Sabtu, Julai 23, 2011

Makan Ikan Bakar

Ahad, 17 Julai 2011. Jam 8.30 malam, kami 3 keluarga ke Gerai Ikan Bakar MBMB di Crystal Bay, Alai. Semalam keluarga Farok dan Sharif pulang ke Alai kerana ada kenduri arwah dan Nisfu Syaaban.

Bila dah ramai anak dan cucu pulang, Mak Munah memang bermurah hati untuk menjamu mereka setelah selesai hajatnya untuk mengadakan kenduri tersebut. Pelbagai makan laut dipesan seperti ikan bakar, kupang, ketam dan udang goreng dimakan bersama nasi lemak.

Walaupun 3 keluarga tapi bilangan ahlinya mencecah hampir 20 orang. Jam 9.30 malam setelah selesai, Farok dan Sharif bersama keluarga masing-masing bergerak balik ke Kuala Lumpur setelah kami bersalaman.

Dan kami juga bergerak pulang ke tempat penginapan yang jaraknya lebih kurang 2 kilometer dan perlu segera melelapkan mata kerana keesokan harinya aku dan Ida harus ke tempat kerja manakala anak-anak akan ke sekolah.

Sesekali dapat bersama ahli keluarga yang lain memang terasa mesranya. Semoga ada lagi saat-saat manis begini pada masa hadapan.














Rabu, Julai 20, 2011

Majlis Perasmian Penutup SUKUM Ke-36

Setelah sembilan hari berkampung di UTeM, akhirnya Kejohanan Sukan Staf Antara Universiti Malaysia (SUKUM) kali ke-36 melabuhkan tirainya pada petang Ahad, 17 Julai 2011 di Dewan Besar UTeM, Durian Tunggal, Melaka.



Seawal jam 2.00 petang, semua 21 kontinjen berkumpul di Dewan Besar UTeM manakala para jemputan dan dif-dif kehormat memenuhi dewan pada jam 2.30 petang.

Pukul 2.45 petang, Y.Bhg. Datuk Omar Abdul Rahman, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia tiba disambut dan diiringi oleh Naib Canselor UTeM ke dalam dewan. Kemudian, lagu Negaraku dimainkan.

Sebagai pembuka majlis, diadakan persembahan kebudayaan berupa tarian selamat datang, pentomin dan tarian zapin daripada mahasiswa dan mahasiswi UTeM. Penonton yang hadir memberikan tepukan gemuruh terhadap persembahan tersebut.

Memulakan acara, Ustaz Aswandee Abbidin Zainal dari Pusat Islam, UTeM memimpin bacaan doa. Kemudian lampu dipadamkan bagi persembahan montaj sepanjang berlangsungnya SUKUM Ke-36.

Meneruskan majlis, Y.Bhg. Profesor Datuk Dr. Ahmad Yusoff Hassan, Naib Canselor UTeM naik ke pentas untuk menyampaikan ucapan aluannya. Naib Canselor UTeM menyatakan penglibatan dalam bidang sukan menyumbang kepada tubuh badan yang sihat dan berkait rapat dengan fikiran yang sihat. Bersukan juga membolehkan manusia membina semangat juang yang tinggi, cekal serta melatih mendisiplinkan diri dan membentuk peribadi.

Majlis kemudian menjemput Y.Bhg. Datuk Omar Abdul Rahman, TKSU (Pengurusan), KPT untuk menyampaikan ucapan majlis penutup SUKUM Ke-36. Di dalam ucapannya, beliau berharap kesungguhan dan semangat kesukanan yang tinggi yang dipamerkan oleh setiap atlet dalam mencapai kemenangan perlu dilihat sebagai satu motivasi diri yang sangat positif yang jika dikekalkan momentumnya ketika menjalankan tugas di dalam organisasi pasti akan dapat membantu IPTA di Malaysia melangkah lebih jauh sebaris dengan kemajuan universiti-universiti terkemuka yang lain.

Di akhir ucapannya, Y.Bhg. Datuk Omar Abdul Rahman menyampaikan ucapan tahniah kepada UTeM di atas penganjuran SUKUM Ke-36 yang telah berlangsung dengan jayanya. Beliau kemudian melafazkan perasmian penutup Sukan Staf Universiti Malaysia Ke-36 diikuti dengan tepukan gemuruh daripada tetamu yang hadir.

Majlis kemudian menjemput Y.Bhg. Engr. Profesor Dr. Marizan Sulaiman, Penolong Naib Canselor HEPA UTeM untuk menyampaikan Piala Pusingan SUKUM Ke-36 bagi acara-acara seperti berikut:

Acara Karom Lelaki - Universiti Malaya
Acara Karom Wanita - Universiti Malaya
Acara Dart Terbuka - Universiti Malaysia Sabah
Acara Olahraga Lelaki - Universiti Malaysia Perlis
Acara Olahraga Wanita - Universiti Malaysia Perlis
Acara Sepaktakraw Pegawai Kanan - Universiti Teknikal Malaysia Melaka.
Acara Berbasikal Lelaki Senior - Universiti Teknikal Malaysia Melaka.
Acara Berbasikal Lelaki Veteran - Universiti Teknikal Malaysia Melaka.

Y.Bhg. Profesor Datuk Dr. Ahmad Yusoff Hassan, Naib Canselor UTeM kemudian dijemput naik ke pentas untuk menyampaikan Anugerah Khas Sukan SUKUM Ke-36. Anugerah ini bertujuan meningkatkan semangat kesukanan dan hubungan silaturahim di samping menggalakkan penyertaan bagi tujuan kesihatan dan kecergasan sepanjang hayat. Anugerah khas tersebut ialah:

1. Anugerah Kontinjen Terbesar - Universiti Teknikal Malaysia Melaka.
2. Anugerah Atlet Veteran Teramai - Universiti Teknologi Malaysia.
3. Anugerah Kontinjen Berkarisma dan Sihat Cergas - Universiti Malaysia Perlis
4. Anugerah Semangat Sukan Tertinggi (Kategori Gelanggang) - Universiti Sains Malaysia
5. Anugerah Semangat Sukan Tertinggi (Kategori Padang) - Universiti Teknologi MARA
6. Anugerah Kontinjen Semangat Sukan Tertinggi - Universiti Malaya.

Y.Bhg. Datuk Omar Abdul Rahman kemudian dijemput untuk menyampaikan hadiah bagi johan keseluruhan SUKUM Ke-36. Johan SUKUM Ke-36 dinobatkan kepada Universiti Malaysia Perlis yang mendapat 6 pingat emas, 1 perak dan 4 gangsa. Tempat kedua ialah Universiti Sains Malaysia yang mendapat 3 pingat emas, 4 perak dan 1 gangsa. Tempat ketiga ialah Universiti Malaya yang mendapat 3 emas, 1 perak dan 1 gangsa. Universiti Teknikal Malaysia Melaka mendapat tempat keempat dengan 2 emas, 3 perak dan 2 gangsa manakala tempat kelima ialah Universiti Malaysia Terengganu dengan 2 emas, 3 perak dan 1 gangsa.

Sementara itu, atlet wanita Universiti Malaysia Perlis, Norhaslinda Md Husin dinobatkan sebagai atlet wanita terbaik.

Sebaik selesai, majlis kemudian menjemput Encik Mohd Akhir Haji Yusof, Pendaftar Universiti Utara Malaysia ke pentas bagi acara penyerahan bendera Kejohanan Sukan Staf Universiti di mana Universiti Utara Malaysia akan menjadi tuan rumah SUKUM ke-37 tahun depan. Ia diiringi dengan persembahan multimedia daripada Universiti Utara Malaysia sebagai tuan rumah.

Di akhir Majlis Penutup SUKUM Ke-36, Nurfarahana Abdul Aziz, pelajar UTeM bersama Kombo Orkestra UTeM menyampaikan tiga buah lagu iaitu 'Cinta Sempurna', 'What Do You Want From Me' dan 'lagu SUKUM 2011'.

Majlis selesai pada jam 4.30 petang.















Kenduri, Tahlil Arwah & Nisfu Syaaban

Sabtu, 16 Julai 2011. Di sebalik kesibukan menjadi petugas SUKUM Ke-36, aku sebenarnya tersepit di antara dua situasi. Pada sebelah malam, kenduri arwah sempena bulan Syaaban dan juga Nisfu Syaaban akan diadakan di rumah Mak Bedah dan juga rumah Mak Munah. Aku harus memilih satu di antara dua kerana masa berlangsungnya kedua majlis ini serentak.

Pukul 11.00 pagi, aku sempat singgah di rumah Mak Bedah untuk membantu kerja-kerja di dapur walaupun sekejap. Kemudian terpaksa hantar Ifa ke kelas Tuisyen Bahasa Cina pukul 2.00 petang. Pukul 5.00 petang, barulah aku sampai di rumah Mak Munah.

Dengan masa yang ada, aku membantu membentang tikar, mengambil pinggan mangkuk dan lain-lain perkakasan untuk kenduri namun begitu ada pula halangan. Manakan tidak pada masa yang sama, ada pula siaran langsung perlawanan persahabatan di antara Malaysia dengan Liverpool.

Lepas Maghrib, majlis bacaan Yaasin sempena Nisfu Syaaban yang sepatutnya diadakan di surau telah dipindahkan ke rumah Mak Munah. Lebih 80 tetamu hadir dalam majlis tersebut. Ada juga anak-anak yatim yang dijemput sama dalam majlis ini di samping penduduk kampung.

Bacaan Yaasin dipimpin oleh seorang guru dari rumah anak-anak yatim. Bacaan Yaasin dibaca 3 kali dan kemudian disusuli dengan tahlil dan doa selamat. Setelah selesai, tetamu jemputan kemudian dihidang dengan jamuan berupa nasi, kuih-muih dan buah-buahan. Sewaktu pulang, tetamu dibekalkan dengan berkat atau buah tangan untuk dibawa pulang.

Aku terpaksa memilih dan akhirnya aku memilih untuk bersama dalam kenduri di rumah Mak Munah. Khabarnya kenduri di rumah Mak Bedah juga berjalan lancar. Adik-adik dari Kuala Lumpur juga pulang untuk menjayakannya.

Mudah-mudahan tidak ada yang berkecil hati kerana aku juga dalam keadaan serba salah....























Arif membantu mesin kelapa sewaktu aku bertugas.


Sudah menjadi kebiasaan orang kampung akan bergotong-royong membantu persiapan majlis.


Mengemas rumah.


Membentang tikar.


Memasang khemah majlis.

Jumaat, Julai 15, 2011

Hari Terakhir Pelajar Praktikal Di Perpustakaan UTeM

Jumaat, 15 Julai 2011 merupakan hari terakhir pelajar Fakulti Pengajian Maklumat, UiTM Shah Alam dan Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK), UTeM seramai 9 orang menjalani latihan amali di Perpustakaan UTeM.



Pelajar-pelajar dari Fakulti Pengajian Maklumat, UiTM Shah Alam ialah Norhamizah Hashim, Nur Ili Mahmod, Nur Hiddhayu Muhamad, Aziana Adzab, Fathen Fareena Daut, Mohamad Fahiezan Md Zan dan Mohd Fariz Samsuddin manakala dari FTMK, UTeM ialah Amirul Faiz Abd. Latif dan Louis Kueh Fung Yen.

Sepanjang tempoh dua bulan dari 15 Mei hingga 15 Julai 2011, para pelajar ditempatkan di Unit Perolehan Buku, Unit Perolehan Hadiah dan Pertukaran, Unit Perolehan Jurnal, Unit Pengindeksan, Unit Sirkulasi, Unit Media, Unit Rujukan, Unit Automasi dan Unit Pentadbiran dan Latihan. Jangkamasa penempatan di unit-unit ialah di antara 1 hingga 19 hari bergantung susunan yang ditentukan oleh Unit Pentadbiran dan Latihan.

Bagi Amirul Faiz Abd. Latif dan Louis Kueh Fung Yen, mereka terlibat untuk membantu membangunkan projek Institutional Repository (IR) UTeM dan penempatan mereka ialah di Unit Automasi.

Sepanjang tempoh latihan, tujuh orang pelajar FPM, UiTM Shah Alam ini mempelajari teknik-teknik kerja dari unit ke unit di perpustakaan. Ini bagi membolehkan mereka mendapat pengalaman yang berguna semasa memasuki alam pekerjaan kelak.

Para pelajar juga diminta menyediakan projek-projek kecil yang ditentukan oleh perpustakaan bermula dari 1 hingga 20 Jun 2011. Di antara projek tersebut ialah penyediaan slaid interaktif profil perpustakaan yang dibangunkan oleh Nur Ili Mahmod dan Fathen Fareena Daut manakala projek penyediaan bibliografi bagi bahan media mengikut fakulti disusun oleh Norhamizah Hashim dan Nur Hiddhayu Muhamad.

Dua pelajar lelaki iaitu Mohamad Fahiezan Md Zan dan Mohd Fariz Samsuddin terlibat dengan projek penyediaan bibliografi bagi bahan koleksi PSM manakala Aziana Adzab pula menyiapkan projek paparan jurnal di portal mengikut fakulti. Projek ini dipantau oleh pustakawan dari Unit Rujukan, Unit Perolehan Jurnal, Unit Automasi dan Unit Sirkulasi.



Pada 1 Julai 2011, satu sesi pembentangan projek untuk para pelajar bagi mengukur sejauh mana idea dan pandangan mereka boleh digunakan untuk penambahbaikan dalam meningkatkan mutu perkhidmatan perpustakaan telah diadakan di Bilik Tayangan 1, Perpustakaan UTeM. Sesi ini dihadiri oleh semua pustakawan dari semua unit di Perpustakaan UTeM.

Bagi menghargai dan meraikan kesemua pelajar dari Fakulti Pengajian Maklumat, UiTM Shah Alam dan FTMK, UTeM yang menamatkan latihan amali di Perpustakaan UTeM, satu majlis ringkas telah diadakan di Ruang Legar Unit Perolehan pada jam 12.00 tengah hari dihadiri oleh beberapa orang pustakawan.

Ketua Pustakawan, Puan Hajah Faridah Hj. Md. Amin mengambil kesempatan ini mengucapkan ribuan terima kasih di atas sumbangan yang telah diberikan oleh para pelajar kepada perpustakaan.

Wakil pelajar dari Fakulti Pengajian Maklumat, UiTM Shah Alam, Nur Ili Mahmod pula dalam ucapan balas memberi penghargaan kepada semua staf di perpustakaan khususnya para pustakawan yang telah banyak membantu memberikan pengalaman semasa latihan amali sehingga menimbulkan minat mereka bertugas dalam unit-unit tertentu seperti Unit Pengindeksan.

Pelajar FTMK, Amirul Faiz Abd. Latif dan Louis Kueh Fung Yen turut mengambil kesempatan ini mengucapkan ribuan terima kasih di atas bantuan dan tunjuk ajar yang diberikan oleh perpustakaan khususnya Unit Automasi sehingga penghujung tempoh latihan.

Puan Hajah Faridah turut menyampaikan cenderahati kepada kesemua pelajar latihan amali dan sebagai balasan, para pelajar FKP, UiTM Shah Alam juga menghadiahkan cenderamata kepada pihak perpustakaan.

Sebelum majlis ringkas ini berakhir, satu sesi bergambar diadakan sebagai kenang-kenangan. Majlis berakhir pada jam 12.30 tengah hari.

Semoga mereka mendapat sedikit pengalaman daripada latihan selama dua bulan ini dan semoga maju jaya dalam bidang yang telah mereka pilih.