Isnin, Januari 02, 2012

Menikmati Makanan Laut Di Muara Sungai Duyung

Ahad, 1 Januari 2012. Sebaik selesai membeli barang-barang keperluan sekolah anak-anak, kami singgah di Medan Ikan Bakar Muara Sungai Duyung. Kami tiba di sana pada pukul 6.45 petang. Malam semalam kami bercadang untuk menikmati makanan laut di sini malangnya terlalu ramai pengunjung sehinggakan tiada meja kosong lalu kami beralih ke sebuah gerai di Permatang Pasir untuk makan malam.



Kami sangkakan kami datang pada sebelah petang, bilangan pengunjung tidak ramai. Rupanya, pada sebelah petang pun ramai juga pengunjung sehinggakan untuk memilih barangan basah seperti ikan, sotong, udang dan lain-lain lagi, pengunjung perlu beratur panjang.

Ida dan Arif mencari meja kosong dan akhirnya kami mendapat sebuah meja yang letaknya cukup menarik iaitu di bahagian sisi gerai berhampiran muara. Pemandangan di muara pada waktu matahari terbenam memang menarik ditambah dengan bot-bot nelayan yang keluar masuk melalui muara. Aku sempat merakam foto-foto berkenaan.

Tujuan aku membawa anak-anak menikmati makanan laut ini ialah sebagai meraikan di atas kejayaan anak-anak di dalam peperiksaan tempohari. Ifa berjaya di dalam peperiksaan UPSR manakala Arif cemerlang di dalam PMR. Setidak-tidaknya ia merupakan suatu penghargaan di atas segala penat lelah mereka selama setahun memberikan fokus terhadap persediaan yang bakal didudukinya.



Ida memesan udang goreng butter, sotong dan ketam goreng, kupang sambal, ikan jenahak bakar, ikan siakap sweet n sour dan ikan terubuk bakar. Kesemua makanan laut ini dimakan bersama nasi lemak. Ida juga memesan otak-otak yang sangat digemari oleh Miza dan Alim. Bagi minuman, Ida memesan air teh o ais limau dan air kelapa muda.

Hampir dua jam kami di sana, anak-anak teruja menikmati makanan laut. Aku sangat gembira bila melihat anak-anak seronok menikmati makanan mereka. Sambil makan, aku merakamkan beberapa foto aksi anak-anak menikmati makanan.

Pukul 8.30 malam, setelah selesai menikmati makanan laut, kami bergerak pulang ke rumah. Anak-anak mengucapkan terima kasih di atas jamuan yang diberikan itu.

























Menguruskan Persiapan Persekolahan

Diam tak diam, cuti persekolahan sudahpun berakhir. Bagi anak-anak, mood bercuti harus ditukar kepada mood belajar. Seperti tahun-tahun lalu, apabila sesi persekolahan bermula, persiapan persekolahan anak-anak harus diadakan.



Semalam selepas Zuhur, kami sekeluarga ke Syarikat Bee Loon di Jalan Temenggong. Syarikat pakaian yang telah bertapak di Melaka selama 45 tahun ini menyediakan keperluan persekolahan seperti pakaian, beg sekolah, alatulis, pakaian seragam dan sebagainya. Di sini, selain pakaian siap yang dijual, pakaian sekolah juga boleh ditempah khususnya mereka yang tiada saiz pakaiannya.



Arif memilih dua helai seluar seluar, baju, pakaian seragam dan tali pinggang. Ifa, Miza dan Alim juga membeli pakaian sekolah cuma Miza perlu menempah kain sekolah agama kerana tiada saiz yang sesuai.




Kami membeli hanya beberapa helai pakaian bagi menampung pakaian yang sedia ada tahun lepas. Itupun kosnya sudah mencapai RM300.00.

Pukul 4.00 petang, kami beredar ke Jaya Jusco di Lebuh Ayer Keroh. Di sana kami membeli kasut dan beg sekolah untuk anak-anak. Arif membeli kasut kain berwarna hitam manakala Ifa membeli kasut kulit hitam. Miza dan Alim membeli kasut sekolah berwarna putih dengan stokin. Kos untuk kasut dan beg juga mencecah RM400.00.




Hampir jam 6.00 petang, kami bergerak ke Medan Ikan Bakar di Muara Sungai Duyung untuk menikmati makanan laut di sana.

Ahad, Januari 01, 2012

Selamat Tahun Baru 2012



Tahun 2011 baru sahaja berlalu. Buat semua pembaca blog ini, saya mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Tahun Baru 2012. Apa azam baru ya?

Semoga apa yang kita rancangkan hendaknya dilakukan dengan ikhlas kerana Allah SWT dan semoga hidup kita akan terus dilimpahi dengan kejayaan dan rahmat Allah hendaknya...

Selamat Tahun Baru 2012.

Sabtu, Disember 31, 2011

Arysad kembali Ke Rahmatullah

Pagi 30 Disember 2011, kami sekeluarga termasuk Mak Munah segera ke Taman Angsana, Cheras untuk menghadiri pengebumian arwah Arysad. Kami bergerak dari Putra Heights pukul 8.30 pagi.

Malam tadi, kami ke rumah Azilah pukul 9.00 malam untuk menunggu jenazah Arysad di bawa balik ke rumah. Lebih kurang pukul 10.00 malam, jenazah sampai dan diletakkan di atas tilam di ruang tamu rumah tersebut. Ramai ahli keluarga dan saudara mara dari kedua belah pihak Azilah dan Nizam hadir untuk memberikan sokongan terhadap keluarga ini. Khabarnya, Rozanah dan Aziah, adik perempuan aku sudah sampai lebih awal untuk mengemas rumah tersebut.

Di antara tetamu yang hadir, ada yang membaca surah Yaasin dan ada juga memberikan kata-kata semangat kepada Azilah dan Nizam. Menurut Nizam, proses membuka bantuan pernafasan dibuat di katil pesakit dengan ditemani kedua ibu bapa dan seorang waris di bahagian ibu dan bapa sebagai saksi. Proses mengurangkan kebergantungan kepada mesin hayat ini dibuat secara berperingkat sehinggalah akhirnya disahkan kematian anak kecil ini oleh doktor pakar di Jabatan Pediatrik, Pusat Perubatan UKM, Dr. Thayani Thavarajasingam. Waktu kematian dicatat pada pukul 9.32 malam.


Foto: Ihsan daripada Ifa

Sewaktu kami sampai pagi ini, jenazah baru sahaja dibawa ke Tanah Perkuburan Batu 10 Cheras dan kami mengekori kenderaan yang membawa jenazah. Menurut Nizam, bilal meminta disegerakan pengebumian memandangkan hari ini ialah hari Jumaat. Nizam dan Azilah memandikan jenazah pada pukul 8.30 pagi dengan bantuan bilal. Katanya tidak sukar memandikan jenazah kerana menguruskan anak kecil lebih mudah daripada orang dewasa. Pukul 9.00 pagi, selepas dimandikan, dikafankan dan disembahyangkan, jenazah terus dibawa ke tanah perkuburan.



Laluan ke tanah perkuburan agak mengelirukan dan terpaksa melalui kawasan taman-taman perumahan. Setiba di sana, penggali kubur sedang mengemaskan liang lahad. Perlahan-lahan, jenazah dimasukkan ke dalam liang lahad dengan bantuan ahli keluarga.

Seterusnya imam dan semua yang menziarahi kawasan perkuburan mengadakan bacaaan tahlil untuk arwah dan akhirnya pukul 10.15 pagi, proses pengebumian selesai.



Bagi keluarga Hj. Ayup, sehingga kini 4 orang cucunya sudah meninggal dunia. Dua anak Azhar, seorang anak Amir dan seorang anak Azilah. Hj. Ayup ketika ditemui agak pilu dengan pemergian arwah. Kali terakhir beliau bertemu arwah ialah pada hari Isnin, sehari sebelum berlakunya kemalangan ketika arwah bersama ahli keluarga pulang ke kampung.

Menurut Hj. Ayup, arwah yang baru sahaja boleh berjalan, sentiasa ceria, berbual dan mengusap-usap badan atuknya juga bermain dengan sepupu-sepupunya yang lain ketika di kampung. Beliau tidak menyangka arwah pergi begitu cepat.

Arwah Arysad bin Mohd Nizam dilahirkan pada 25 Ogos 2010 dan ketika berumur 1 tahun 4 bulan, beliau kembali ke Rahmatullah. Allah SWT lebih menyayangi arwah dan semoga roh anak ini dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh.

Bagi kedua ibu bapa ini, semoga tabah menghadapi segala ujian dari Allah SWT.

Menziarahi Arysad di ICU

Khamis, 29 Disember 2011. Pukul 12.00 tengah hari, aku, Ida dan Ifa bergerak dari Putra Heights, USJ ke Pusat Perubatan UKM di Bandar Tun Razak. Lebih kurang 30 minit perjalanan, kami sampai di HUKM. Mencari parkir agak sukar di sini terutama waktu melawat. Entah berapa kali pusing, akhirnya baru mendapat petak kosong. Terus parking di situ.



Kami terus ke Tingkat 4 bangunan hospital mencari Pediatric High Dependency Unit (PICU). Kami sampai lebih kurang pukul 1.30 petang. Aku bersalaman dengan Nizam dan duduk di satu sudut khas untuk pelawat manakala Azilah masih di katil pesakit melayan kunjungan rakan-rakan sekerja.

Aku bertanyakan kepada Nizam kejadian sebenar kemalangan yang menimpa Arysad. Menurutnya, pada hari kejadian iaitu petang Selasa, 27 Disember 2011, beliau merancang untuk menjemput Azilah pulang dari kerja. Ketika bersiap untuk memasukkan barangan ke dalam kereta, beliau memasukkan Arysad terlebih dahulu di kerusi penumpang bahagian belakang dan mengarahkan Ali, anak keduanya untuk masuk ke sebelah kerusi penumpang bahagian kanan. Pada masa itu, Arysad memegang kerusi bahagian hadapan sebelah kiri pemandu manakala sebelah tangan lagi memegang cermin pintu kiri bahagian belakang kereta yang terbuka tingkapnya.

Menurut Nizam, Arysad ketika itu sungguh gembira melambai sepupu-sepupunya yang lain. Tanpa disedari, Ali dikatakan keluar daripada kereta dan membuka pintu sebelah kiri menyebabkan Arysad terjatuh dan terhempas ke lantai simen. Kejadian berlaku di rumah neneknya di Keramat.



Menurut Nizam lagi, sepanjang perjalanan, Arysad menangis dan dipujuk oleh abang sulungnya, Adam. Namun adiknya tetap menangis sehingga sampai di tempat kerja ibunya. Apabila Arysad senyap, Azilah menyangkakan Arysad tidur tetapi apabila sampai dan ingin memandikan Arysad, anak kecil ini terus senyap tidak seperti hari-hari biasa di mana dia akan tersedar apabila terkena air. Bila diperiksa, ada tanda buih di bahagian hidung dan dengan segera Azilah membawanya ke sebuah klinik berhampiran. Pihak klinik selepas memeriksa Arysad, meminta Azilah membawanya ke hospital.

Sesampai di Pusat Perubatan UKM, berlaku sedikit masalah pendaftaran bila mana pihak hospital terlalu mengikut prosedur walaupun pesakit dalam keadaan kritikal. Apabila dirujuk kepada doktor, beliau mengarahkan supaya pesakit segera dibawa ke ICU. Hasil pemeriksaan, doktor mengesahkan berlaku perdarahan di dalam kepala sebelah kanan dan terpaksa ditebuk untuk rawatan. Ketika itu Arysad sudah koma dan tidak bergerak lagi.



Bantuan pernafasan melalui mesin terus diberikan. Harapan untuk hidup yang diberikan oleh doktor sekadar 50 peratus sahaja disebabkan tempoh masa kecederaan yang panjang sebelum mendapat rawatan menyukarkan pesakit untuk selamat.

Menurut Nizam, jam 12.30 tengah hari tadi, doktor telah memanggil kedua ibu bapa untuk menerangkan kedudukan pesakit dan menyatakan bahawa situasi sekarang ialah Arysad bergantung sepenuhnya kepada mesin pernafasan dan meminta Nizam dan Azilah membuat keputusan serta redha dengan ketentuan Ilahi. Akhirnya kedua ibu bapa ini bersetuju untuk tidak menggunakan mesin pernafasan dan proses ini bakal dilakukan selepas Maghrib.



Aku bertanyakan kepada Azilah sekiranya Arysad tidak panjang umur, dimanakah ianya dikebumikan dan Azilah bersetuju untuk membawa pulang jasad Arysad ke rumahnya di Taman Angsana, Cheras walaupun ada permintaan di pihak keluarga Nizam untuk dikebumikan di Keramat. Ini kerana katanya, Arysad bila pulang ke rumahnya, dia akan rasa gembira dan berlari-lari di dalam rumah.

Aku melihat Azilah bengkak matanya mungkin terlalu bersedih dengan situasi yang terjadi tetapi aku percaya adik perempuan aku ni redha dengan ujian Allah SWT dan pasrah dengan ketentuanNya.

Memandangkan sudah lami kami berada di hospital, kami meminta diri untuk pulang. Kami bersalaman dengan Azilah manakala Nizam tiada kerana membawa anak-anaknya makan tengah hari di kantin hospital. Azilah meminta kami datang ke rumah sebelah malam nanti.

Aku mengharapkan semoga Arysad tenang di sisi keluarga tercinta dan dilimpahi rahmat Allah SWT.

Pukul 3.00 petang, dalam perjalanan, kami singgah di sebuah kedai makan sebelum pulang ke Putra Heights.

Khamis, Disember 29, 2011

Bertolak Balik Ke KL

Rabu, 28 Disember 2011. Hari ini merupakan hari terakhir kami di BGRC. Pagi ini aku menerima perkhabaran daripada Zainab bahawa anak lelaki ketiga Azilah, Arysad koma di HUKM kerana perdarahan di kepala akibat jatuh daripada kereta ketika berada di rumah neneknya di Keramat, Selangor.

Arsyad yang berumur sekitar 18 bulan dikatakan memegang kerusi bahagian hadapan sebelah kiri pemandu manakala sebelah tangan lagi memegang cermin pintu kiri bahagian belakang. Dia dikatakan terjatuh dan terhempas ke lantai simen ketika melambai sepupu-sepupunya yang lain semasa abangnya, Ali membuka pintu kereta. Kejadian berlaku petang semalam sewaktu Nizam baru memulakan perjalanan untuk menjemput Azilah dari tempat kerja. Aku berhasrat untuk melawat keluarga ini di HUKM tetapi masa melawat agak terhad, mengikut masa yang ditetapkan oleh pengurusan HUKM.



Pagi ini setelah berkemas-kemas, kami memasukkan barangan dan peralatan ke dalam kereta. Pukul 12.30 tengah hari, kami check out di lobi dan 20 minit kemudian kami memulakan perjalanan pulang ke KL melalui jalan lama ke Lebuhraya Pantai Timur.

Dalam perjalanan, kami singgah di Lanchang untuk makan tengah hari. Di pondok yang disediakan oleh pengurusan lebuhraya, PTD Prime, kami buka bekalan makanan yang dimasak di apartment. Nasi dengan sambal udang, ayam goreng dan sayur masak air memang menyelerakan.

Perjalanan diteruskan dan kami sekali lagi singgah di Kampung Sungai Dua dalam hujan renyai untuk menikmati durian. Di sini ada dua jenis durian dijual kepada pengunjung iaitu Musang King dan D24. Thanks to Mak Munah kerana belanja makan durian. Durian jenama Musang King lebih mahal dan lebih enak daripada D24 tetapi keduanya ternyata superb!. Makan durian di manapun boleh asalkan ada pondok dan meja. Bak kata Farok, kalau sayang emak, balik kampung makan durian, kalau tak sayang, makan tepi jalan aje...

Pukul 5.30 petang, sewaktu melalui Hulu Kelang, kami singgah di sebuah stesen minyak untuk menukar penumpang. Arif, Ifa dan Alim mengikut kami ke rumah Aziah di Taman Permata, Hulu Kelang.

Aku sebenarnya bercadang untuk mendapatkan maklumat yang jelas daripada Aziah tentang kemalangan yang menimpa Arysad kerana banyak versi cerita yang aku dengar.

Pukul 6.15 petang, kami sudahpun berada di rumah Aziah. Memadangkan sudah lama kami sekeluarga tidak ke sini, banyak perkara yang kami bualkan. Ikram, Odah, Mira dan Manan ada di rumah. Macam-macam makanan dihidangkan dan akhirnya pukul 10.00 malam, kami meminta pulang ke Putra Heights.