Jumaat, Ogos 19, 2011

Masa, Kerja dan Amalan

Pagi ini staf perpustakaan dijemput menghadiri program tazkirah. Tajuk tazkirah ialah 'Masa, Kerja dan Amalan' yang disampaikan oleh Ustaz Muhammad Asyraf Sulaiman dari Unit Masjid dan Penerbitan, Pusat Islam UTeM. Lokasi tazkirah ialah di Bilik Tayangan, Aras 2 dan dihadiri oleh staf perpustakaan dari pelbagai unit.

Ahmad Tarmizi Abdul Hadi, selaku pengerusi majlis tazkirah memulakan program pada jam 8.30 pagi dengan ucapan pembukaan majlis sebelum menyerahkan program kepada penceramah.



Memulakan tazkirah, Ustaz Muhammad Asyraf yang berkelulusan dari Universiti Casablanca, Maghribi menerangkan tentang maksud tazkirah. Tazkirah bermaksud ingat-mengingati atau mengingatkan orang lain walaupun perkara yang ingin disampaikan sudah diketahuinya.

Takrifan masa ialah waktu atau zaman yang dilalui oleh individu yang menjalani kehidupan. Kerja pula ialah pekerjaan atau cara melakukan sesuatu yang telah menjadi ketetapan serta tidak berubah. Amalan ialah sesuatu perkara yang dilakukan atau dilaksanakan sebagai suatu kebiasaan yang mana menjadi budaya.

Kerja dalam Islam merupakan suatu ibadah. Ibadah terbahagi kepada dua iaitu ibadah khusus dan ibadah umum. Dengan mengira purata umur manusia sekitar 60 tahun, berapakah jumlah ibadah yang dilakukan oleh seseorang individu itu setelah menolak jumlah waktu tidur, makan, beriadah dan lain-lain lagi. Itulah sebabnya manusia tidak hanya dituntut kepada ibadah khusus seperti sembahyang, zakat, puasa dan lain-lain lagi sebaliknya ditambah dengan ibadah-ibadah umum yang lain seperti bersedekah, membantu orang dalam kesusahan dan seumpamanya.

Ustaz Muhammad Asyraf memberikan contoh bagaimana seorang ibu yang memasak makanan untuk suaminya, jika perbuatannya diiringi dengan rungutan, sudah pasti perbuatannya itu tidak mendapat pahala. Jadi ibadah yang dilakukan itu sekadar ibadah tanpa pahala. Walau bagaimanapun jika perbuatan itu disertai dengan niat kerana Allah SWT. maka itu lebih baik dan diredhai. Di sinilah menurut ustaz, ganjarannya yang diterima oleh setiap individu kelak berbeza-beza mengikut niat masing-masing.

Dengan memetik maksud di dalam Surah Al-Asr, 103: 1-3, 'Demi Masa. Sesungguhnya SEMUA manusia itu di dalam kerugian. KECUALI mereka yang berIMAN, dan beramal soleh. Dan berpesan-pesan pada kebaikan, dan berpesan-pesan pada kesabaran.'. Surah ini juga menekankan tentang semua manusia berada di dalam kerugian melainkan mereka yang sentiasa beriman dan beramal soleh.

Beriman bermaksud memiliki akidah yang sahih lagi kukuh terhadap Allah SWT. dengan apa yang disyariatkan olehNya. Amal soleh pula ialah sentiasa berbuat baik seperti dituntut di dalam Islam dan profesional dalam kerjayanya. Berpesan-pesan kepada kebenaran bermakna memberi teguran dan nasihat secara berhikmah dan berkesan manakala berpesan-pesan dengan kesabaran pula ialah sentiasa memberi nasihat ketika saudaranya agar bersabar ketika ditimpa musibah kerana musibah juga satu nikmat daripada Allah SWT.

Ustaz juga mengingatkan tentang hubungan yang perlu dipelihara dengan Allah SWT., manusia dan alam sekitar. Tidak melangkah seseorang pada Hari Kiamat sehingga ditanya pada 4 perkara menurut Riwayat Ad-Darimi iaitu:

a) Apa yang dihabiskan pada umurnya.
b) Apa yang dilakukan tubuh badannya terhadap segala ujian dan tanggungjawabnya.
c) Apa yang diamalkan dari ilmu yang diperolehinya.
d) Ke arah mana hartanya yang diusahakan dan dibelanjakannya.


Faktor-faktor Kerja Tidak Berkualiti

a) Bersifat malas.
b) Salahguna teknologi dan ICT.
c) Tidak berminat dalam pekerjaan.
d) Tidak menganggap kerja sebagai satu ibadah.
e) Salah faham konsep sumber makanan yang haram.


Menurut ustaz lagi, bagi salafus soleh, mereka memanfaatkan masa pada bulan Ramadhan seperti Imam Syafie yang khatam Al-Quran sebanyak 60 kali dalam bulan Ramadhan, iaitu 2 kali setiap hari dan dibaca juga di dalam solat. Menurutnya, banyak peristiwa penting yang merujuk kepada kejayaan umat Islam berlaku dalam bulan Ramadhan. Oleh itu bulan Ramadhan bukanlah bulan yang tidak produktif bagi umat Islam.

Aplikasi Amanah Dalam Ibadah Puasa

Puasa: Tidak makan dan minum walaupun berpeluang.
Kerja: Tidak claim kerja lebih masa berlebihan walaupun berpeluang.

Puasa: Menjauhi perkara-perkara yang membatalkan puasa.
Kerja: Menjauhi perkara-perkara yang tidak bermanfaat.

Puasa: Alangkah tepatnya waktu hadir bila berbuka puasa.
Kerja: Alangkah baiknya kalau datang kerja menepati masa.

Kesimpulan

a) Semua perkara baik dan manfaat dikira ibadah.
b) Allah SWT. memuji orang-orang yang menepati masa dan amanah bila berjanji dan sentiasa berakhlak mulia.
c) Untuk mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat perlu menjaga hubungan dengan Allah SWT., manusia dan alam sekitar.
d) Rezeki yang halal akan melahirkan generasi yang soleh dan solehah seperti kisah Umar Al-Khattab.
e) Di antara keelokan pekerti seseorang Muslim adalah meninggalkan perkara yang tidak bermanfaat bagi dirinya.

Terima kasih kepada Ustaz Muhammad Asyraf Sulaiman di atas tazkirah yang diberikan dan rata-rata staf yang ditemui semasa menghadiri program ini memberikan reaksi positif terhadap ilmu yang diterima.

Tazkirah tamat pada jam 10.00 pagi.

Foto: Thanx to Mr. Jefridzain












Tiada ulasan:

Catat Ulasan