Jumaat, Ogos 19, 2011

Pengurusan Masa Dalam Kerja

Bagi umat Islam, pengurusan masa sangat penting. Ini ditekankan dalam Surah Al-Asr bermaksud, ‘Demi masa sesungguhnya manusia dalam kerugian kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh serta berpesan sesama mereka tentang kebenaran dan berpesan tentang kesabaran’.

Masa boleh diukur berdasarkan kiraan seperti 365 hari bersamaan dengan 1 tahun, 7 hari bersamaan dengan 1 minggu, 24 jam bersamaan dengan 1 hari dan 60 minit bersamaan dengan 1 jam.

Ada yang mengatakan ‘tidak cukup masa’ dan ada pula yang berlebih masa. Kuantiti masa adalah sama banyak bagi semua orang tetapi penggunaan masa yang produktif dan berkualiti yang akan menjamin kecemerlangan.

Manusia seolah-olah dikurung atau diikat oleh situasi tertentu yang menghalang dari melakukan apa yang ingin dilaksanakan.
Jika kita tidak berjaya melepaskan atau meleraikan diri daripada ikatan tersebut, ini bermakna kita berada dalam perangkap masa.
Bagi mencapai matlamat yang khusus, kita perlu melakukan perancangan harian, mingguan, bulanan atau tahunan secara bertulis dan untuk melaksanakan tugas atau aktiviti tersebut, ia adalah berdasarkan keutamaan untuk mencapai matlamat yang telah ditetapkan.

Semua orang mempunyai 24 jam. Dan seringkali perkataan sibuk adalah jawapan yang selalu diberikan jika seseorang itu tidak dapat memanfaatkan masa dalam menjalankan tugas seharian mereka. Dalam 4 senario yang diberikan di bawah, kita boleh kaji dan susun semula senarai keutamaan dalam menguruskan kerja seharian.

Senario 1 : Segera dan Penting

Perkara yang penting dilakukan dalam seharian. Kita akan menghadapi masalah sekiranya menangguhkan pekerjaan ini.
Contoh dalam kehidupan : Mendapatkan keperluan asas makan minum, tempat perlindungan dan pakaian.
Contoh dalam pekerjaan : Mencari pelanggan, memberikan perkhidmatan kepada pelanggan, menyediakan kemudahan yang terbaik kepada pelanggan.

Senario 2 : Penting tetapi Tidak Segera

Perkara yang penting tetapi kita boleh menangguhkan untuk melaksanakannya ke masa lain.
Contoh dalam kehidupan : bersukan, membaca, berhibur
Contoh dalam pekerjaan : membuat penyelidikan bagaimana memperbaiki mutu kerja dan perkhidmatan kepada pelanggan

Senario 3 : Segera tetapi Tidak Penting

Kadang-kadang akan wujud situasi di mana kita mempunyai kerja yang tidak penting pada waktu tertentu tetapi perlu dilaksanakan segera. Ini mungkin kerana jika tidak dilakukan sekarang ia akan menyusahkan atau memudaratkan keadaan.

Contoh dalam kehidupan : Menyediakan tayar spare untuk kenderaan, membuat simpanan hari tua
Contoh dalam pekerjaan : Mengadakan kemudahan pejabat yang lengkap

Senario 4 : Tidak Segera dan Tidak Penting

Perkara yang boleh dilakukan semasa waktu lapang. Jika tidak dilakukan tidak menjadi apa-apa kerugian kepada diri sendiri.
Contoh dalam kehidupan : Menonton televisyen, membeli barang mahal.
Contoh dalam pekerjaan : Menyediakan ruang pejabat tahap lima bintang

Semoga kita dapat memilih yang mana lebih penting untuk dilaksanakan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan