Jumaat, Ogos 12, 2011

Mengubah Sikap Di Bulan Ramadhan

Sehingga ke hari ini sudah 12 hari umat Islam berpuasa. Walaupun letih, kerja harian tetap berlaku seperti biasa. Tanggungjawab sebagai pekerja untuk mencari rezeki Allah SWT perlu dilakukan seperti sediakala. Setiap titik peluh di bulan ini pastinya diberikan bonus oleh Allah SWT. Sayangnya ada juga sebahagian daripada kita yang mempergunakan bulan Ramadhan untuk kepentingan diri pada perkara yang tidak baik. Antaranya:



Curi tulang masa bekerja.

Bolehkah kita curi tulang semasa bekerja di bulan puasa? Tentu tidak boleh dan kebiasaannya bulan Ramadhan akan dijadikan alasan untuk lebih banyak berehat dari membuat kerja. Ramadhan juga yang dipersalahkan. Peredaran masa tetap sama, cuma bagi yang selalu buang masa pastinya masa dirasakan begitu lama berlalu. Penat berpuasa bukan alasan yang baik untuk kita kurang bekerja.

Mengantuk sebab menghidupkan malam

Bulan Ramadhan tidak menjadikan kita insan yang lemah. Kerjakan apa yang utama sebagai seorang pekerja. Tidak salah untuk beramal ibadah di bulan baik ini. Tetapi jangan sampai kualiti kerja kita merosot. Bekerja adalah wajib untuk mencari rezeki. Menghidupkan amalan sunat pada waktu malam juga dituntut. Maka timbanglah kedua-duanya.

Alasan tidak boleh puasa

Wanita diberikan kelonggaran untuk tidak berpuasa jika uzur. Namun berdosa jika ianya dipergunakan untuk tidak berpuasa. Begitu juga bagi anda yang mengaku sakit seperti gastrik kononnya dan kemudian tidak berpuasa. Mengapa puasa dipergunakan untuk perilaku yang tidak bertanggungjawab ini?

Kaut untung tak bertempat

Jika berniaga di bulan ini, janganlah terlalu mengejar untung tanpa memikirkan apa yang dibuat itu munasabah atau tidak. Alasannya tetap sama iaitu bulan puasa sekali setahun dan masa inilah nak untung lebih! Memang betul. Tetapi janganlah mengaut untung melampau-lampau tanpa menyedari perbuatan kita menzalimi pelanggan yang juga berpuasa.

Semoga sebagai seorang Islam dapatlah kita mengambil iktibar daripada apa yang berlaku di sekeliling kita dan semoga kita menjadi umat yang bertaqwa kepada Allah SWT.

Rabu, Ogos 03, 2011

Hari Kedua Berpuasa

Hari ini merupakan hari kedua berpuasa dan merupakan malam ketiga umat Islam untuk bertarawih.

Alhamdulillah, kami sekeluarga dapat menjalani rukun Islam ketiga ini dengan sempurna. Cuma semalam Miza mengadu lapar pada jam 3.00 petang dan aku cuba mengalihkan perhatiannya dengan menonton TV. Alim masih steady...

Petang tadi sewaktu menjemput anak-anak dari sekolah agama, kami singgah di Pasar Ramadhan lagi. Arif memesan nasi lemak kukus daging ayam dengan murtabak, Alim minta sate dan Miza pula nak kaya ball.



Minuman pula jangan cerita. Arif teringin nak minum air mata kucing, Alim pula nak air tembikai, Miza minta teh bunga. Untuk famili aku belikan air tebu. Sesampai di rumah, wife dah sediakan air teh o dan juga air oren.

Kira punya kira, lebih dari RM20 aku berbelanja.

Nasib baik semua makanan yang dibeli untuk berbuka dapat diselesaikan....Kalau tidak tentu membazir.

Sebelah malam, kami ke surau. Masih ramai yang bersolat Tarawih. Selepas 8 rakaat, dua atau tiga saf pasti akan hilang walaupun kebanyakan jemaah melakukan 23 rakaat termasuk witir.

Perjalanan balik dari surau, terasa sejuk hati melihatkan anak-anak bersama-sama jemaah lain turun dari surau selepas solat Tarawih.

Aku berdoa semoga semoga puasa kita hari ini dipermudahkan dan diberkati oleh Allah s.w.t...

Selasa, Ogos 02, 2011

Fadilat Ramadhan




Fadilat Ramadhan 1

Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Umatku telah dikurniakan dengan lima perkara yang istimewa yang belum pernah diberikan kepada sesiapa pun sebelum mereka. Bau mulut daripada seorang Islam yang berpuasa adalah terlebih harum di sisi Allah daripada bau haruman kasturi. Ikan-ikan di lautan memohon istighfar (keampunan) ke atas mereka sehinggalah mereka berbuka puasa".

Allah mempersiapkan serta menghiasi Jannah yang khas setiap hari dan kemudian berfirman kepadanya: "Masanya telah hampir tiba bila mana hamba-hambaKu yang taat akan meninggalkan segala halangan-halangan yang besar (di dunia) dan akan mendatangimu." Pada bulan ini syaitan-syaitan yang durjana dirantaikan supaya tidak menggoda mereka ke arah maksiat-maksiat yang biasa mereka lakukan pada bulan-bulan selain Ramadhan.

Pada malam terakhir Ramadhan (orang-orang yang berpuasa ini) akan diampunkan." Maka sahabat-sahabat Rasulullah SAW pun bertanya: "Wahai Pesuruh Allah, adakah itu malam Lailatul Qadar?" Dijawab oleh Rasulullah SAW: "Tidak, tetapi selayaknya seorang yang beramal itu diberi balasan setelah menyempurnakan tugasnya."




Fadilat Ramadhan 2

Ubadah Bin Somit ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda pada suatu hari ketika Ramadhan hampir menjelang: "Telah datang kepadamu bulan Ramadhan, di mana Allah melimpah ruahkan di dalamnya dengan keberkatan, menurunkan rahmat, mengampuni dosa-dosa kamu, memakbulkan doa-doa kamu, melihat di atas perlumbaan kamu untuk memperolehi kebaikan yang besar dan berbangga mengenaimu di hadapan malaikat-malaikat. Maka tunjukkanlah kepada Allah Taala kebaikan dari kamu. Sesungguhnya orang yang bernasib malang ialah dia yang dinafikan daripada rahmat Allah pada bulan ini."

Abu Sa'id Al Khudri ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Setiap hari siang dan malam pada bulan Ramadhan, Allah Taala membebaskan begitu banyak sekali roh daripada api neraka. Dan pada setiap orang Islam.























Fadilat Ramadhan 3

Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Terdapat tiga jenis orang yang doa mereka tidak ditolak; doa daripada orang yang berpuasa sehinggalah dia berbuka puasa; imam (penguasa) yang adil, dan orang yang dizalimi yang kerana doanya itu Allah mengangkatnya melepasi awan dan membuka untuknya pintu-pintu langit dan Allah berfirman: "Aku bersumpah demi kemuliaanKu, sesungguhnya Aku pasti menolongmu walaupun pada suatu masa nanti."

Ibn Umar ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya mengirim rahmat ke atas mereka yang memakan sahur." Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa berbuka satu hari di siang hari bulan Ramadhan tanpa alasan yang wajar (dari segi syariah) atau sakit yang kuat, tidak akan dapat menampung atau mengganti hari tersebut walaupun akan berpuasa sehingga ke akhir hayatnya."























Mudah-mudahan kita mendapat fadilat yang banyak daripada kedatangan Ramadhan 1432H ini....

Isnin, Ogos 01, 2011

Opick - Ramadhan Tiba



Opick - Ramadhan Tiba

Ramadhan tiba 3X
Marhaban Ya Ramadhan 4X

Ramadhan tiba 3X
Marhaban Ya Ramadhan 4X

Ramadhan tiba semua bahagia
Tua dan muda bersuka cita
Bulan ampunan bulan yang berkah
Bulan terbebas api neraka

Andaikan saja Ramadhan semua
Bulan yang tiba bulan yang ada
Karena besarnya setiap pahala
yang di janjikan kepada kita

Marhaban Ya Ramadhan 4X

Dalam bersahur ada pahala
Dalam berbuka alangkah indah
Menahan diri menahan lidah
Menjaga hati menjaga mata

Banyakkan amal hari-harinya pahala
Datang berlipat ganda
Berlomba-lomba untuk ibadah
Dunia bahagia surga nanti gantinya

Ramadhan tiba 3X
Ramadhan tiba 3X

Dan semoga setiap jiwa
Diberikan ampunan-Nya
Dan semoga hapus semua
Kesalahan setiap jiwa

Marhaban Ya Ramadhan 4X
Marhaban Ya Ramadhan 4X
Marhaban Ya Ramadhan 4X
Marhaban Ya Ramadhan 4X

Artist : Opick
Lirik Lagu : Opick - Ramadhan Tiba
Lirik Lagu Opick - Ramadhan Tiba

Selamat Berpuasa Dan Salam Ramadhan

Di kesempatan ini, aku ingin mengucapkan selamat berpuasa kepada rakan-rakan blogger yang beragama Islam dan Salam Ramadhan buat semua. Hari ini, 1 Ogos 2011 bersamaan 1 Ramadhan 1432H, umat Islam di seluruh dunia akan menjalani ibadah puasa.



Malam tadi, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Datuk Syed Danial Syed Ahmad, telah mengumumkan bahawa pada 1 Ogos 2011 umat Islam di seluruh Malaysia akan mula berpuasa.

Malam tadi aku sekeluarga berkesempatan menunaikan Solat Tarawikh di Madrasah At-Taalim Ad-Diniah, Jalan Pangkalan Jajar, Kg. Alai. Penuh surau sampai ke pintu masuk. Tidak kira lelaki wanita, tua maupun muda semuanya berduyun-duyun ke surau mencari tempat untuk menunaikan Solat Isyak terlebih dahulu. Di Kg. Alai, Solat Tarawikh dibuat sebanyak 23 rakaat termasuk witir.



Petang tadi, aku sempat meninjau Pasar Ramadhan di Telok Mas. Pelbagai juadah untuk berbuka puasa dijual kepada orang ramai. Tahun ini banyak lagi Pasar dan Bazar Ramadhan dibuka macam cendawan tumbuh. Yang penting cara kita berbelanja. Jangan terlalu mengikut nafsu sehingga tanpa kita sedari, kita telah melakukan pembaziran kerana membazir itu amalan syaitan.

Sekali lagi aku mengambil kesempatan ini memohon ampun dan maaf andai sepanjang aku menulis di dalam blog ini, ada perkataan yang mengguris hati mana-mana pihak di mana kadang-kadang bila timbul keseronokan menulis sehingga terlupa menjaga hati dan perasaan orang di sekeliling kita.



Semoga di kesempatan Ramadhan ini juga, dapat kita manfaatkan ruang dan peluang yang ada untuk meningkatkan amalan-amalan mulia dan semoga rakan-rakan dikurniakan kesihatan yang baik sepanjang bulan barakah ini.

Selamat berpuasa....

Selamat Hari Lahir Alyssa

Hari Sabtu, 30 Julai 2011, Miza mendapat undangan daripada rakan sekelasnya, Alyssa. Keluarga Alyssa bercadang untuk menyambut hari lahir anaknya di Fun4Kids, Mahkota Parade, Melaka.



Majlis bermula pada jam 11.00 pagi. Aku sempat menghantar Ida, Ifa dan Alim menemani Miza ke majlis sambutan hari lahir kawannya itu sebelum berpatah balik menjemput Arif yang selesai menghadiri kelas Bahasa Arabnya pada jam 11.30 pagi.



Jemputan Alyssa tidaklah ramai. Cuma rakan-rakan karibnya sahaja. Miza membawa bersama hadiah yang dibeli dan dibungkus dengan cantik sebelum menyerahkan kepada Alyssa. Sebelum meraikannya, Miza dan rakan-rakan mengenakan swimming suit dan bermain-main air di Fun4kids. Alim pun tumpang sama.



Pukul 1.30 petang, barulah majlis sambutan hari lahir diadakan. Joanne, ibu Alyssa menjemput semua hadirin untuk menjamu selera di Seleria Food Court. Miza dan rakan-rakannya menukar pakaian. Kebanyakan makanan yang dipesan adalah daripada kedai-kedai makan di Seleria. Makanan dihidang ialah bihun, mee goreng, ayam goreng, jelly, fishball, oren dan tembikai.

Sambil makan sambil berbual dengan ibu bapa yang lain. Rakan-rakan Miza, Shaqqira, datang dengan ibu bapanya, Danila dengan abang dan kakaknya dan Aniq pula dengan ibunya. Hadir di dalam majlis itu ialah Puan Low Geak Hong, guru kelas yang juga guru Bahasa Cina Kelas 2H.

Selepas menjamu selera, diadakan pula acara memotong kek. Semua hadirin menyanyikan lagi 'Selamat Hari Lahir' dalam 3 versi iaitu Bahasa Cina, Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu.



Kemudian, kek buah-buahan dipotong oleh Alyssa dan diagih-agihkan kepada semua tetamu. Di akhir majlis, tetamu yang juga rakan-rakan sekelas diberikan cenderahati oleh Alyssa.

Majlis selesai pada jam 3.30 petang. Miza dan Alim menukar swimming suit dan menyambung semula bermain air di Fun4Kids.

Kami beredar dari pusat membeli-belah tersebut jam 6.00 petang setelah melayan anak-anak bermain games di sebuah pusat hiburan bersebelahan Pusat Bowling Ampang di Mahkota Parade.




















Pekena Nasi Beriyani

Sabtu, 30 Julai 2011. Jam 11.40 pagi sewaktu menjemput Arif dari Kelas Bahasa Arab, kami berdua singgah di sebuah kedai makan di Ujong Pasir, Melaka.



Dah lama aku teringin untuk menikmati nasi beriyani tetapi untuk menikmati nasi briyani pilihan, aku harus memilih masa yang sesuai agar sewaktu menikmatinya, aku tidak dalam keadaan tergesa-gesa atau tidak lapar.

Pagi ini aku tidak sempat bersarapan dan memandangkan hanya dua hari lagi umat Islam bakal menyambut Ramadan, aku menggunakan kesempatan ini untuk singgah di kedai makan tersebut.



Di Melaka memang banyak kedai-kedai makan menjual nasi beriyani khususnya kedai mamak. Majeedia Haj Braini, mengikut nama tertera pada papan tanda kedai makan tersebut memang sudah wujud lama di Ujong Pasir. Lokasinya mudah dicari, bersebelahan dengan Sekolah Kebangsaan Ujong Pasir dan bagi pengunjung ada disediakan tempat meletak kenderaan di tanah lapang berhampiran. Kami sekeluarga pernah beberapa kali singgah di kedai makan ini.



Kami berdua memesan nasi beriyani ayam goreng. Arif memilih air karot susu tetap aku pula gemar fresh orange. Lima minit kemudian, makanan yang kami pesan sampai. Nasi beriyani ayam goreng dengan dalca dan timun. Memang superb...



Selesai mengisi perut, aku membayar harga makanan. Well, jumlah semua RM17.00. Berbaloi....

Kepada yang ingin menikmati nasi beriyani di Majeedia Haj Braini, kedai makan ini beroperasi juga pada bulan puasa...