Khamis, Jun 21, 2012

Emerald User Group Meeting

Kumpulan Pengguna Emerald telah mengadakan satu perjumpaan di kalangan ahli-ahli yang juga pelanggan pangkalan data Emerald pada 18 Jun 2012 di Meeting Room, Level 12, Sunway Lagoon Resort Hotel & Spa, Petaling Jaya, Selangor.


Tajuk Digital & Web Development disampaikan oleh Mr. Daniel Predergast, Head of Digital Emerald.

Perjumpaan yang bermula pada jam 8.30 pagi dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Mr. Wan Yat Seng, Regional Manager Emerald. Pada jam 9.00 pagi, Mr. Amex Tan, Business Manager Emerald memulakan sesi perbincangan pertama dengan menjurus kepada tajuk Products & Services, New Launches. Ia kemudian diteruskan dengan topik ASLIB and Guides to Getting Published oleh Mr. Ben Sng, Senior Consultant Emerald.



Sesi ke-2 pada jam 10.35 pagi berkisar kepada Digital & Web Development oleh Daniel Prendergast, Head of Digital, Emerald. Kemudian bengkel berkaitan pangkalan data di kalangan pengguna Emerald diadakan.

Sebelah petang, diadakan bengkel pengguna pangkalan data Emerald di mana pengguna berkongsi pengalaman dari segi amalan-amalan terbaik di UiTM, IIUM dan UUM.

Pada jam 3.00 petang, diadakan penganugerahan kepada institusi yang paling tinggi dari segi penggunaan pangkalan data Emerald.



Perpustakaan UTeM merupakan pengguna ke-9 paling tinggi di serata dunia dan paling banyak di kalangan MTUN. Anugerah ini diterima oleh Cik Rasida Abu Bakar bagi pihak Perpustakaan UTeM. Pada majlis yang sama juga Cik Rasida menerima hadiah cabutan bertuah berupa USB 16G.

Tahniah kepada UTeM.




Foto Sekitar Perpustakaan UM

Sambil berkunjung ke Perpustakaan Universiti Malaya, keempat-empat pustakawan ini iaitu Cik Rasida Abu Bakar, Puan Fauziah Hassan, Cik Norshahila Che Din dan Puan Mez Zelina Yusof sempat merakamkan beberapa foto sekitar perpustakaan. Berikut adalah foto-foto tersebut:


Perpustakaan Universiti Malaya.


Karel Pelajar Istimewa.


Penanda aras.


Puan Fauziah bergambar di rak.


Tekun pula si Shahila.


Rak buku.


Penyata visi dan misi.


Makmal komputer pelajar istimewa.


Ruang membaca dan Zon Biru (bawah).



Lawatan Ke Perpustakaan UM: Citation Analysis

Seramai 4 orang staf Perpustakaan UTeM telah berkunjung ke Perpustakaan Universiti Malaya pada 15 Jun 2012. Mereka ialah Cik Rasida Abu Bakar, Puan Fauziah Hassan, Cik Norshahila Che Din dan Puan Mez Zelina Yusof.



Tujuan kunjungan mereka ialah untuk meninjau dan memahami proses pelaksanaan ‘citation analysis’ yang telah dilaksanakan oleh Perpustakaan Universiti Malaya. Kunjungan daripada Perpustakaan UTeM ini disambut oleh Cik Nik Nur Asilah Nik Shamsuddin dan Puan Nor Hazidah Awang daripada Perpustakaan UM.



Lawatan kerja penanda aras ini merupakan perbincangan di antara pustakawan Perpustakaan UTeM dengan Perpustakaan Universiti Malaya (UM) bagi meninjau dan memahami proses perlaksanaan ‘citation analysis’ yang telah dilaksanakan oleh Perpustakaan Universiti Malaya.



Dapatan daripada perbincangan tersebut, pihak Perpustakaaan UM telah menyediakan ‘citation analysis’ untuk melihat jumlah penerbitan yang telah dihasilkan oleh staf akademik di Universiti Malaya. Ia juga sebagai satu semakan terhadap artikel staf UM yang telah di‘cited’ oleh penyelidik lain. Dalam latihan ini, pangkalan data yang digunakan ialah pangkalan data Web of Science.



Graf berikut menunjukkan ‘Citation Report’ daripada Web of Science (Thomson Reuters) dari tahun 1999 sehingga 15 Jun 2012. (hasil dapatan ini hanya tertumpu kepada Article & Review sahaja).









Kunjungan yang bermula dari jam 8.30 pagi itu tamat jam 12.15 tengah hari.

Selamat Hari Bapa

Sambutan Hari Bapa di Malaysia diadakan pada Ahad, 17 Jun 2012. Di antara tujuan disambut Hari Bapa ialah bagi menggalakkan pembentukan budaya penyayang di kalangan masyarakat. Ia juga bagi mengiktiraf peranan, jasa, pengorbanan serta memberi penghargaan kepada seluruh kaum bapa di seluruh dunia khususnya di Malaysia.



Sempena Hari Bapa, tiada sambutan khusus diberikan oleh ahli keluarga melainkan ucapan selamat. Arif menyampaikan ucapan sewaktu bersalaman dengan aku ketika aku menghantarnya pulang ke asrama SMKA Sultan Muhammad. Ifa dan Alim menghulurkan kad ucapan buatan tangannya manakala Miza sekadar ucapan sahaja.

Kepada semua bapa-bapa di luar sana, aku juga ingin mengucapkan Selamat Hari Bapa khususnya kepada ayahanda tercinta, Hj. Ayup Noh.

Caption:

a)Kad ucapan buatan tangan Ifa.

b)Kad ucapan Ifa dengan kata-kata semangat.

c)Kad ucapan buatan tangan Alim.

d)Hadiah daripada Alim.







Tazkirah Pagi Jumaat

Jumaat, 15 Jun 2012. Tazkirah pagi Jumaat bulan ini telah disampaikan oleh Ustaz Mohd Fauzee Mohamed, Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam, Bahagian Dakwah dan Sahsiah, Pusat Islam UTeM.

Di dalam tazkirah kepada staf perpustakaan, beliau menyentuh tentang hak dan kewajipan seorang Muslim. Katanya ada 6 perkara yang wajib dan hak bagi seseorang Muslim terhadap seseorang Muslim yang lain iaitu:

a) Hak bertemu dan memberi salam,
b) Hak memenuhi undangan jika menerimanya,
c) Hak memberikan nasihat bila diminta,
d) Hak mendoakan orang yang bersin,
e) Hak melawat orang sakit dan
f) Hak menziarahi serta mengiringi jenazah bagi orang yang meninggal dunia.


Semoga intipati tazkirah ini akan dapat dihayati sepenuhnya oleh kita semua.

Rabu, Jun 06, 2012

Alim Dapat Kamera Digital

Isnin, 4 Jun 2012. Lepas waktu pejabat, aku dan Ida singgah di AEON Bandaraya Melaka untuk membelikan Ifa blue tart yang dipesannya.

Setelah selesai, kami mengambil kesempatan meninjau barangan yang dijual di pasaraya ini memandangkan sesetengah barangan yang dijual ada diskaun.

Kami singgah di kaunter jualan kamera dan membelek-belek beberapa buah kamera digital. Ida mencadangkan untuk membelikan Alim sebuah kamera digital sebagai hadiah hari lahirnya Januari lalu yang masih belum dilunaskan. Aku setuju.



Setelah meminta jurujual menerangkan fungsi dan cara penggunaannya serta harga, akhirnya kami bersetuju untuk membelikan Alim sebuah kamera digital.

Kamera digital berjenama Nikon Coolpix S3100 ini ada dalam pelbagai warna iaitu ungu, merah, hitam, biru, pink, kuning dan silver. Kami memilih kamera berwarna kuning.



Di antara ciri kamera digital ini ialah ia 14Mp sensor, 5x optical zoom dan mampu merakam video HD (720p) serta nipis lebih kurang 18.4mm.

Pada sebelah malam, kami menghulurkan kamera digital tersebut kepada Alim dan nampaknya Alim begitu gembira mendapat hadiah daripada kami.

Alim memang minat fotografi dan diharapkan dengan hadiah yang diberikan ini dapat meningkatkan minatnya dalam merakam foto.

Selasa, Jun 05, 2012

Hujung Minggu Yang Memenatkan

Ahad, 3 Jun 2012. Hujung minggu begini terutama musim cuti persekolahan amat memenatkan. Selain menguruskan anak-anak menghadiri kelas tuisyen, kami juga perlu memenuhi undangan perkahwinan rakan-rakan dan kenalan yang sudi mengundang kami ke majlis perkahwinan mereka.

Semalam sahaja kami sekeluarga menghadiri 4 majlis perkahwinan iaitu di Dewan MBMB, Rumah Awam Bukit Beruang, Alai dan Rumah Awam Ujong Pasir.

Hari ini, sebaik menjemput Alim dari kelas tuisyen, aku mengiringi ayah, Hj. Ayup ke majlis perkahwinan Mohd Anas Jantan dan Nursyazwani Mohd Khalid di Kg. Semabok Dalam. Ayah mengenali bapa pengantin, arwah Pak Jantan dan rapat dengan menantu beliau, Abang Azmi. Aku juga mengenali kedua individu tersebut dan Abang Azmi pernah berguru dengan ayah.

Sewaktu kami sedang menjamu selera, Abang Azmi memimpin tangan seorang tua dan didudukkan di kerusi bersebelahan ayah. Ayah diperkenalkan dengan orang tua tersebut. Riuh sebentar, maklumlah sudah lama tidak berjumpa.

Nama orang tua ini ialah Hj. Abu Samah Mohamad. Umur sekitar 78 tahun. Tinggal selang beberapa meter dari rumah pengantin.

Mengikut cerita ayah, Hj. Abu Samah Mohamad ni pernah bersama-sama tinggal di Kem Majidee, Johor Bahru, kira-kira 50 tahun yang lalu. Beberapa tahun kemudian, kedua-duanya berpindah ke Melaka dan bertugas di Kem Sungai Udang. Setiap pagi, mereka berdua menaiki basikal dari rumah ke tempat kerja yang jaraknya lebih kurang 20 km.



"Man, kau ambil gambar ayah. Buat kenang-kenangan...", pinta ayah.

Aku segera merakamkan foto mereka melalui kamera di telefon bimbit aku. Bukan senang nak dapat momen begini setelah bertahun-tahun berpisah.

Akhirnya setelah lama berbual, kami meminta diri untuk pulang. Hj. Abu Samah walaupun tidak berapa kuat, masih mampu berjalan dan menghantar kami sehingga ke tepi jalan besar. Kami bersalaman dan sewaktu meninggalkannya, beliau sempat melambai ke arah kami.

Semasa memandu, ayah memberitahu sewaktu anak beliau kecil, Hj. Abu Samah ni cukup sayang kepada anak-anaknya tetapi bila dah tua anak-anak tidak memperdulikan sangat kepada beliau. Hati orang tua memang begitu, barangkali cepat tersentuh. Mahukan perhatian daripada anak-anak.

Dalam hati aku bersyukur, aku masih mempunyai ibu bapa yang sentiasa dikelilingi anak-anak dan selalu menjenguk mereka.

Sebelah petang, kami menghadiri satu lagi majlis perkahwinan. Kali ini kami bergerak dengan dua buah kereta. Suriati, rakan sekerja Ida menunda kami dengan kenderaannya kerana tidak tahu lokasi majlis. Majlis perkahwinan Qusyairy dan Suhaila diadakan di kediaman keluarga mereka iaitu di Taman Seri Pengkalan, Alor Gajah. Qusyairy ni staf Perpustam dan berkahwin dengan Suhaila, seorang pensyarah.

Balik dari Alor Gajah, kami ke rumah Zubir di Pekan Umbai bagi meraikan majlis hari lahir anaknya, Afiq Hakimi. Sembang punya sembang, hampir Maghrib, kami pulang ke rumah.

Ternyata hujung minggu ini amat memenatkan walaupun dipenuhkan dengan pelbagai aktiviti.


Majlis Perkahwinan Mohd Anas Jantan & Nursyazwani Mohd Khalid.


Momen pertemuan Hj. Ayup dengan Hj. Abu Samah Mohamad, rakan ayah. Mengimbau masa lalu..


Momen pertemuan Hj. Ayup dengan Hj. Abu Samah Mohamad, rakan ayah. Ada yang lucu.


Momen pertemuan Hj. Ayup dengan Hj. Abu Samah Mohamad, rakan ayah. Serius je...


Momen pertemuan Hj. Ayup dengan Hj. Abu Samah Mohamad, rakan ayah. Apa yang diperhatikan tu?


Memimpin tangan ayah meninggalkan majlis.


Menghadiri majlis perkahwinan Qusyairy dan Suhaila.


Menghadiri majlis perkahwinan Qusyairy dan Suhaila.


Menghadiri majlis perkahwinan Qusyairy dan Suhaila.


Ida dan Ifa.


Ida dan Miza.


Kuih apam warna-warni.


Majlis Hari Lahir Afiq Hakimi.


Arif lapar.


Menjamu selera.


Birthday boy, Afiq.