Ahad, Ogos 21, 2011

Aktiviti Kacau Dodol

Dodol merupakan antara makanan tradisi penduduk di Negeri Melaka. Bagi keluarga Hj. Ayup, aktiviti bergotong-royong mengacau dodol biasanya dijalankan pada minggu terakhir bulan Ramadhan.

Hari Sabtu, 20 Ogos 2011 merupakan hari yang dirancang untuk aktiviti mengacau dodol. Tidak seperti tahun-tahun lepas, tahun ini aktiviti mengacau dodol dijalankan pada jam 2.30 petang. Namun begitu persiapan untuk membuat dodol perlu dirancang lebih awal lagi.



Seawal jam 7.00 pagi, bahan-bahan untuk membuat dodol seperti tepung beras, kelapa, gula pasir dan gula melaka telah disediakan oleh Mak Bedah dengan dibantu oleh anak perempuannya, Zainab. Seperti biasa, sehari sebelumnya pula, Mak Bedah akan merendam tepung beras dan kemudian mengisarnya supaya menjadi halus. Tidak seperti tahun lepas, tahun ini Mak Bedah menggunakan mesin pengisar untuk mengisar tepung. Kemudian tepung beras diperap dan ditiriskan supaya airnya 'turun'. Pada masa yang sama, kelapa akan diparut dan diambil santannya.



Aktiviti mengacau dodol yang kebiasaannya bermula seawal jam 8.00 pagi ditunda pada jam 2.30 petang. Tungku diletakkan di bawah bangsal dan kemudian kayu-kayu diletakkan di bawah tungku. Kayu-kayu ini akan dibakar agar proses mengacau dodol dapat dilaksanakan secepat mungkin. Kawah atau kuali besar diletakkan di atas tungku. Santan dan tepung beras dimasukkan ke dalam kawah dan dikacau menggunakan centong atau sudip panjang sehingga sebati dan naik baunya.



Selepas setengah jam dikacau, gula pasir dan gula melaka dicampurkan ke dalam tepung dan santan. Tahun ini Mak Bedah berhajat untuk menyediakan dodol durian. Ini kerana hasil durian di kebun Roseniza sungguh banyak. Isi durian yang disimpan di dalam bekas plastik kemudian dicampurkan ke dalam kuali. Dodol terus dikacau sehinggalah ia menjadi likat dan melekat-lekat. Proses mengacau dodol perlu dibuat dengan berhati-hati. Api harus dikawal supaya tidak terlalu marak. Proses mengacau dodol perlu dibuat secara bergilir-gilir dan berterusan bagi mengelakkan dodol berkerak. Biasanya, dodol cair akan dikeluarkan dan disimpan untuk dinikmati semasa berbuka puasa nanti. Mengacau dodol biasanya mengambil masa hampir 4 untuk siap sepenuhnya.



Fasa paling kritikal ialah mengacau dodol sewaktu ianya hampir likat. Sudahlah perit mata dek terkena asap dan bahang daripada api di tungku, kederat pula semakin berkurangan. Mengacau dodol di siang hari memang mencabar berbanding mengacau dodol di waktu malam.



Kira-kira jam 6.30 petang, aktiviti mengacau dodol tamat. Biasanya Mak Bedah akan menjadi pakar rujuk bagi menentukan sama ada dodol yang dikacau sudah boleh diangkat atau sebaliknya. Apabila dodol siap dimasak, ia akan dimasukkan ke dalam bekas-bekas plastik dan juga ke dalam periuk kecil.



Proses memasukkan ke dalam bekas tersebut perlu menggunakan pelepah daun pisang agar ianya tidak selekeh. Dodol yang siap akan diagih-agihkan kepada ahli keluarga apabila mereka berkumpul pada Hari Raya Aidilfitri kelak. Selain daripada itu, ia juga menjadi hidangan untuk tetamu di hari lebaran nanti.

Di sesetengah tempat kerja-kerja begini telah digantikan dengan mesin. Namun begitu, mengacau dodol merupakan aktiviti paling menyeronokkan dan bak kata orang Melaka, kalau tak ada dodol, tak berserilah raya nanti...







Tiada ulasan:

Catat Ulasan