Rabu, April 06, 2011

Majlis Pernikahan Adib di Perlis

Sabtu, 12 Mac 2011. Kira-kira jam 9.00 pagi, kami sekeluarga bergerak dari Putra Height menuju Kangar, Perlis. Tujuannya ialah untuk menyaksikan majlis pernikahan Adib pada sebelah malam. Pada jam 6.00 petang, kami sekeluarga sudahpun berada di bandar Kangar setelah melalui Lebuhraya Utara-Selatan.

Kami sekeluarga menginap di sebuah homestay yang disediakan oleh Pak Uda bersama keluarga Zaki. Jarak di antara homestay ke rumah pengantin lebih kurang 2 km sahaja. Selepas Isyak, majlis pernikahan diadakan di Masjid Kg. Behor Pulai. Dari Melaka, rombongan yang mengiringi pengantin ialah sebuah bas dan enam buah kereta.

Dengan sekali lafaz, kedua mempelai selamat diijabkabulkan. Di sini lafaz taklik tidak perlu dibuat. Majlis menjadi begitu mudah.

Ahli rombongan dipelawa ke rumah pengantin perempuan untuk menjamu selera. Orang Melaka memenuhi khemah disediakan. Di sini majlis jamuan makan begitu ringkas. Tiada hiasan di meja makan pengantin.

Pukul 10.00 malam, kami sekeluarga balik semula ke homestay untuk berehat.

Keesokan harinya, jam 12.00 tengah hari, rombongan yang sama berkumpul untuk meraikan majlis persandingan kedua mempelai. Buat Adib dan isterinya, semoga ikatan perkahwinan ini berkekalan selamanya.



































Perpustakaan Kampus Industri Bakal Beroperasi Semula

Pada 10 Mac 2011, seramai 7 orang staf perpustakaan dengan diketuai oleh Ketua Pustakawan telah mengadakan lawatan ke tapak perpustakaan di Kampus Industri, Ayer Keroh. Lawatan ini bertujuan meninjau kemudahan yang ada dan bakal disediakan bagi membolehkannya beroperasi dalam jangkamasa terdekat. Turut hadir ialah wakil daripada Pejabat Pembangunan dan juga tuanpunya bangunan.

Perbincangan ringkas diadakan bagi memperincikan kemudahan yang akan disediakan oleh Pejabat Pembangunan seperti rak, kerusi, meja, komputer dan lain-lain kemudahan bagi membolehkannya memberikan perkhidmatan kepada pelajar dan staf akademik dengan kadar segera. Ia juga selaras dengan hasrat UTeM untuk memenuhi keperluan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Pada masa ini Fakulti Kejuruteraan Mekanikal sudahpun beroperasi di Kampus Industri manakala lain-lain PTj akan menyusul kemudian. Lawatan tapak pada hari ini, menyaksikan apa yang ditinggalkan semasa berpindah dua tahun lalu masih seperti sediakala.

Persoalannya staf perpustakaan manakah yang bakal bertugas di sana, masih belum diketahui.

Sama-sama kita tunggu.














Selasa, April 05, 2011

Mak Munah Pulang Umrah

Pada 4 Mac 2011, jam 11.50 malam, ibu mertua, Hajah Munah Isnin bersama adiknya, Haji Ahmad Isnin, selamat kembali ke tanahair setelah 2 minggu di tanah suci kerana menunaikan umrah. Rombongan ke tanah suci ini bertolak pada 19 Februari 2011.

Mengikut jadual penerbangan, rombongan umrah ini yang menggunakan perkhidmatan De Mawardah Travel & Tours menaiki pesawat Garuda Airlines berlepas dari Jeddah jam 2.00 petang waktu Arab Saudi dan transit di Jakarta sebelum mendarat di KLIA jam 8.10 malam.

Dari KLIA, Sharif sekeluarga menjemput Hajah Munah untuk dibawa pulang ke Kg. Alai. Sebaik rombongan ini sampai pada jam 11.50 malam, satu majlis sambutan dan doa selamat secara ringkas diadakan oleh sanak saudara dan jiran-jiran dengan diterajui oleh Pak Khalil.

Syukur kepada Mu, Ya Allah kerana mengizinkan kami sekeluarga dapat berjumpa dengan mereka kembali. Amin...










Program 'Executive Talk' Untuk Pentadbir

Pada 28 Februari 2011 yang lalu, Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas UTeM (PRAKTIS) dengan kerjasama Bahagian Pembangunan Sumber Manusia telah menganjurkan ceramah eksekutif untuk para pentadbir UTeM dengan tajuk 'Peranan Pentadbir Dalam Merealisasikan Transformasi'. Ceramah ini antara lain bertujuan untuk meningkatkan profesionalisme bagi membentuk pentadbir yang versatil dan dinamik.

Program ini diadakan di Auditorium Canselori, UTeM Kampus Induk, Durian Tunggal dan dihadiri kira-kira 100 orang pentadbir yang terdiri daripada pelbagai gred jawatan profesional. Majlis bermula pada jam 3.00 petang dan penceramah jemputan ialah Encik Hasan Sirun, Pendaftar UTeM.

Encik Hasan Sirun merupakan anak kelahiran Melaka. Beliau mendapat pendidikan awal di All Saint Primary School Taiping dan SRK Port Dickson telah melanjutkan pengajian dalam bidang ekonomi di Universiti Kebangsaan Malaysian (UKM) pada tahun 1980-1984.

Pengalaman beliau sebagai Pegawai Tadbir di UTM Jalan Semarak (1984-1989), UTM Skudai (1994), dipinjamkan ke Pusat Latihan Staf Politeknik Batu Pahat (PLSP) yang kini dinaiktaraf sebagai UTHM sehingga tahun 2000 diharap dapat dimanfaatkan oleh para pentadbir UTeM yang rata-rata merupakan golongan profesional muda.

Sebagai Pendaftar di UTeM, Encik Hasan telah banyak memberikan sumbangan idea dan pemikiran dengan menganggotai pelbagai jawatan di peringkat universiti seperti Pengerusi Jawatankuasa Pemandu KIK, Setiausaha Lembaga Pengarah Universiti, Setiausaha Senat Universiti dan lain-lain jawatan penting sejak tertubuhnya UTeM.

Memulakan ceramahnya, Encik Hasan mempersoalkan peranan para pentadbir di universiti dan menyatakan peranan mereka hanya boleh dirasai oleh pengurusan dengan menjayakan misi dan visi universiti. Menurut beliau organisasi memerlukan pengurusan dan perlu kepada pengurusan sumber manusia.

Staf tahu fungsi jawatan dan peranan jawatan serta bergantung kepada keupayaan staf untuk melaksanakan fungsi dan peranan masing-masing. Menurut beliau lagi, yang diingini daripada pentadbir ialah kecemerlangan, keberkesanan, kecekapan, tanggungjawab serta responsif yang membawa kepada pengurusan perubahan.

"Manusia sentiasa mencari kebahagiaan dan ingin menjadi produktif. Yang dituntut daripada pentadbir ialah kecemerlangan iaitu keberkesanan, kecekapan, tanggungjawab dan responsif.", ujar beliau.

Encik Hasan menyeru para pentadbir supaya menerokai ilmu kerana menurut beliau ilmu itu umpama jari yang dicelup di dalam lautan di mana air yang melekat pada jari itu diibaratkan ilmu yang diperkenan Allah SWT. Beliau juga memberikan satu kiasan kisah seekor singa dan kambing. Singa yang dibesarkan oleh kambing akan mempunyai mentaliti kambing di mana ia merupakan satu sindiran kepada manusia yang tiada jati diri.

Beliau menyarankan jika pentadbir inginkan perubahan, mereka haruslah mempunyai kejujuran dan keikhlasan. Mereka tidak mementingkan diri sendiri sebaliknya mendahulukan perkhidmatan.

Program yang berlangsung hampir dua jam ini berakhir pada jam 5.00 petang. Encik Misdom Lan, Timbalan Pendaftar, Bahagian Pembangunan Sumber Manusia, Pejabat Pendaftar merangkap Pengerusi PRAKTIS menyampaikan cenderahati kepada Encik Hasan Sirun. Turut hadir di dalam program ini ialah Encik Khairul Taib, Bendahari UTeM.

Semoga program begini dapat diadakan lagi pada masa depan demi mempertingkatkan keprofesionalan para pentadbir di universiti ini.













Isnin, April 04, 2011

Ifa Hadiri Klinik UPSR 2011 Fasa 1

Tahun ini Ifa akan menduduki peperiksaan UPSR. Cabaran yang perlu dihadapi bukannya kecil kerana beliau wajib mengambil 7 subjek berbanding pelajar di sekolah kebangsaan.

Pada 26 dan 27 Februari 2011, bertempat di Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka, Ifa menghadiri Klinik UPSR 2011 Fasa 1 anjuran Berita Harian/Didik. Lebih 150 orang menghadiri klinik ini yang sebahagian besarnya merupakan pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan UPSR pada 13 hingga 15 September 2011.

Pada hari pertama, sesi klinik bermula pada jam 9.00 pagi sebaik selesai taklimat daripada penganjur. Sesi pertama ialah ceramah untuk subjek Bahasa Melayu manakala pada sebelah petang pula Matematik. Banyak tips-tips berguna diberikan penceramah buat bekalan menjawab peperiksaan nanti.

Pada hari kedua, subjek yang dibawa oleh penceramah ialah Bahasa Inggeris dan Sains. Pada penceramah juga pandai menarik perhatian peserta dengan teknik bertanya dan juga bergurau. Ini membuatkan peserta tidak merasa bosan untuk mengetahui teknik-teknik yang disampaikan.

Jam 5.30 petang, selesai Klinik UPSR 2011 Fasa 1 bagi peringkat Negeri Melaka. Ini merupakan kali kedua Ifa menghadiri klinik begini. Kali pertama ialah pada 5 dan 6 Jun 2010 yang diadakan di UTeM.

Aku berdoa semoga Ifa terus berjaya dalam peperiksaan yang akan ditempohnya kelak...











Berblog Semula

Sudah lebih sebulan aku berehat daripada menulis blog. Blog yang selalu aku kemaskini nampak semacam terbiar. Seolah-olah tiada berita terkini daripada yang empunya blog. Rakan-rakan selalu bertanya mengenai perkembangan terkini dan aku syorkan facebook.

Sepanjang bulan Mac, banyak urusan peribadi yang perlu aku segerakan. Ini ditambah lagi dengan tugas-tugas seharian di pejabat. Hati ingin menulis tetapi kadang-kadang mood pula sebaliknya.

Melihatkan rakan-rakan blogger mengemaskinikan blog masing-masing, datang keinginan untuk menulis semula. Yang pasti aku sudah bersedia untuk memaparkan berita-berita yang aku lalui sebulan yang lalu. Kini aku berblog semula....