Selasa, Ogos 16, 2011

Majlis Iftar Perpustakaan UTeM

Alhamdulillah. Majlis Iftar anjuran bersama Perpustakaan UTeM dan Kelab Staf Perpustakaan (Listac) berjalan lancar.

Majlis ini diadakan di Masjid UTeM pada hari Isnin, 15 Ogos 2011 itu dihadiri oleh pelajar, orang perseorangan dan staf perpustakaan bersama ahli keluarga mereka.



Program bermula pada jam 6.30 petang. Beberapa orang staf perpustakaan kelihatan membuat persiapan seperti membentang tikar, menyusun atur botol-botol air dengan kurma dan menghidang makanan untuk berbuka.

Jam 6.45 petang, Ustaz Muhammad Ridhwan Mohd Danian, Pembantu Hal Ehwal Islam, Masjid UTeM memberikan tazkirah bertajuk Adab Semasa Berbuka. Tazkirah selama lebih kurang 20 minit ini disulami dengan jenaka yang membuatkan hadirin menguntum senyuman.

Sebaik tiba waktu berbuka, jemaah yang ada menikmati beberapa biji kurma dan air mineral kemudian lantas mengerjakan Solat Maghrib. Program kemudian diteruskan dengan jamuan makan. Menu istimewa hari itu ialah nasi tomato, kuih donat, karipap dan kuih koci. Jemaah juga menikmati minuman teh dan teh o. Kira-kira 150 orang menghadiri Majlis Iftar ini.

Majlis Iftar anjuran Perpustakaan UTeM dan Listac ini masuk tahun kedua penganjurannya. Ia merupakan program yang disusun oleh UTeM dengan kerjasama Pusat Islam, jabatan dan fakulti bertujuan mengimarahkan masjid sempena bulan Ramadhan. Setiap jabatan dan fakulti akan bergilir-gilir menaja makanan untuk para jemaah masjid.

Sekalung tahniah kepada Perpustakaan UTeM dan Listac kerana berjaya menganjurkan Majlis Iftar ini walapun dalam masa yang singkat. Tahniah juga buat Pengerusi Listac, Mohd Nasir Hashim, Naib Pengerusi, Zaidi Saad, Bendahari, Arman Mohammad, Setiausaha, Siti Norhashimah Kolah serta jawatankuasa mereka kerana bersungguh-sungguh melaksanakan program begini.

Selain merapatkan hubungan silaturrahim di kalangan staf yang semakin bertambah bilangannya, ia juga menunjukkan komitmen perpustakaan terhadap aktiviti anjuran universiti.

Foto: Kredit kepada Mr. Harul.














Tiada ulasan:

Catat Ulasan