Selasa, Ogos 16, 2011

Wanita Hatinya Di Mulut, Lelaki Mulutnya Di Hati

Malam ini merupakan malam ke-17 umat Islam bertarawih. Di Madrasah At-Taalim Ad-Diniah, Kampung Alai pula diadakan Ihya Ramadhan selepas Solat Isyak dan Solat Tarawih. YB Datuk Latiff Datuk Hj. Tamby Chik, ADUN Teluk Mas yang juga Ahli Exco Kerajaan Negeri Melaka turut hadir bersama masyarakat kampung untuk mengimarahkan madrasah sempena program tersebut. Di dalam ucapan pembukaan majlis, beliau menyeru masyarakat kampung berumur dari 18 tahun hingga 40 tahun supaya menyertai askar wataniah.



Bagi program Ihya Ramadhan pula, penceramah jemputan ialah Ustaz Hj. Mufit Ahmad dari Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM). Program ini ialah anjuran Rumahku Syurgaku, Jabatan Ketua Menteri Melaka.

Sewaktu memberikan ceramah, aku sangat tertarik dengan ungkapan yang digunakan Ustaz Hj. Mufit iaitu 'wanita hatinya di mulut, lelaki mulutnya di hati'.

Apakah maksudnya? Maksudnya ialah orang lelaki lebih suka berkata-kata dengan hati. Apa yang mahu dikatakan akan disimpan dan dipendam di dalam hati. Orang lelaki lebih berhati-hati dalam berkata-kata. Mereka akan berfikir panjang sebelum membuat apa-apa keputusan.

Lain pula dengan wanita. Wanita suka meluahkan apa yang dikata dari hati. Sebab itulah kebanyakan apa yang keluar dari mulut wanita biasanya itulah yang difikirkannya. Kata Ustaz lagi, sebab itulah talak tidak diberikan kepada kaum wanita sebaliknya ia adalah hak kepada kaum lelaki. Namun begitu, bagi membela kaum wanita, ada pula taklik maksudnya jika kaum lelaki tidak menyempurnakan tanggungjawabnya atau menyakiti kaum wanita, hak untuk menuntut cerai boleh diberikan kepada kaum wanita.

Berbalik kepada ungkapan tadi, memang ada perbezaan di antara lelaki dan wanita bila menangani sesuatu masalah. Masalah kecil bagi wanita adalah masalah besar dan perlu diselesaikan sedangkan bagi lelaki masalah kecil itu bukan masalah. Bagi masalah besar pula, lelaki menyelesaikan masalah dengan akal sedangkan wanita dengan emosi.

Sebagai seorang wanita, fahami jiwa lelaki. Kalau lelaki itu diam dan tidak mahu berkongsi, terimalah seadanya kerana kebanyakan lelaki lebih suka menyimpan di dalam hati dari meluahkannya. Kadang-kadang lelaki dilabelkan sebagai sukar difahami dan suka berahsia.

Bagi lelaki, fahamilah jiwa seorang wanita. Hati wanita di mulut, sebab itu mereka lebih selesa berkata-kata, membebel dan juga mengumpat. Bila wanita ada masalah, mereka akan meluahkan kepada pasangannya. Sebagai seorang lelaki, terlebih dahulu, jangan cuba untuk mencari jawapan, dengarlah kata hatinya, dengarilah apa yang ingin dikatakan. Biasanya memang sudah ada penyelesaian kepada masalah, cuma mencari seseorang untuk meluahkan perasaan. Jalan terbaik bagi seorang lelaki ialah mendengar (listen).

Kesimpulannya, buat lelaki, untuk menambat hati seorang wanita, jadilah seorang pendengar yang baik. Jangan cepat sangat memotong kata atau memberikan jawapan. Buat wanita pula, jangan terlalu memaksa lelaki untuk meluahkan perasaan hatinya. Jiwa lelaki ini nampak saja keras tapi 'dalam hati ada taman'.

Lelaki dan wanita. Macam-macam...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan