Ahad, Julai 22, 2012

Jemaah Umrah Di KLIA

16 Julai 2012. Bergerak dari Melaka ke KLIA mengambil masa lebih kurang 1 jam 30 minit. Dua kenderaan menghantar jemaah umrah. Ida dan Ifa menaiki kereta aku bersama anak-anak yang lain, Arif, Miza dan Alim. Mak Bedah juga turut sama dalam rombongan menghantar jemaah umrah ini. Sebuah lagi kereta ialah kepunyaan Farok. Mereka sekeluarga yang dalam perjalanan pulang ke Putra Heights turut menumpangkan Mak Munah.

Jam 8.30 pagi kami sampai di KLIA. Ramai jemaah lain dari Gemilang Travel and Tours sudahpun berada di suatu sudut mendengar penerangan daripada wakil syarikat yang juga mutawif, Ustaz Wahab.

Selesai penerangan, sesi bersalaman di antara ahli keluarga. Ada yang berpelukan dan ada juga yang menangis. Kami mengambil kesempatan untuk bergambar sebagai kenang-kenangan.

Jam 9.00 pagi, jemaah diminta untuk bersiap sedia untuk bergerak ke ruang perlepasan antarabangsa. Sebaik jemaah diperiksa dokumen perjalanan dan dibenarkan ke ruang perlepasan oleh pihak imigresen, perhubungan kami hanyalah sekadar melambaikan tangan sahaja tanda perpisahan.

Mengikut jadual, jemaah akan berada selama 12 hari di Tanah Suci. Mereka akan menuju ke Madinah dan akan berada di sana selama 4 hari sebelum bergerak ke Mekah untuk menunaikan umrah. Mereka dijangka pulang ke Malaysia pada pagi 27 Julai 2012.

Aku berdoa semoga perjalanan ini diredhai Allah SWT dan semoga selamat dalam perjalanan pergi dan balik umrah.


















1 ulasan:

  1. salam Hj...pegi umrah dgn gemilang travel ni ok ke?sbb sy 1st time pegi dgn gemilang travel ni...tatau tahap pengurusan dan layanan mereka ni

    BalasPadam