Selasa, Mac 27, 2012

Norlian Letak Jawatan

23 Mac 2012 merupakan tarikh akhir Norlian Mohamed Najib bertugas sebagai Pustakawan di Perpustakaan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM). Beliau meletakkan jawatan kerana mendapat tawaran kerja di sebuah firma swasta di Petaling Jaya.

Sewaktu mengunjungi Unit Pengindeksan pada jam 4.30 petang, beliau bersalaman-salaman dengan staf-staf wanita dan memohon maaf kepada semua staf di unit berkenaan buat kali terakhir sebelum meninggalkan perpustakaan. Norlian juga sempat bergambar kenangan dengan semua staf Unit Pengindeksan.



Mengimbas kembali laluan kerjayanya di UTeM, Norlian yang menggunakan nombor pekerja 01517 mula bertugas sebagai Pustakawan berstatus kontrak di Perpustakaan UTeM pada bulan Jun 2008.

Setelah menjalani tempoh latihan selama sebulan, beliau ditempatkan di Unit Perolehan Buku. Beliau juga terlibat dengan perpindahan perpustakaan daripada Kampus Industri ke Kampus Induk di Durian Tunggal pada tahun 2009.



Pada 14 Mac 2010, Norlian ditukarkan daripada Unit Perolehan Buku ke Unit Pentadbiran & Latihan. Di sinilah kemelut yang melanda diri beliau bermula. Beberapa bulan bertugas, banyak masalah dihadapi terutama melayan kerenah bos yang sentiasa 'berangin'.

Ketika inilah jawatan tetap yang ditawarkan kepada pustakawan baru sedangkan Norlian sebagai staf berstatus kontrak tidak diutamakan. Tambahan pula beliau yang tamat kontrak apabila kontraknya disambung semula sepatutnya mendapat bayaran gratituiti tetapi bayaran tersebut dinafikan oleh Pejabat Pendaftar dan Pejabat Bendahari.



Dalam mengharungi kemelut ini, beliau sering mendapatkan nasihat daripada aku dan rakan-rakan pustakawan yang lain. Sebagai rakan, kami juga cuba membantu sedaya mungkin dan berharap beliau mendapat jawatan tetap. Dalam diam beliau memohon beberapa jawatan kosong di sama ada di sektor kerajaan maupun swasta.

Pada 4 Ogos 2011, beliau seolah-olah tidak diperlukan lagi di Unit Pentadbiran dan Latihan dan ditukarkan ke Unit Rujukan. Norlian kelihatan sedikit ceria kerana tiada tekanan bertugas di unit baru beliau.

Sebulan sebelum meletakkan jawatan, Norlian ada menghubungi aku meminta pendapat tentang tawaran kerja baru yang diterimanya. Memandangkan beliau yang berasal daripada Shah Alam, aku mencadangkan kepadanya agar menerima tawaran tersebut kerana lokasi tempat kerja barunya berdekatan dengan tempat tinggal ibu bapanya.

Pada masa yang sama, beliau ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah sarjana di UiTM Shah Alam. Begitulah rezekinya jika sanggup berhijrah...

Norlian merupakan pustakawan ke-4 meletakkan jawatan di Perpustakaan UTeM. Sebelum ini Siti Nor Rahmah Yaman, Amzari Abu Bakar dan Shahrul yang pernah bertugas di sini meletakkan jawatan kerana mendapat tawaran kerja di tempat lain.

Pada petang 23 Mac 2012, beliau tidak dapat menahan air mata apabila meluahkan kepada kami masalah yang dihadapi bekerja di sini. Beliau tersepit di antara kemesraan rakan-rakan dan kemelut dengan bos serta kecewa dengan jawatan kontrak beliau.

Dalam kesedihan, aku lihat ada sedikit keceriaan bila mana beliau memaklumkan bahawa Pejabat Bendahari akan membayar bayaran gratituiti yang beliau perjuangkan sejak beberapa bulan yang lalu.

Kepada Norlian, aku ucapkan selamat berjaya di dalam karier baru pilihannya. Apapun aku harapkan semoga perhubungan sebagai rakan akan tetap diteruskan walaupun di alam siber.

Selamat berjaya....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan