Khamis, Januari 05, 2012

Selamat Hari Lahir Miza, Alim...

Isnin, 2 Januari 2012. Hari ini merupakan hari ulangtahun kelahiran Miza dan Alim. Secara kebetulan, kedua anak ini dilahirkan pada tarikh yang sama tetapi tahun berbeza. Miza menyambut ulangtahun kelahirannya kali ke-9 manakala Alim menyambut ulangtahun kelahirannya ke-8.

Kami jarang dapat menyambut ulangtahun kelahiran keduanya pada tarikh 2 Januari setiap tahun kerana kebiasaannya sibuk membuat persiapan persekolahannya. Kami akan sambut hari lahir Miza dan Alim seminggu selepas tarikh tersebut. Tetapi pada tahun ini, aku bertekad untuk menyambutnya pada tarikh tersebut agar ianya menjadi lebih 'happening'.

Pagi itu kami ke Aeon Bandaraya Melaka Shopping Centre untuk membeli barang-barang keperluan bagi persiapan majlis hari lahir Miza dan Alim. Antaranya kek hari lahir, buah-buahan, makanan ringan dan lain-lain lagi. Kami bercadang untuk membuat majlis sambutan hari lahir secara kecil-kecilan sahaja.

Pukul 5.00 petang, kami meminta Miza dan Alim menjemput rakan-rakannya. Apabila rakan-rakannya sampai, Miza dan Alim duduk di hadapan sebuah meja di samping kek hari lahirnya. Rakan-rakan menyanyikan lagu 'Happy Birthday' dan 'Allah Selamatkan Kamu' dan apabila selesai, kek dipotong.

Miza dan Alim menjemput rakan-rakannya menjamu selera dan membahagi-bahagikan kek hari lahir kepada mereka.

Sebelum balik, tetamu yang hadir dihadiahkan bungkusan 'berkat'.

Kami sekeluarga mendoakan semoga Miza dan Alim dipanjangkan umur, murah rezeki dan akan terus dewasa serta berjaya dalam hidupnya di masa hadapan.

Amin!



















Isnin, Januari 02, 2012

Menikmati Makanan Laut Di Muara Sungai Duyung

Ahad, 1 Januari 2012. Sebaik selesai membeli barang-barang keperluan sekolah anak-anak, kami singgah di Medan Ikan Bakar Muara Sungai Duyung. Kami tiba di sana pada pukul 6.45 petang. Malam semalam kami bercadang untuk menikmati makanan laut di sini malangnya terlalu ramai pengunjung sehinggakan tiada meja kosong lalu kami beralih ke sebuah gerai di Permatang Pasir untuk makan malam.



Kami sangkakan kami datang pada sebelah petang, bilangan pengunjung tidak ramai. Rupanya, pada sebelah petang pun ramai juga pengunjung sehinggakan untuk memilih barangan basah seperti ikan, sotong, udang dan lain-lain lagi, pengunjung perlu beratur panjang.

Ida dan Arif mencari meja kosong dan akhirnya kami mendapat sebuah meja yang letaknya cukup menarik iaitu di bahagian sisi gerai berhampiran muara. Pemandangan di muara pada waktu matahari terbenam memang menarik ditambah dengan bot-bot nelayan yang keluar masuk melalui muara. Aku sempat merakam foto-foto berkenaan.

Tujuan aku membawa anak-anak menikmati makanan laut ini ialah sebagai meraikan di atas kejayaan anak-anak di dalam peperiksaan tempohari. Ifa berjaya di dalam peperiksaan UPSR manakala Arif cemerlang di dalam PMR. Setidak-tidaknya ia merupakan suatu penghargaan di atas segala penat lelah mereka selama setahun memberikan fokus terhadap persediaan yang bakal didudukinya.



Ida memesan udang goreng butter, sotong dan ketam goreng, kupang sambal, ikan jenahak bakar, ikan siakap sweet n sour dan ikan terubuk bakar. Kesemua makanan laut ini dimakan bersama nasi lemak. Ida juga memesan otak-otak yang sangat digemari oleh Miza dan Alim. Bagi minuman, Ida memesan air teh o ais limau dan air kelapa muda.

Hampir dua jam kami di sana, anak-anak teruja menikmati makanan laut. Aku sangat gembira bila melihat anak-anak seronok menikmati makanan mereka. Sambil makan, aku merakamkan beberapa foto aksi anak-anak menikmati makanan.

Pukul 8.30 malam, setelah selesai menikmati makanan laut, kami bergerak pulang ke rumah. Anak-anak mengucapkan terima kasih di atas jamuan yang diberikan itu.

























Menguruskan Persiapan Persekolahan

Diam tak diam, cuti persekolahan sudahpun berakhir. Bagi anak-anak, mood bercuti harus ditukar kepada mood belajar. Seperti tahun-tahun lalu, apabila sesi persekolahan bermula, persiapan persekolahan anak-anak harus diadakan.



Semalam selepas Zuhur, kami sekeluarga ke Syarikat Bee Loon di Jalan Temenggong. Syarikat pakaian yang telah bertapak di Melaka selama 45 tahun ini menyediakan keperluan persekolahan seperti pakaian, beg sekolah, alatulis, pakaian seragam dan sebagainya. Di sini, selain pakaian siap yang dijual, pakaian sekolah juga boleh ditempah khususnya mereka yang tiada saiz pakaiannya.



Arif memilih dua helai seluar seluar, baju, pakaian seragam dan tali pinggang. Ifa, Miza dan Alim juga membeli pakaian sekolah cuma Miza perlu menempah kain sekolah agama kerana tiada saiz yang sesuai.




Kami membeli hanya beberapa helai pakaian bagi menampung pakaian yang sedia ada tahun lepas. Itupun kosnya sudah mencapai RM300.00.

Pukul 4.00 petang, kami beredar ke Jaya Jusco di Lebuh Ayer Keroh. Di sana kami membeli kasut dan beg sekolah untuk anak-anak. Arif membeli kasut kain berwarna hitam manakala Ifa membeli kasut kulit hitam. Miza dan Alim membeli kasut sekolah berwarna putih dengan stokin. Kos untuk kasut dan beg juga mencecah RM400.00.




Hampir jam 6.00 petang, kami bergerak ke Medan Ikan Bakar di Muara Sungai Duyung untuk menikmati makanan laut di sana.

Ahad, Januari 01, 2012

Selamat Tahun Baru 2012



Tahun 2011 baru sahaja berlalu. Buat semua pembaca blog ini, saya mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Tahun Baru 2012. Apa azam baru ya?

Semoga apa yang kita rancangkan hendaknya dilakukan dengan ikhlas kerana Allah SWT dan semoga hidup kita akan terus dilimpahi dengan kejayaan dan rahmat Allah hendaknya...

Selamat Tahun Baru 2012.