Selasa, Februari 14, 2012

Sambutan Hari Valentine Haram, Perlu Dijauhi

Hari ini seluruh dunia sekali lagi dilanda fenomena berkasih sayang. Sana sini kedai bunga pasti sibuk menyediakan jambangan bunga sebagai hadiah paling istimewa sebagai menyambut ‘Hari Valentine’ atau hari kasih sayang. Sudah pasti, sejak lewat malam ini, kebanyakan kelab malam dan hotel bersedia dengan pesta kasih sayang dengan pelbagai konsep tersendiri.



Lewat malam ini juga, pasti kelihatan gelagat anak muda berpasangan berpelukan dengan penuh keasyikan, kononnya diulit rasa romantik sebagai tanda kasih sayang yang terbina selama ini ditambah erat pada hari penuh istimewa bagi mereka itu. Lena diulit intan, ramai pasangan bercinta menghabiskan sisa malam Valentine di ranjang, tanda kasih sayang termeterai walaupun tanpa ikatan pernikahan.

Bagi yang menganggap sambutan di kelab malam sehingga ke ranjang sesuatu yang keterlaluan, mereka mungkin sekadar memilih sambutan sederhana seperti makan malam ditemani lilin atau sekadar membeli hadiah sebagai tanda mereka mengingati hari yang kononnya begitu istimewa itu.

Jika tiada hadiah dibeli, khuatir nanti pasangan mencebik dan merajuk dengan tuduhan pasangannya tidak romantik dan lupa kepada hari istimewa itu. Mulalah pasangan lain dijadikan contoh betapa mereka sayang pasangan mereka dengan sekurang-kurangnya memberikan bunga dan mengucapkan: “Happy Valentine Day, sayang...”

Persoalannya, begitu pentingkah sambutan Valentine Day atau Hari Valentine ini dalam hidup kita dan sesuaikah umat Islam turut meraikannya, sedangkan sering kali setiap tahun orang agama menasihat dan memperingatkan bahawa sambutan hari kasih sayang itu tidak ada dalam Islam, malah sudah ada yang mengatakannya haram.

Hakikatnya, kita sering lupa konsep sambutan hari kasih sayang itu kebanyakannya bercanggah dengan ajaran Islam. Halalkah ciuman bagi bukan muhrim pada hari itu? Adakah Islam membenarkan pasangan kekasih berpimpin tangan, menari di kelab malam, berpelukan dan meneguk ‘air syaitan’ semata-mata untuk menunjukkan rasa sayang pada kekasihnya.

Larangan sudah jelas. Namun, pada kala ia ditegaskan betapa sambutan ini tidak dibenarkan dalam Islam, ada pula suara daripada bukan Islam yang memperlekehkan larangan ini dengan alasan sambutan sebegini adalah hak peribadi, tidak boleh diganggu dan terpulang pada individu itu sendiri. Kononnya, ini negara demokrasi.

“Haiwan itu ciptaan Allah dan haiwan juga hidup dalam peraturannya sendiri. Jelas dikatakan bahawa manusia adalah sebaik-baik ciptaan Allah, tetapi jika kita tidak mematuhi hukum Islam dan sewenang-wenangnya melanggar larangannya, manusia itu layak dianggap lebih hina daripada haiwan.

“Memang negara kita negara demokrasi. Ada hak kebebasan itu kepada rakyat kita, tetapi perlu diingat betapa haiwan juga tidak bebas berbuat apa disukainya. Jika manusia bebas buat apa dia suka, dianggap ia tidak masuk dalam agama. Jika sedar diri itu Islam, ikut cara dan undang-undang dalam agama ini.

“Jangan hidup dalam masyarakat jika mahu semuanya bebas. Jangan hidup beragama jika tidak tahu menghormati dan mematuhi hukum beragama. Jangan sampai dikatakan lebih hina daripada haiwan.”

Itu kenyataan tegas Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Profesor Datuk Dr. Abdul Shukor Hussin, yang jelas menolak konsep sambutan Hari Valentine terutama oleh umat Islam di negara ini dan seluruh dunia amnya. Bagi beliau, sambutan sebegitu lebih kepada menggalakkan perlakuan maksiat, sekali gus menjadikan sambutannya sebagai haram meskipun secara kecil-kecilan.

Malah, katanya, sambutan Valentine lebih kepada mengagungkan perayaan bukan Islam, selain menggalakkan maksiat. Secara terang-terangan ia diharamkan dalam Islam kerana menggalakkan perlakuan sumbang, terutama remaja yang gemar melakukan perkara dilarang termasuk maksiat.

“Kasih sayang penting dalam Islam dan menunjukkan kasih sayang tidak semestinya perlu ada hari khusus. Kita perlu saling mengasihi sesama kita. Islam mengajak umatnya mengasihi haiwan, apa lagi sesama manusia. Sayangi ibu bapa dan manusia lain, tetapi tidak perlu hari khusus.

“Sejarah Valentine tidak langsung menunjukkan membantu umat Islam meningkatkan amalan dan imannya. Malah, sejarah sambutan itu lebih banyak membawa kepada kerosakan akhlak. Oleh kerana itulah, Islam melarang dan jelas ia haram. Kebebasan adalah sesuatu yang sangat subjektif.

“Ada orang yang beranggapan menari dan minum sedikit itu sambutan kecil dan biasa. Ada yang anggap pegang dan peluk itu biasa. Soalnya, apa saja yang mereka buat itu bercanggah daripada hukum Islam dan sewajarnya dicegah. Agama lain tidak wajar masuk campur dalam urusan agama kita, sama seperti apa yang kita praktikkan,” katanya.

Beliau ternyata kurang senang apabila ada orang bukan Islam secara terang-terangan menyalahkan umat Islam yang melarang sambutan Hari Valentine dengan alasan ia adalah hak individu. Baginya, campur tangan sebegitu tidak wajar berlaku kerana setiap agama ada hukumnya sendiri dan perlu dipatuhi penganutnya.

“Untuk kamu agama kamu dan untuk kami agama kami.” Jelas dinyatakan dalam ayat akhir surah Al-Kafirun yang menunjukkan betapa Islam tegas dalam hal ini. Jaga agama kamu sendiri dan jangan sibuk dengan urusan hukum agama lain. Begitu juga kami (orang Islam) tidak sibuk dengan urusan agama kamu.

“Dalam Islam, sambutan Valentine haram dan perlu dijauhkan. Siapa yang mungkar dan tetap menyambutnya walaupun secara kecil tetap menempah dosa kerana ia jelas bercanggah dengan Islam. Jadi, itu hukum dalam agama Islam dan tidak wajar agama lain masuk campur dalam hal ini,” katanya lagi.

Jumaat, Februari 10, 2012

Alkisah Sebuah Jam

Alkisah, seorang pembuat jam tangan berkata kepada jam yang sedang dibuatnya. “Hai jam, apakah kamu sanggup untuk berdetik paling tidak 31,104,000 kali selama setahun?”

“Ha?,” kata jam terperanjat, “Mana sanggup saya?”

“Bagaimana kalau 86,400 kali dalam sehari?” tanya si pembuat jam lagi.

“Lapan puluh enam ribu empat ratus kali? Dengan jarum yang ramping-ramping seperti ini?” jawab jam penuh keraguan.

“Bagaimana kalau 3,600 kali dalam satu jam?” cadang si pembuat jam.

“Dalam satu jam harus berdetik 3,600 kali? Banyak tu..” tetap saja jam ragu-ragu dengan kemampuan dirinya.

Tukang jam dengan penuh kesabaran kemudian berkata lagi kepada si jam. “Kalau begitu, sanggupkah kamu berdetik satu kali setiap detik?”

“Oh, kalau begitu, aku sanggup!” kata jam dengan penuh semangat.

Maka, setelah selesai dibuat, jam itu berdetik satu kali setiap detik. Tanpa terasa, detik demi detik terus berlalu dan jam itu sungguh luar biasa kerana ternyata selama satu tahun penuh dia telah berdetik tanpa henti. Dan tanpa disedari jam itu telah berdetik sebanyak 31,104,000 kali.

Apakah moral daripada cerita ini? Moralnya ialah adakalanya kita ragu-ragu dengan kemampuan diri kita. Adakalanya kita tidak yakin dengan segala tugas dan pekerjaan yang hendak kita lakukan kerana terasa berat. Namun sebenarnya kalau kita sudah menjalankannya, kita ternyata mampu melakukannya sungguhpun yang dianggap mustahil.

Khamis, Februari 09, 2012

K.I.S.S.

Falsafah KISS kerap digunakan dalam mencari penyelesaian secara sederhana sehinggakan sesiapa sahaja dapat melakukannya.

KISS merupakan akronim kepada prinsip yang dicipta oleh Kelly Johnson iaitu "Keep it simple, Stupid". Variasinya termasuklah "keep it short and simple", "keep it simple sir", "keep it simple or be stupid", "keep it simple and straightforward" atau "keep it simple and sincere."

Prinsip KISS menyatakan bahawa kebanyakan sistem akan berfungsi dengan lebih baik jika dilaksanakan dengan mudah. Oleh itu kesederhanaan merupakan kunci utama dalam membuat sesuatu pekerjaan dan kerumitan yang tidak sepatutnya perlu dielakkan.

Cuba susun jalan penyelesaian yang paling sederhana dan memungkinkan untuk penyelesaian masalah yang sedia ada. Kita harus belajar fokus kepada penyelesaian masalah berbanding fokus kepada masalah.

Bila kita melihat pada apa yang tidak kita punya di dalam hidup kita, kita sememangnya tidak memiliki apa-apa. Tetapi bila kita melihat pada apa yang ada di tangan kita, kita memiliki segala-galanya.

Selasa, Februari 07, 2012

Kisah Tikus Dan Perangkap Tikus

Dalam sebuah kampung, tinggal seorang petani bersama isterinya. Rumah mereka terletak di hujung kampung berdekatan dengan hutan. Petani itu memelihara binatang ternakan seperti ayam, itik, kambing dan lembu.



Suatu hari, petani pulang dari pasar selepas membeli keperluan harian. Dia membeli berbagai barang termasuklah perangkap tikus. Sang Tikus yang berada di atas bumbung rumah terkejut bukan kepalang bila melihat perangkap tikus yang dibawa oleh petani itu. Tanpa berlengah, Sang Tikus berlari ke kandang ternakan dan berteriak,

“Ada perangkap tikus di rumah!.. di rumah sekarang ada perangkap tikus!!” jerit Sang Tikus.

Sang Tikus berjumpa dengan ayam dan berkata,“Ada perangkap tikus”

“Oh Tikus…aku turut bersedih, tapi itu tidak ada kaitan terhadap diriku” kata ayam dengan selamba.

Sang Tikus lalu pergi pula menemui seekor kambing sambil berteriak, “Tuan rumah dah beli perangkap tikus!”

Lalu Sang Kambing pun berkata,“Aku turut bersimpati.. . tapi maaf, tidak ada yang boleh aku lakukan”.

Sang Tikus berlari pula menemui Sang Lembu dan berkata, “ Dalam rumah sekarang sudah ada perangkap tikus”.

“Maafkan aku..tapi perangkap tikus tidak berbahaya buat aku sama sekali” jawab Sang Lembu.

Tanpa putus asa, Sang Tikus berlari ke hutan dan bertemu Ular dan berkata perkara yang sama.

“Ahhh…Perangkap Tikus yang kecil tidak akan mencelakai aku” jawab Sang Ular dengan sombongnya.

Akhirnya Sang Tikus kembali ke rumah dengan pasrah bahawa dia akan menghadapi bahaya itu bersendirian.

Suatu malam, pemilik rumah terbangun apabila mendengar bunyi kuat dari perangkap tikusnya.

“Hah..perangkap aku dah mengena” kata tuan rumah itu memberitahu isterinya.

Namun dia terkejut ketika melihat perangkap tikusnya, rupanya seekor ular berbisa telah terkena perangkap itu. Ekor ular yang tersepit membuatnya semakin ganas dan menyerang isteri petani itu. Walaupun si Suami dapat membunuh ular tersebut, namun ular itu sempat mematuk kaki isterinya. Bisa ular itu telah menjalar dalam tubuh isterinya.

Setelah beberapa hari di hospital, sang isteri sudah boleh pulang. Namun selang beberapa hari kemudian si isteri telah demam dan suhu badannya tak turun-turun juga. Atas cadangan saudara maranya, dia membuatkan isterinya sup ayam untuk menurunkan demamnya.

Semakin hari bukannya semakin sembuh, tetapi semakin tinggi demam isterinya. Seorang jirannya menyarankan supaya makan hati kambing. Si Suami lalu menyembelih kambing tersebut untuk diambil hatinya.

Malang sungguh, isterinya masih tidak sembuh-sembuh dan akhirnya meninggal dunia.
Ramai sekali orang datang menziarahi isterinya sehingga ia harus menyembelih lembunya untuk memberi makan orang-orang yang datang.

Dari kejauhan sang Tikus menatap dengan penuh kesedihan. Beberapa hari kemudian ia melihat perangkap tikus tersebut sudah tidak digunakan lagi di rumah itu.

Apakah moral cerita tersebut? Moralnya ialah sekiranya kita mendengar seseorang sedang dalam kesusahan atau kesulitan, kalaulah kita menganggap itu bukan urusan kita, maka fikirkanlah sekali lagi. Sikap mementingkan diri sendiri lebih banyak membawa keburukan daripada kebaikan.

Kenduri Aqiqah Keluarga Ikbar

Isnin, 6 Februari 2012. Hari ini merupakan hari cuti iaitu cuti gantian sempena Maulidur Rasul yang jatuhnya pada hari Ahad.

Pagi ini aku mengambil kesempatan untuk mengisi masa lapang dengan membuat beberapa kerja. Selepas meracun rumput di halaman rumah, aku menanam anak-anak keladi di belakang rumah. Begitu begini sudah Zuhur.

Pukul 2.45 petang, kami sekeluarga bergerak ke rumah keluarga Mohd Ikbar di Lorong Haji Ahmad, Durian Daun Dalam, Melaka. Lokasi rumah berhampiran Institut Perguruan Perempuan Melayu Melaka.

Pukul 3.00 petang, kami sampai. Beberapa orang staf perpustakaan juga turut hadir bersama kami antaranya Mohd Mawardi, Asmadi, Zaidi bersama isterinya, Mohd Afiz, Noor Rahman sekeluarga, Shazley dan ramai lagi.

Kami bersalaman dan kemudian dijemput untuk menikmati hidangan yang telah disediakan. Antaranya iala nasi beriani dan sup serta kuih muih dan buah-buahan.

Menurut Mohd Ikbar, kenduri aqiqah ini merupakan majlis bersama untuk meraikan kelahiran anak-anak beliau, abang dan kakaknya.

Sambil makan, Mohd Ikbar memperkenalkan aku kepada ibu dan bapanya yang sedang menjamu selera di meja bersebelahan. Kami berbual-bual. Aku sebenarnya berasal dari kampung yang sama dan bila kami berbual-bual tentang salasilah keluarga, ceritanya menjadi lebih panjang.

Hampir jam 4.00 petang, kami sekeluarga meminta diri untuk beredar. Setelah bersalaman dengan abangnya dan Mohd Ikbar, kami meneruskan destinasi ke rumah Mak Bedah.

Buat Mohd Ikbar, ayahnya Encik Abdul Jabbar dan ibu beliau, Puan Ramlah, terima kasih di atas jemputan kenduri ini. Kami amat menghargainya. Semoga majlis ini mendapat keberkatan daripada Allah SWT.















Memenuhi Jemputan Kenduri Arman

Selepas perarakan Maulidur Rasul, kami sekeluarga singgah rumah Mak Bedah. Langkah kanan kami sekeluarga kerana Mak Bedah masak mee kari. Balik ke rumah, kami terus bersiap untuk menghadiri majlis perkahwinan adik kembar Ina di Umbai.

Hampir jam 4.00 petang, kami sekeluarga sampai di Taman Rembia Perkasa, lokasi kediaman Arman dan ahli keluarganya. Sebuah khemah didirikan di atas jalan raya di hadapan rumah beliau.

Sewaktu kami sampai, masih ramai saudara-mara di kedua belah pihak Arman dan isterinya. Nampak sibuk sedikit kedua tuan rumah ini melayan tetamu yang hadir. Staf perpustakaan yang tinggal ialah Mohd Mawardi bersama isteri dan anaknya, Amalin serta Asmadi.

Kami bersalaman dan kemudian berbual-bual sambil menikmati hidangan yang disediakan. Nasi putih, ayam sambal dan bubur pulut hitam menjadi pilihan makanan aku petang itu walaupun ada menu lain disediakan.

Menurut Arman, kenduri ini merupakan kenduri khas sempena Maulidur Rasul dan beliau mengadakan maulud dengan meraikan beberapa orang anak yatim.

Jam 5.00 petang, kami sekeluarga meminta diri untuk beredar dan bersalaman dengan beliau. Buat Arman, terima kasih di atas jemputan ini kerana dengan adanya majlis sebegini, ianya dapat merapatkan silaturrahim di antara staf.

Terima kasih daun keladi, kalau kenduri jemputlah lagi...










Ida Menyertai Perarakan Maulidur Rasul

Ahad, 5 Februari 2012. Hari ini Ida pagi-pagi lagi sudah keluar rumah untuk ke pejabat. Dari sana mereka menaiki van jabatan untuk ke Stadium Hang Tuah bagi menyertai perarakan sempena Maulidur Rasul.

Tahun ini perarakan bermula di Stadium Hang Tuah dan berakhir di perkarangan Masjid Al-Azim di mana para peserta berlu berjalan kaki sejauh 3.5 km sambil melaungkan selawat ke atas Rasulullah SAW.

Pukul 10.00 pagi aku berada di tempat letak kereta Masjid Pangkalan Rama, Melaka untuk melihat perarakan tersebut. Miza dan Alim yang ingin menyertai perarakan itu bersama ibu mereka menangis kerana bangun lewat.



Lepas satu kontinjen, satu kontinjen lain pula berarak sambil berselawat. Ada yang memukul kompang bagi memeriahkan perarakan tersebut. Lebih kurang lima minit menunggu, akhirnya kontinjen Perpustam melalui jalan tersebut.

Aku segera mengarahkan Miza dan Alim menyertai kontinjen tersebut di mana ibu mereka, Ida turut berada di dalam barisan. Setelah itu, aku, Arif dan Ida terus ke rumah Mak Bedah yang letaknya tidak jauh dari Masjid Al-Azim.

Khabarnya seramai 11,057 peserta daripada 198 kontinjen mewakili pelbagai agensi kerajaan, swasta, pihak berkuasa tempatan dan penduduk menyertai perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri ini yang diketuai Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob.