Khamis, Mac 22, 2012

Mesyuarat Agung LISTAC Kali Ke-9

Kelab Staf Perpustakaan UTeM (LISTAC) telah mengadakan Mesyuarat Agungnya kali ke-9 pada 21 Mac 2012 bertempat di Bilik Tayangan 2, Perpustakaan UTeM. Ini adalah barisan jawatankuasa baru yang dilantik pada Mesyuarat Agung Ke-8 pada 13 Januari 2011.


Pengerusi dan Timbalannya meminta perhatian ahli untuk memulakan mesyuarat agung.


Ahli kelab kelihatan gembira dijamu dengan makanan segera.


McDonald...


Makan dulu atau mesyuarat?

Majlis bermula pada jam 2.30 petang. Pengacara majlis, Zaidi Saad merangkap Naib Pengerusi LISTAC seperti lazimnya mengalu-alukan kehadiran semua ahli ke mesyuarat agung tersebut. Bagi memberkati majlis, Eiisaa Ahyead, staf di Unit Rujukan memimpin bacaan doa.


Barisan AJK dan Penasihat.


Bacaan doa pembukaan majlis oleh Eiisaa Ahyead.

Memulakan agenda Mesyuarat Agung Kali Ke-9, Pengerusi LISTAC, Mohd. Nasir Hashim dijemput memberikan ucapan alu-aluan kepada ahli kelab. Di dalam ucapannya, Mohd. Nasir merakamkan penghargaan di atas kepercayaan dan amanah yang diberikan oleh ahli terhadap barisan jawatankuasa yang dilantik. Beliau menyeru ahli-ahli kelab agar bersama-sama menyumbangkan idea dalam memperbanyakkan aktiviti kelab.


Mohd. Nasir Hashim, Pengerusi LISTAC.

Menurut Mohd. Nasir lagi, segala cadangan dan kritikan perlulah melalui saluran yang betul dan rasional bukan berlandaskan emosional semata-mata. Katanya lagi, kritikan yang membina akan dapat menambahbaik perjalanan aktiviti LISTAC.


Ahli yang tekun mendengar amanat Pengerusi.

Mohd. Nasir meminta setiap ahli sentiasa berlapang dada dengan apa yang ada. Katanya pada tahun 2012, ikatan ukhuwah di antara ahli perlu diperkukuhkan dan setiap ahli perlu berganding bahu bersama-sama mencapai matlamat penubuhan LISTAC.


Sesekali lucu juga mendengar nasihat Pengerusi.

Sepanjang tahun 2011, banyak aktiviti dapat diadakan antaranya Majlis Iftar, Majlis Persaraan Timbalan Ketua Pustakawan Kanan, lawatan keluarga staf yang sakit dan meninggal dunia, aktiviti sukan dan lain-lain aktiviti sosial.


Barisan AJK yang sedang memikirkan jawapan semasa pembentangan laporan nanti.

"Biarlah kita tidak dihargai tetapi jangan sampai diri kita tidak berharga", ujar Mohd. Nasir ketika menutup ucapannya dan turut memberikan ucapan penghargaan kepada barisan jawatankuasa LISTAC di atas komitmen jitu mereka.


Tekun meneliti penyata kewangan LISTAC.

Agenda seterusnya ialah ucapan aluan daripada Penasihat LISTAC yang juga Ketua Pustakawan, Hajah Faridah Hj. Md. Amin. Beliau mengucapkan tahniah kepada barisan jawatankuasa di atas tugas dan tanggungjawab yang dipikul dan berharap jawatankuasa dapat menjalankan mesyuarat agung dengan lancar.


Hajah Faridah Hj. Md. Amin, Penasihat LISTAC.

Beliau berharap pada tahun 2012, LISTAC dapat mengadakan aktiviti yang lebih menyerlah dan memastikan segala perancangan dapat disusun dengan teratur. Beliau juga mengucapkan tahniah kepada pasukan dan penyokong pasukan Perpustakaan+FTK di atas kejayaan dalam beberapa sukan yang dipertandingkan dalam Sukan Antara Jabatan (SAJ). Pada pukul 2.55 petang, Penasihat LISTAC merasmikan Mesyuarat Agung LISTAC Kali ke-9.


Hajah Faridah Hj. Md. Amin merasmikan Mesyuarat Agung LISTAC Kali ke-9.

Bagi menghargai sumbangan Ahli Jawatankuasa LISTAC 2009/2010, Pengerusinya, Harulrizam Mohamed dijemput untuk menerima sijil penghargaan bagi pihak ahli jawatankuasanya.


Harulrizam Mohamed menerima sijil penghargaan bagi pihak ahli jawatankuasanya.

Sebagai sumbangan kepada jabatan, beberapa peserta sukan yang memperolehi pingat dalam olahraga menyerahkan pingat yang diterimanya kepada Ketua Pustakawan. Majlis kemudian menjemput Mohd. Nasir selaku Pengerusi LISTAC menyerahkan sebakul buah-buahan sebagai cenderahati LISTAC kepada perasmi, Puan Hajah Faridah.


Penasihat LISTAC menerima cenderahati daripada Pengerusi LISTAC.

Perjalanan Mesyuarat Agung kemudian diteruskan dengan tayangan montaj. Dua montaj ditayangkan iaitu montaj kenangan bekas ahli LISTAC, Allahyarham Mohd Effendi Rajali yang kembali ke Rahmatullah pada 20 Februari 2012 dan montaj perjalanan aktiviti LISTAC 2011.


Montaj Kenangan Allahyarham Mohd Effendi Rajali


Montaj Aktiviti LISTAC 2011

Sempena dengan majlis ini, diadakan juga pelancaran blog LISTAC yang baru. Blog ini dibangunkan oleh Zuraidah Amar yang akan mengisi berita-berita dan perkembangan semasa serta aktiviti LISTAC sepanjang tahun.

Perjalanan Mesyuarat Agung Ke-9 diteruskan dengan pengesahan Minit Mesyuarat Agung LISTAC Kali ke-8, pembentangan laporan setiap biro bermula dengan laporan penyata kewangan oleh Arman Mohammad selaku Bendahari Kelab, laporan Biro Kebajikan dan Sosial oleh Azman Amir dan laporan Biro Sukan dan Rekreasi oleh Thaqif Mohd Isa.


Arman Mohammad selaku Bendahari LISTAC membentangkan penyata kewangan.


Pembentangan laporan Biro Kebajikan dan Sosial oleh Azman Amir.


Thaqif Mohd Isa membentangkan laporan Biro Sukan dan Rekreasi.


Ahli-ahli LISTAC mencari isu untuk diketengahkan.


Apa yang lucunya tu...? Salleh nak claim duit minuman...


Tahun ni sukan macam mana?


Makin petang makin lesu..


Minit Mesyuarat Agung LISTAC.

Mesyuarat Agung diteruskan dengan agendanya iaitu perkara-perkara berbangkit dan cadangan daripada ahli. Ramai ahli yang memberikan cadangan untuk penambahbaikan aktiviti LISTAC. Di akhir majlis diadakan juga acara potong kek sempena perpisahan Norlian Mohd Najib, ahli LISTAC yang juga Pustakawan yang bakal menamatkan tugasnya di UTeM sebelum menjawat jawatan baru di sebuah firma di Petaling Jaya.


Norlian memotong kek perpisahan sambil diraikan oleh rakan-rakan.


Menerima cenderamata daripada Pengerusi LISTAC.

Mesyuarat Agung LISTAC Kali Ke-9 berakhir ada pukul 5.00 petang.

Rabu, Mac 21, 2012

Tayar Kereta Pecah

Dari Muar kami berpisah di Sungai Rambai. Farok memecut kereta Toyota Wishnya melalui jalan lama manakala aku melalui Lebuh AMJ.

Beberapa kilometer melepasi persimpangan lampu isyarat berhampiran Politeknik Merlimau, aku mula memecut kenderaan pada kadar sederhana. Anak-anak duduk diam di kerusi sambil menonton video yang dipasang di dalam kereta.

Tiba-tiba aku rasa kenderaan tidak stabil. Lantas aku memperlahankan kenderaan sambil mata melirik pada cermin sisi sebelah kiri kenderaan. Daripada lampu kenderaan yang mengekoriku, kelihatan asap keluar di bahagian kiri kereta.

Perlahan-lahan aku memberhentikan kenderaan di bahu jalan. Anak-anak sudah tergamam tetapi aku tenang. Lokasi kejadian betul-betul berhampiran batu jalan bertanda 15 km ke Bandaraya Melaka.

Aku melihat tayar bahagian belakang sebelah kiri pecah. Patutlah semasa dalam perjalanan ke Mersing dua hari lepas, aku ditegur oleh Ida dan Ifa kerana semasa aku mengambil selekoh, kenderaan seperti berbuai-buai.



Ida segera menelefon Roziah dan memaklumkan kejadian tersebut. Aku pula segera menelefon Zamry, adik aku meminta beliau datang membantu. Sepuluh minit kemudian, Farok sampai dan aku meminta kanak-kanak dibawa pulang segera. Roziah dan Ida memindahkan anak-anak ke dalam kereta Toyota Wish manakala aku, Farok dan Arif menunggu hingga Zamry sampai.

Pukul 9.30 malam, Zamry sampai dan membantu menukar tayar kereta yang pecah dengan tayar simpanan. Lebih kurang 15 minit kemudian, tayar gantian siap dipasang. Akhirnya aku bergerak balik dan sampai di rumah pukul 10.00 malam.

Alhamdulillah, mujurlah semuanya selamat, barangkali berkat anak-anak yang dilindungi Allah berada di dalam kenderaan yang aku pandu. Aku bercadang untuk menukar dua buah tayar baru pada keesokan hari bagi menjamin keselamatan perjalanan kami sekeluarga.

Perjalanan Mersing-Air Hitam-Muar

Dari Mersing kami bergerak melalui Keluang dan kemudian singgah di Air Hitam untuk membeli buah tangan buat Mak Bedah. Aku sempat membeli keladi, nanas dan jambu madu untuk dibawa pulang ke rumah. Hampir 45 minit melawat gerai-gerai di sana, pukul 5.15 petang, kami bergerak mengikut jalan lama iaitu Batu Pahat-Melaka.



Kami akhirnya singgah di sebuah medan ikan bakar di Kg. Sawah Parit Kesang Laut berhampiran Tanjung Agas untuk menjamu selera. Tempatnya menarik di mana lokasinya berdekatan dengan pantai tetapi agak gelap kerana dikelilingi pokok bakau. Di sini juga suasana malam dicemari bunyi bising kera-kera yang berhabitat di sekitar paya bakau ini.



Pelbagai makanan dipesan seperti udang, ikan, sotong dan lain-lain lagi.

Setelah selesai menjamu selera, pukul 8.30 malam, kami berpisah. Setelah bersalaman, Zaki bergerak balik ke Muar manakala kami dua lagi kenderaan bergerak ke Melaka.

Kereta aku dipenuhi kanak-kanak dan aku merancang balik terus ke rumah manakala Farok pula diminta menghantar Shafiq di Pulai.

Hari Terakhir Di Pulau Tioman

Rabu, 14 Mac 2012. Seawal jam 5.30 pagi, ada di antara ahli keluarga kami yang sudahpun masuk ke bilik air untuk mengemas diri. Kami bersarapan secara sederhana sahaja kerana harus bergerak ke jeti jam 7.00 pagi.

Hari ini merupakan hari terakhir kami di Pulau Tioman. Kami harus segera ke jeti memandangkan feri akan bergerak jam 9.00 pagi. Pukul 7.00 pagi kami tiga keluarga menunggu tram di lobi apartment setelah semua urusan pemulangan kunci bilik selesai.

Lima minit kemudian, tram yang disediakan oleh pengurusan Berjaya sampai dan membawa kami terus ke jeti di Tekek. Perjalanan mengambil masa selama lebih kurang 15 minit.

Sementara menunggu ketibaan feri, aku sempat merakam foto-foto di sekitar jeti dan pekan Tekek.

Pukul 9.00 pagi, kami bergerak dari kompleks jeti ke feri. Perjalanan lancar tetapi kami dimaklumkan bahawa salah satu daripada enjin bot tersebut tidak berfungsi. Perjalanan yang sepatutnya mengambil masa lebih kurang satu jam setengah dari Tekek ke Mersing akhirnya tiba jam 11.30 pagi.

Syukur, perjalanan dengan bot selamat sampai. Dari jeti, kami berjalan kaki ke Stadium Mersing yang terletak hanya beberapa meter dari jeti tersebut untuk mengambil kenderaan yang diletakkan di bawah pengawasan penjaga kereta.

Setelah semuanya selesai, kami bergerak ke Bandar Mersing untuk makan tengah hari di sebuah kedai makan manakala Zaki pula bercadang untuk mencari ikan masin untuk dibawa pulang.