Isnin, Ogos 01, 2011

Selamat Berpuasa Dan Salam Ramadhan

Di kesempatan ini, aku ingin mengucapkan selamat berpuasa kepada rakan-rakan blogger yang beragama Islam dan Salam Ramadhan buat semua. Hari ini, 1 Ogos 2011 bersamaan 1 Ramadhan 1432H, umat Islam di seluruh dunia akan menjalani ibadah puasa.



Malam tadi, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Datuk Syed Danial Syed Ahmad, telah mengumumkan bahawa pada 1 Ogos 2011 umat Islam di seluruh Malaysia akan mula berpuasa.

Malam tadi aku sekeluarga berkesempatan menunaikan Solat Tarawikh di Madrasah At-Taalim Ad-Diniah, Jalan Pangkalan Jajar, Kg. Alai. Penuh surau sampai ke pintu masuk. Tidak kira lelaki wanita, tua maupun muda semuanya berduyun-duyun ke surau mencari tempat untuk menunaikan Solat Isyak terlebih dahulu. Di Kg. Alai, Solat Tarawikh dibuat sebanyak 23 rakaat termasuk witir.



Petang tadi, aku sempat meninjau Pasar Ramadhan di Telok Mas. Pelbagai juadah untuk berbuka puasa dijual kepada orang ramai. Tahun ini banyak lagi Pasar dan Bazar Ramadhan dibuka macam cendawan tumbuh. Yang penting cara kita berbelanja. Jangan terlalu mengikut nafsu sehingga tanpa kita sedari, kita telah melakukan pembaziran kerana membazir itu amalan syaitan.

Sekali lagi aku mengambil kesempatan ini memohon ampun dan maaf andai sepanjang aku menulis di dalam blog ini, ada perkataan yang mengguris hati mana-mana pihak di mana kadang-kadang bila timbul keseronokan menulis sehingga terlupa menjaga hati dan perasaan orang di sekeliling kita.



Semoga di kesempatan Ramadhan ini juga, dapat kita manfaatkan ruang dan peluang yang ada untuk meningkatkan amalan-amalan mulia dan semoga rakan-rakan dikurniakan kesihatan yang baik sepanjang bulan barakah ini.

Selamat berpuasa....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan