Isnin, Ogos 27, 2012

Sesi Dialog Bersama TNC (P&I) - Part 1

Jam 9.00 pagi tadi, telah diadakan Sesi Dialog Bersama Timbalan Naib Canselor (P&I) Bersama Pejabat Perpustakaan. Program ini diadakan di Bilik Tayangan Aras 2, Perpustakaan dan dihadiri seramai 32 orang staf perpustakaan dari pelbagai jawatan.

Prof. Ir. Dr. Mohd. Jailani Mohd Nor, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) hadir mengendalikan sesi dialog yang antara lain membincangkan permasalahan kerja yang ada serta meningkatkan motivasi staf perpustakaan. Beliau mengharapkan perbincangan dijalankan secara santai agar tiada tekanan dalam mengeluarkan pandangan.

Memulakan dialog, Puan Hajah Faridah Md. Amin, Ketua Pustakawan memperkenalkan satu persatu staf yang hadir. Kemudian, Prof. Ir. Dr. Mohd. Jailani Mohd Nor pula membacakan serangkap pantun berupa pantun raya bagi menceriakan suasana.

Dalam amanatnya, TNC (P&I) UTeM ini menyatakan sejak memulakan tugasnya di UTeM pada tahun 2009, beliau melihat akan keperluan 4 pejabat iaitu Pejabat TNC (P&I), CRIM, Perpustakaan dan Pusat Komputer untuk bekerja sebagai satu pasukan yang merupakan entiti penting dalam domain penyelidikan dan inovasi. Menurut beliau, PTj merupakan peneraju (drivers) dalam penyelidikan dan inovasi serta mempunyai agenda besar di universiti.

Beberapa perkara diutarakan dalam mewujudkan kerjasama di antara keempat PTj ini:

1. Silo Mentality
Staf tidak boleh hanya menjaga ruang lingkup (territory) mereka sahaja. Mereka perlu ada KPI sendiri dan yang lebih besar ialah KPI UTeM. Staf perlu meruntuhkan 'tembok' PTj dan bekerja dalam satu irama dan satu sinergi. Katanya kita tidak mahu 'win the battle but lost the war'. Maksudnya kita menang dalam satu perjuangan yang kecil tetapi kalah dalam satu pertarungan yang besar. Katanya lagi, tidak ada yang handal dalam semua perkara sebaliknya jika benar, kita perlu mengiktiraf kehandalan orang lain.

2. Mesra Pengguna
Staf perlu ada nilai-nilai murni semasa menjalankan perkhidmatan kaunter seperti memberikan senyuman dan ramah. Mereka harus belajar mengambil tugas itu sebagai satu tugas murni yang mana ada nilai kepada orang lain. TNC (P&I) UTeM ini mengucapkan tahniah kepada Perpustakaan UTeM kerana berjaya mendapat pengiktirafan MS ISO 9001:2008. Menurut beliau, dalam bekerja mesti ada kualiti. Customers, they can smell the quality... Beliau berharap CRIM juga perlu memperolehi ISO. Kerjasama dan bantuan di pihak perpustakaan juga diharapkan bagi membantu CRIM. Menurut beliau, jika kita berjaya memudahkan urusan orang lain, Allah SWT akan memudahkan urusan kita.

3. Pendekatan Bersistem
Kita perlu melihat suasana yang ada pada organisasi kita secara menyeluruh secara bersistem atau system approached. Katanya di perpustakaan, infrastruktur seperti kerusi dan meja sudah ada, bilangan staf seramai 73 orang sudah cukup dan fungsi perpustakaan juga sudah difahami. Yang akan memberikan nafas ialah orang-orang di dalam perpustakaan sendiri.

4. Pembaikan Berterusan
TNC (P&I) UTeM berharap agar semua program yang dilaksanakan di universiti yang mana melibatkan staf, pelajar dan masyarakat sekeliling diwujudkan, dipantau, dinilai dan dibaiki. Di sini perlu ada elemen penambahbaikan hasil daripada maklumbalas (feedback) dan peningkatan iatu continuous quality improvement. Katanya lagi continuous quality improvement hanya akan terhenti bila manusia tidak wujud lagi atau meninggal dunia.

Katanya lagi, kewujudan UTeM di Negeri Melaka ini penting. Kewujudan ini mestilah bak kata orang 'kehadirannya dirasai, ketiadaannya dirindui.' Jika kewujudannya tidak dirasai, ia merupakan sesuatu yang silap. Beliau mengajak staf untuk bekerja bersama dan katanya sesuatu itu terjadi memang sudah suratan. Yang pasti ada hikmah terhadap sesuatu kejadian dan terus memberikan sumbangan berterusan kepada UTeM.








Khamis, Ogos 23, 2012

Hari Raya Kelima

Diam tak diam, hari ini dah masuk hari kelima beraya. Apa perancangan hari ini tidak pasti. Yang pasti, satu masalah mesti diselesaikan.

Sudah dua hari tandas kat rumah ni tersumbat. Bila flush, bahan buangan tidak masuk ke tangki. Semalam sudah call Syarikat Indah Water. Katanya tempoh masa untuk penyelesaian ialah 3 hari. Mak oii, sampai 3 hari....

Call Azhari, anak Pak Ngah Ahmad yang menjadi supervisor di syarikat berkenaan. Katanya semalam petang tetapi tidak sampai juga. Pagi ni ada 6 missed call daripada Azhari. Call balik Azhari. Katanya pagi ini lori Indah Water akan sampai.



Lebih kurang jam 11.00, aku menerima panggilan daripada pemandu lori Indah Water bertanyakan lokasi rumah. Sebelum ni aku dah berikan lokasi mengikut nombor pada tiang elektrik TNB.

Dua orang pekerja Indah Water yang baru menyelesaikan satu misi di Ayer Keroh dan dalam perjalanan ke Muar singgah di rumah untuk menyelesaikan satu lagi misi penting. Ini kali pertama aku melihat operasi menyedut tangki septik dilakukan. Lori diberhentikan di hadapan rumah. Sambungan getah penyedut dipasang dari lori ke tangki dan proses berjalan hampir sejam. Memang cepat dan kemas kerja mereka.

Kini tandas beroperasi seperti sediakala. Dulu aku tidak pernah terfikir perlunya ada syarikat pembetongan tetapi kini ia penting terutama bila kita sendiri tidak dapat menyelesaikan 'hajat' dan kehidupan menjadi tidak terurus.

Terima kasih Azhari dan terima kasih kepada Syarikat Indah Water.

Rabu, Ogos 22, 2012

Sambutan Hari Raya Keempat

Misi jalan raya hari bermula pada sebelah petang. Tidak banyak rumah dapat kami kunjungi.

Jam 2.00 petang, kami singgah di rumah Mak Ngah Saedah di Jalan Pangkalan Jajar, Kg. Alai. Sudah berapa tahun agaknya kami tidak beraya di rumah beliau. Tahun lepas pun kami tidak sampai.

Mak Ngah Saedah merupakan seorang ibu tunggal. Suaminya arwah Pak Ngah Dolah meninggal beberapa tahun yang lalu. Dua tahun lepas seorang cucu kembarnya meninggal dunia manakala awal tahun ini, seorang anaknya yang tinggal di Batu Pahat juga meninggal dunia. Kami hanya bertanyakan khabar dan bersembang hal-hal semasa.

Pukul 4.30 petang, kami ke rumah arwah Pak Yahya bersama keluarga Md. Nor. Katanya nak jalan raya dan bincang tentang hal merapatkan 'hubungan kekeluargaan' dengan keluarga arwah.

Beberapa bulan lalu, anak arwah, Aspalela dan ibunya bercadang untuk menjalinkan hubungan kekeluargaan dengan keluarga Md. Nor. Adiknya, Yaakub, 30 tahun dicadangkan untuk dipadankan dengan anak Md. Nor, Saaudah yang berusia 22 tahun. Kini mereka dalam proses perbincangan.

Kami dijamu dengan nasi dan kuih raya. Md. Nor, Aziah dan Ida berbincang dengan Aspalela dan ibunya manakala aku dan abah, Hj. Ayup mendengar dari jauh sahaja. Dalam perbincangan tidak perlu ramai, nanti keluar topik lain pula. Yang penting perlu dominan, mengemudi perbincangan secara adil. Mesti ada win-win situation. Jam 6.00 petang, kami pulang ke rumah Mak Bedah.

Jam 6.45 petang, aku sekeluarga ke AEON Bandaraya Melaka untuk meraikan sambutan ulangtahun ke-16, Arif. Itu agenda wajib kerana setahun hanya sekali sahaja dapat meraikannya.

Jam 9.00 malam, kami sepakat singgah di rumah Mak Enchom di Taman Seri Duyung 2, Duyung. Dah lama kami tidak berjumpa dengan beliau. Mak Enchom tinggal bersama seorang anak tunggal dan menantu serta cucu-cucunya.


Bersama keluarga Mak Enchom.


Menonton TV.

Jam 11.00 malam, kami pulang ke rumah.

Meraikan Birthday Arif

Hari ini kami sekeluarga meraikan sambutan ulangtahun kelahiran Arif ke-16 di AEON Bandaraya Melaka. Sudah berapa tahun, tarikh ulangtahun kelahirannya jatuh dalam bulan Ramadhan dan kami menyambutnya secara ala kadar dan kadangkala sekadar ucapan selamat sahaja.

Hasrat kami untuk meraikan hari lahir Arif dengan sebiji kek Baskin Robbin tidak tercapai kerana kek perlu ditempah terlebih dahulu dan mengambil masa dua hingga tiga hari. Harga memang mahal tapi itu kami tidak kisah asalkan kami puas hati dengan kek ais krim tersebut.

Alternatif kedua ialah kami meraikan Arif dan anak-anak yang lain dengan ais krim Baskin Robbin. Arif sebagai 'birthday boy' bersetuju dengan cadangan tersebut. Anak-anak diberi pilihan untuk memilih perisa mana yang mereka sukai.

Kemudian kami ke Restoran A&W berhampiran untuk meraikan Arif. Ifa, Miza dan Alim memang menunggu saat begini kerana mereka juga dapat menumpang kegembiraan dan menjamu selera bersama abang sulung mereka.

Lebih sejam kami di sana, akhirnya kami pulang ke rumah. Aku bersama ahli keluarga yang lain mendoakan semoga Arif dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki, sentiasa sihat dan terus berjaya dalam apa jua bidang diceburinya.

Amin!











Selasa, Ogos 21, 2012

Sambutan Hari Raya Ketiga

Pagi tadi adik bongsu aku, Zamry, isterinya Shahmizah dan anaknya Ammar singgah di rumah. Mereka baru balik dari Johor Bahru malam tadi dan dalam perjalanan ke rumah abang Shahmizah di Muar. Selain kuih raya, kami hanya sempat menyediakan cekodok sebagai sarapan pagi.

Sebelah petang, kira-kira jam 2.30 petang, kami menziarahi Mak Mon di Bukit Larang. Sewaktu kami sampai, Abang Ghaffar bersama anaknya keluar beraya manakala Mak Mon ditemani seorang anaknya yang lain dan seorang cucu. Seperti biasa, kami akan bertanyakan kesihatan beliau memandangkan usianya yang sudah agak lanjut. Beliau masih dalam melaksanakan puasa enam di bulan Syawal.


Berkunjung ke rumah Mak Mon.


Arif dan Ifa.


Gelagat Miza dan Alim.

Jam 4.30 petang, kami sekeluarga ke Muar untuk memenuhi undangan rumah terbuka Zaki. Katanya Eimran, anak keduanya akan menyediakan nasi ayam black pepper.

Sewaktu kami sampai, Pak Uda Samad bersama dua orang anaknya sudahpun berada di sana.
Kami dijamu dengan kuih-muih raya, mee bandung dan nasi ayam black pepper.

Lama juga kami bersembang. Kemudian Yunus dan keluarganya dari Batu Pahat, sampai. Kami terus bersembang dengan hal-hal semasa dan perancangan masa depan.

Pukul 9.30 malam, kami bergerak pulang. Terus ke Batu Berendam untuk menghantar Arif bermain futsal bersama sepupu-sepupunya sebelah Peringgit.

Walaupun penat beraya, hati gembira kerana dapat menjalinkan hubungan silaturrahim dengan sanak saudara khususnya mereka yang lebih tua dari kita. Doaku semoga raya tahun depan dapat berjumpa lagi dengan mereka.

Koleksi Lagu Raya

Mendengar melodi lagu-lagu raya begini sudah tentu akan menyemarakkan mood raya khususnya kepada mereka yang tinggal di perantauan.



Layan...

Isnin, Ogos 20, 2012

Sambutan Hari Raya Kedua

Hari ini merupakan hari kedua umat Islam beraya. Selepas Zuhur, kami memulakan perjalanan untuk berhari raya.

Destinasi pertama ialah rumah Mak Pah yang terletak hanya beberapa meter daripada rumah kami. Mak Pah ialah isteri kepada Pak Long Latip atau Latip Joned yang juga sepupu kepada Mak Munah. Kami bersembang tentang keluarga beliau. Kebanyakan anak-anak dan cucu beliau berjaya dalam kehidupan melainkan seorang, anaknya yang sulung. Kerjanya biasa-biasa sahaja.


Mak Pah.


Ida bergambar bersama Mak Pah.

Hampir setengah jam kami di sana, kami ke rumah Pak Uda Samad. Pak Uda Samad merupakan adik ketiga Mak Munah yang tinggal selang beberapa rumah daripada rumah kami. Kebetulan Zaki sekeluarga pun belum berkesempatan mengunjungi Pak Uda Samad. Dan kesempatan ini diambil untuk bersama-sama berhari raya di rumah beliau. Lagi ramai, lagi meriah. Banyak yang kami sembang-sembangkan terutamanya hal-hal keluarga.


Berkunjung ke rumah Pak Uda Samad.


Bersembang.

Jam 6.00 petang kami singgah di rumah Pak Ngah Ahmad. Kebetulan hanya beliau dan isterinya sahaja di rumah bersama seorang anak lelakinya. Kami bersembang-sembang juga tentang hal kekeluargaan. Wujud kemesraan bila sesekali berbicara.


Pak Ngah Ahmad.


Alim.

Setengah jam kami di sana, Zaki dan keluarga ingin kembali ke Muar. Destinasi kami diteruskan ke rumah Busu Lambak di Bukit Pegoh. Bila kami sampai, Yunus dan keluarganya baru lepas beraya di rumah Busu Lambak dan ingin pulang ke rumah. Busu Lambak melayan kami dengan kuih-muih raya dan sangat mesra dengan anak-anak kami. Alim yang 'buat hal' menangis sebab kena marah dengan Ida tetapi Busu Lambak memujuknya.


Ifa, Arif, Alim dan Miza bergambar di rumah Busu Lambak.


Ida dan aku.


Arif, Ifa, Alim dan Miza.


Bergambar bersama Busu Lambak.

Hampir Maghrib, kami pulang ke rumah. Dalam perjalanan, aku mendapat SMS, adik-adik ingin beraya d rumah. Segera ke kedai untuk mencari 'bahan mentah' buat tetamu yang akan berkunjung selepas Maghrib nanti.

Tunggu punya tunggu, jam 10.15 malam, baru sampai. Katanya mereka singgah di rumah Tok Hassan dahulu sebelum sampai di Kg. Alai. Lagipun sebentar tadi, hujan turun dengan lebat. Tidak mengapa, asalkan datang...


Kunjungan adik-adik dari Peringgit.

Ramai juga yang datang. Azhar, Azilah, Azmi, Roseniza, Zainab dan Saufi. Semuanya bawa keluarga dan anak-anak. Suhaina, isteri Amir, pun datang sekali. Katanya ini kali pertama dia sampai di Kg. Alai.

Anak-anak terutama Alim dan Miza melayan sepupu-sepupu mereka dengan bermain bunga api dan mercun. Anak-anak menjadi riang dan bersorak gembira bila dapat bermain bunga api.

Kami hanya sempat menyediakan mee goreng dan buah-buahan selain kuih raya. Hampir jam 11.30 malam, mereka bertolak pulang ke rumah.