Selasa, Mac 27, 2012

Nek Jaharah Meninggal Dunia

Khamis, 22 Mac 2012. Lewat petang Ida menelefon dari Hospital Besar Melaka memaklumkan beliau bersama Mak Bedah melawat Nek Jaharah di Wad ICU. Beberapa minit kemudian, Ida menelefon kembali memaklumkan Nek Jaharah yang berusia 74 tahun telah meninggal dunia jam 7.50 malam.

Allahyarham Nek Jaharah telah dimasukkan ke wad biasa awal minggu ini akibat sakit di bahagian perut. Beberapa hari kemudian, beliau koma dan dimasukkan ke wad ICU kerana keadaan beliau yang kritikal.

Petang semalam, setelah mendapat mesej daripada Zainab, aku bergegas ke wad ICU, Hospital Besar Melaka. Kelihatan Tok Hassan dan Akop, anak buah allahyarham bersama isterinya ada di sana. Ketika itu allahyarham koma dan hanya mesin-mesin sahaja yang berfungsi merekodkan denyut nadi, pernafasan, tekanan darah dan sebagainya.

Aku berkesempatan mendengar penerangan daripada Dr. Anita, doktor pakar bius di wad berkenaan. Menurut Dr. Anita, Allahyarham Nek Jaharah dimasukkan ke wad dua hari lepas dan mulai malam tadi dimasukkan ke ICU.

Allahyarham mengidap pankreas bernanah, buah pinggang yang tidak berfungsi dan paru-paru berair. Sewaktu melawat Allahyarham, doktor mengesahkan pernafasan dan tekanan darahnya memang normal.

Doktor juga sukar untuk membuat pembedahan melainkan jika perlu membuang nanah di sekitar pankreas. Dari segi harapan pula, doktor membayangkan sukar untuk menyelamatkan nyawa dan memaklumkan tindakan yang akan diambil serta risikonya. Beliau meminta semua pihak mendoakan kesejahteraan pesakit ini.

Lama juga aku tidak berjumpa dengan arwah. Kali terakhir ialah sewaktu majlis qurban sempena aidil adha di rumah Mak Bedah, 6 November 2011. Itupun arwah datang bersama cucunya.

Hari Raya Aidilfitri tahun 2009 kami sekeluarga pernah menziarahi arwah di rumahnya di Rumah Awam Durian Tunggal. Arwah tinggal bersama cucunya yang masih lagi bersekolah.

Beberapa tahun lalu, arwah yang dikurniakan seorang anak perempuan yang aku panggil Along meninggal dunia akibat kencing tikus. Sejak itu arwah berniaga kecil-kecilan untuk menampung kehidupannya sekeluarga.

Tarikh 23 Mac 2012, jam 11.00 pagi, Allahyarham Nek Jaharah telah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Durian Tunggal.

Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.

Al-Fatihah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan