Rabu, Ogos 31, 2011

Takbir Malam Raya

Isnin, 29 Ogos 2011. Seperti kelazimannya, suasana bertakbir pada malam Hari Raya Aidilfitri di Kg. Pangkalan Jajar, Alai sungguh meriah. Pada malam tersebut, sesudah solat Isyak, ahli kariah Surau At-Ta'lim Ad- Diniah akan berkumpul di surau untuk bertakbir dan bertahmid. Pada malam itu juga, jemaah lelaki akan akan membawa anak-anak mereka untuk bertakbir bersama tidak kira lelaki maupun perempuan.

Seorang demi seorang jemaah dewasa akan melaungkan takbir memuji kebesaran Allah SWT di surau berkenaan. Kanak-kanak di surau berkenaan dengan lantang menyambut takbir dan mengulanginya berkali-kali. Lebih kurang pukul 9.30 malam, sesi bertakbir di surau selesai. Pada tahun ini boleh dikatakan lebih 200 orang kanak-kanak menyertai sesi bertakbir ini. Kanak-kanak diminta oleh jemaah surau beratur mengikut barisan iaitu lelaki sebaris dan perempuan sebaris. Beberapa orang jemaah surau mewakili jawatankuasa surau menghulurkan wang kepada kanak-kanak yang turun dari surau tersebut sebagai tanda sedekah. Sungguh gembira kanak-kanak mendapat duit raya.

Suasana sekeliling hiruk-pikuk dengan suara jeritan kanak-kanak di samping bunyi dentuman mercun yang dilontarkan mereka. Beberapa orang jemaah berbincang pelan tindakan iaitu siapa yang akan mengepalai sesi bertakbir dari rumah ke rumah dan bilangan rumah yang akan dikunjungi.

Memandangkan kawasan kampung ini mempunyai banyak bilangan rumah, sesi bertakbir dari rumah ke rumah dipecahkan kepada beberapa kumpulan. Bagi kumpulan kami, sebanyak 14 buah rumah ditetapkan untuk ditakbir dengan diketuai oleh Pak Long Latip. Kebanyakan jemaah dewasa akan menyumbangkan alunan takbir sebanyak dua kali sebelum ditutupi dengan doa. Tuan rumah akan menyediakan juadah mengikut kemampuan. Ada yang menghidangkan ketupat, rendang dan sambal, ada juga nasi ayam dan tidak ketinggalan kuih-muih. Bagi yang berkemampuan, sedekah atau duit raya dihulurkan kepada tetamu.

Sepanjang perjalanan, suasana riang gembira kelihatan terutama kanak-kanak. Semakin banyak rumah, semakin penuh poket masing-masing. Bagi yang kurang berkemampuan, mungkin akan menghulurkan seringgit sebaliknya bagi yang mampu, mereka menghulurkan sehingga lima ringgit. Sambil berjalan, di sana-sini terdengar bunyi dentuman mercun dan riuh kanak-kanak bermain bunga api.

Hampir jam 2.00 pagi, sesi bertakbir dari rumah ke rumah tamat. Biasanya bagi kumpulan kami, rumah Mak Munah adalah rumah terakhir.

Walaupun masa berubah, tradisi bertakbir dari rumah ke rumah tetap diutamakan ianya dapat diteruskan oleh generasi masa depan.






























Membersih Kuburan Nenda

Isnin, 29 Ogos 2011. Lebih kurang jam 9.00 pagi, aku ke Kawasan Perkuburan Kg. Musai untuk membersihkan kubur nenda, Allahyarhamah Hajah Empah Wahab. Keluarga kami besar, 12 orang adik-beradik dan sewaktu kecil aku dijaga oleh nenda. Arwahlah yang menguruskan persekolahan aku dan menghantar aku mengaji Al-Quran. Pada masa itu, kami tinggal di Kampung Durian Daun Dalam, Melaka.

Sewaktu aku di Tingkatan 3, kami berpindah ke Bukit Palah kerana arwah nenda mendapat sebidang tanah dari bapanya. Aku masih lagi menetap bersama nenda walaupun rumah emak dan ayah hanya bersebelahan sahaja. Aku tidak berapa pasti, seingat aku sekitar tahun 1994, arwah diserang penyakit strok menyebabkan arwah tidak boleh bergerak. Arwah hanya terlantar di atas katil dan segala keperluan diuruskan oleh tiga orang anaknya.



Pada Januari 2000, arwah diserang penyakit strok sekali lagi dan dimasukkan ke Hospital Besar Melaka. Beberapa hari kemudian arwah kritikal dan masih aku ingat pada Subuh 25 Januari 2000, aku dihubungi dan dimaklumkan oleh Mak Ngah Norsiah bahawa nenda sudah tiada lagi.

Aku bergegas ke hospital untuk bersama-sama dengan ayah menguruskan jenazah dan juga persediaan untuk pengebumian. Selepas Zuhur, jenazah nenda selamat disemadikan di Kawasan Perkuburan Kg. Musai, lebih kurang satu kilometer dari rumah.



Semasa hidupnya, arwah membesarkan anak-anaknya sendirian setelah bercerai dengan suaminya. Bekerja sebagai atendan hospital, arwah saban hari mengayuh basikal untuk ke tempat kerja.

Kini, setelah lebih 11 tahun arwah pergi, aku tetap melawat pusara nenda. Aku membersihkan kawasan kuburan dengan mencabut rumput-rumput serta memangkas pohon-pohon rimbun. Kemudian aku menukarkan kain putih pembalut nesan serta menabur batu-batu putih halus agar nampak bersih. Lalu aku menabur bunga-bungaan agar nampak seperti terjaga kembali.



Sebelum beredar, aku sempat menghadiahkan Yaasin buat arwah nenda. Semoga arwah ditempatkan di kalangan orang yang soleh.

Al-Fatihah. Amin.

Kacau Dodol Lagi

Pada hari Ahad, 28 Ogos 2011 yang lalu, Mak Munah mencadangkan untuk menambah koleksi kuih rayanya dengan membuat dodol. Bagi orang Melaka, kalau dodol tidak ada, ia merupakan satu kekurangan dan bagi orang-orang 'lama' sudah pasti merindui juadah tradisi ini.

Pada jam 4.30 petang, aku mengupas 25 biji kelapa dan memarutnya menggunakan mesin pemarut kelapa untuk diambil santan kelapa.



Jam 5.00 petang, tungku diletakkan di bawah garaj kereta dan dapur mudahalih dipasang dengan tong gas. Api dinyalakan dan penghadang angin diletakkan bersebelahan bagi mengelakkan api yang dinyalakan ditiup angin.



Santan yang diperah dimasukkan ke dalam besin. Aku lantas memasukkan santan dan tepung beras yang digaul dan disebatikan ke dalam kuali.



Inilah rupanya proses awal membuat dodol.



Api perlu dikawal agar nyalaannya sederhana. Jika api terlalu besar, dikhuatiri dodol akan berkerak.



Sementara itu, gula Melaka diracik-racik agar mudah dituang ke dalam kuali. Proses meracik dibuat oleh Mak Munah.



Setelah mendidih dan santan menjadi pekat, dimasukkan gula pasir dan juga gula Melaka yang diracik tadi. Proses mengacau dodol diteruskan.



Mengacau dodol peringkat awal agak mudah tetapi bila dodol semakin likat, ia memerlukan kudrat yang lebih. Di sinilah mereka yang terlibat dengan proses mengacau dodol akan teruji ketahanan fizikal dan mentalnya. Ifa turut membantu mengacau dodol kerana ingin merasai pengalaman tersebut.



Arif juga terlibat tetapi sekejap-sekejap menghilangkan diri kerana ingin menonton bolasepak EPL.



Eimran juga ingin merasai pengalaman mengacau dodol.



Nak tak nak, aku dengan Kodin terpaksa menjadi pengacau dodol tetap.



Dodol yang semakin likat.



Kami bertukar-tukar mengacau dodol setiap lebih kurang seminit setengah. Ada kalanya Farok mengambil 'baton' menggantikan Kodin dan adakalanya aku pula menggantikan Farok.



Mengacau dodol pada waktu malam tidaklah meletihkan kerana jika kehausan, ada minuman disediakan. Kira-kira jam 10.00 malam, dodol yang dikacau menjadi semakin likat dan berat serta tidak melekat-lekat. Itu petandanya dodol sudah semakin 'masak' dan sudah boleh 'diangkat'.



Dodol yang siap dimasukkan ke dalam bekas menggunakan batang pisang yang dikaut pada alat mengacau dodol.



Turut menyaksikan proses mengacau dodol ialah Busu Jamil dan Pak Uda Samad. Kedua mereka ini suatu masa dahulu memang antara orang yang bertanggungjawab mengacau dodol. Kini peranan tersebut diambilalih oleh generasi terkemudian seperti aku.



Percikan bunga api yang dirakamkan oleh Farok.



Pada malam tersebut juga ada bunga api dan mercun dimainkan oleh ahli keluarga dan jiran-jiran.



Menanti hari lebaran sudah tentu meriah dengan suasana dan persediaan seperti dodol, ketupat, rendang, bunga api dan mercun.