dalam keluarganya.

Secara ringkasnya di antara peranan bapa mengikut perspektif Islam adalah:

1. Bapa adalah ketua keluarga, pelindung isteri dan anak-anak. Sebagai pelindung keluarga dan ketua unit masyarakat yang paling kecil ini;

2. Seorang bapa berkewajipan mengawal, membimbing, menentukan tugas, menyelaraskan keluarga, berusaha mencari keperluan hidup keluarga dan berusaha menyediakan faktor-faktor kebahagiaan dan keselamatan keluarganya;

3. Bapa juga wajib menyediakan tempat kediaman, pakaian dan makan minum keluarga. Dia wajib mengajar anak isterinya dengan hukum-hukum agama; dan

4. Pentadbiran seorang bapa di dalam rumah tangga hendaklah berdasarkan sifat rahmah iatu kasihan belas, baik, adil, berakhlak dan contoh yang baik kerana dia bertanggungjawab di hadapan Allah S.WT. terhadap keluarganya.

Secara keseluruhannya peningkatan nilai murni di dalam kehidupan isteri dan anak-anak bergantung kepada kualiti seorang suami atau bapa.

Selamat menyambut hari bapa kepada semua bapa-bapa di luar sana. Mungkin boleh dilihat semula amanah dan tanggungjawab yang telah diberikan kepada kita semua dalam berumahtangga, manalah tahu ada yang terlepas pandang...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan