Isnin, Julai 30, 2012

Arif Dapat Tawaran Sekolah Berasrama Penuh

Selasa, 24 Julai 2012. Jam 10.00 pagi, aku menerima panggilan telefon daripada Zainab, adikku memaklumkan sepucuk surat atas nama Muhammad Arif daripada Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan, Kementerian Pelajaran Malaysia telah dibuka olehnya.



Tambahnya lagi, Arif ditawarkan ke SBP Integrasi Selandar dalam Aliran Sains Tulen dan diminta segera mendaftar di SBP tersebut. Aku yang menerima perkhabaran ini semacam berbelah bagi kerana SMKA Sultan Muhammad pun sebuah sekolah yang bagus dari segi akademik khususnya agama. Fikiran melayang jauh memikirkan apakah keputusan yang bakal dibuat oleh Arif.

Aku segera memaklumkan tawaran ini kepada Ida yang sedang mengerjalan umrah di Mekah. Ida juga sependapat dengan aku meminta Arif membuat keputusan sendiri.

Selepas pulang dari kerja, aku singgah di SMKA Sultan Muhammad dan berjumpa Arif sewaktu para pelajar sibuk ke dewan makan bagi menunggu waktu berbuka puasa. Bila ditunjukkan surat tawaran, Arif semacam tidak berminat barangkali waktu untuk berpindah ke sekolah lain sudah lewat tambahan beliau rasa selesa dengan sekolahnya sekarang.

Aku tidak memaksa Arif membuat keputusan. Aku memberikan beliau sedikit masa untuk berfikir dan bertanyakan kepada rakan-rakan atau guru-guru pendapat mereka mengenai tawaran ini.

Selang sehari, aku mendapat panggilan telefon daripada Arif. Katanya dua orang daripada SMKA Sultan Muhammad mendapat tawaran ke SBP dan beliau bersetuju untuk ke sana. Alhamdulillah, keputusan telah dibuat dan aku mengingatkan kesan daripada keputusan ini. Arif nekad menerimanya setelah mendapat nasihat yang betul daripada guru-gurunya.

Proses seterusnya ialah melengkapkan beberapa borang sepertimana dalam surat tawaran dan mendapatkan surat berhenti sekolah daripada sekolah lamanya.

Semoga dengan meneruskan persekolahan di SBPI Selandar, cita-cita dan harapan beliau menjadi yang terbaik akan termakbul hendaknya.

4 ulasan:

  1. Hijrah untuk mencari ilmu pasti berbaloi
    Mencari ilmu jalannya susah.
    all the best for Arif

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih di atas ucapan. Doakan semoga beliau berjaya...

      Padam
  2. Insyaallah semoga berjaya.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih di atas ucapan dan doakan semoga beliau terus berjaya...

      Padam