Ahad, Julai 22, 2012

Tazkirah Pagi Jumaat

Jumaat, 20 Julai 2012. Tazkirah pagi bulanan ini telah disampaikan oleh Ustaz Muhammad Ridhwan Mohd. Danian, Pembantu Hal Ehwal Islam, Bahagian Dakwah dan Sahsiah, Pusat Islam UTeM.



Di dalam tazkirah beliau kepada staf perpustakaan, beliau menyentuh tentang isu-isu kontemporari umat Islam semasa menjalani ibadah puasa berdasarkan fatwa-fatwa sedia ada.

Memulakan bicaranya, Ustaz Muhammad Ridhwan, memetik satu surah di dalam Al-Quran yang mengaitkan puasa dan taqwa berdasarkan perintah Allah SWT:

”Wahai orang-orang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa, sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, mudah-mudahan kamu beroleh taqwa” - Surah al-Baqarah, ayat 183 dan 184.

Ayat ini secara jelas dan tegas menuntut umat Islam berpuasa dengan satu tujuan iaitu untuk mencapai darjah taqwa.

Puasa adalah jalan untuk menuju taqwa. Puasa merupakan adalah latihan diri mencapai sifat taqwa. Puasa yang sempurna akan melahirkan buah taqwa. Orang Mukmin berpuasa kerana ingin mengecap nikmat taqwa. Taqwa adalah kemuncak pencapaian bagi mereka yang berpuasa.

Berbagai isu dibangkitkan dari dari segi kesihatan, seperti penggunaan inhaler bagi mereka yang mengidap asma, menyuntik insulin bagi pengidap kencing manis dan lain-lain lagi di mana banyak pertanyaan diterima tentang kekeliruan isu tersebut.

Beliau juga menyentuh isu menggosok gigi dan mandi wajib selepas waktu Imsak. Dikhuatiri boleh menjejaskan puasa, beliau meminta kedua isu ini dilakukan sebelum solat Subuh.

Semoga intipati tazkirah ini akan dapat dihayati sepenuhnya oleh kita semua.

Melayan Alim Dan Miza

Selasa, 17 Julai 2012. Hari ini aku dah mulai bekerja. Awal pagi aku menyiapkan sarapan pagi dan bekalan untuk anak-anak ke sekolah. Roti, nugget dan sosej. Anak-anak suka makanan ini.

Setelah siap berpakaian dan bersarapan, aku menghantar Alim dan Miza ke sekolah. Kemudian aku terus ke pejabat. Tengah hari Zamry yang masih lagi bercuti kerana menjalani fisioterapi, menguruskan anak-anak ke sekolah agama. Mujur ada Zamry. Kalau tidak aku terpaksa bergegas ke sekolah dan menguruskan anak-anak ke sekolah agama. Jika ini berlaku, pastinya aku akan balik semula ke pejabat lewat.

Jam 6.15 petang, aku segera ke SRA Datuk Palembang untuk menjemput anak-anak di sekolah agama. Aku perlu segera ke sana setiap hari Isnin hingga Rabu. Balik sahaja, terus menghantar anak mengaji dengan atuk mereka.



Anak-anak ingin menikmati McDonald. Bagi mengubati kerinduan dan mengelakkan anak-anak daripada bersedih, aku memenuhi permintaan mereka. Kami singgah di McDonald berhampiran Melaka Mall jam 8.30 malam sebelum balik ke rumah.



Aku merakamkan gambar Miza dan Alim sedang menikmati makanan segera. Gambar tersebut dikirimkan oleh Alim kepada ibunya di Madinah.

Semoga anak-anak ini dapat menempuh perjalanan masa 12 hari tanpa ibu mereka dengan tabah hendaknya...

Jamuan Kesyukuran

Khamis, 19 Julai 2012. Setelah puas memilih tarikh bagi mengadakan jamuan kesyukuran untuk rakan-rakan sekerja, akhirnya 19 Julai 2012 dianggap tarikh sesuai untuk mengadakan majlis tersebut.



Majlis ini sempena eksesais kenaikan pangkat bagi 3 orang staf perpustakaan. Puan Jumakyah menjamu staf minggu lepas manakala aku dan Encik Shahar minggu ini.

Lewat petang Rabu, satu e-mel dihantar kepada kumpulan pengguna perpustakaan menjemput mereka hadir ke majlis jamuan ringkas jam 1.00 tengah hari di Ruang Bahagian Perolehan. Aku juga menjemput Encik Shahar dan Ketua Pustakawan.



Seperti yang telah dijanjikan, majlis berjalan lancar. Staf berkumpul di Ruang Bahagian Perolehan untuk meraikan kami berdua. Ketua Pustakawan tidak dapat hadir kerana bercuti.

Bacaan doa selamat dibacakan oleh Azman Amir. Kemudian semua staf dijamu dengan lauk-pauk seperti daging masak lemak, ayam goreng, sayur goreng, buah-buahan dan minuman kordial. Ramai yang memuji masakan ini. Sebenarnya aku tempah daripada mak mertua Puan Noraini. Menu simple tetapi terasa...

Hampir jam 2.00 petang, majlis selesai. Alhamdulillah, segala perancangan berjalan dengan baik sebelum masuk Ramadhan Al-Mubarak.

Buat rakan-rakan, terima kasih kerana sudi memenuhi undangan kami berdua.

Menerima Perkhabaran Pertama

Selepas 9 jam berpisah, akhirnya jam 7.30 malam aku menerima panggilan daripada Ida di Madinah. Ida menggunakan nombor telefon prabayar yang dibeli di sana. Aku menerima panggilan tersebut sewaktu Zamry menghantar aku, Alim dan Miza balik ke Alai selepas menghantar kereta untuk dicat semula di sebuah bengkel mengecat kereta di Malim.

Menurut Ida, rombongan umrah baharu sahaja sampai di Madinah dan sedang bergerak ke hotel. Katanya, semua rombongan sihat-sihat dan meminta aku menguruskan keperluan Miza dan Alim.

Dengan wujudnya semula komunikasi, anak-anak tidak sunyi. Mereka boleh menefon dan sms ibu mereka bila-bila masa sahaja. Mereka tidak sunyi lagi. Dan jika ada perkara-perkara penting, kami akan berkomunikasi lagi.

Namun begitu, anak-anak sentiasa menghitung hari menunggukan ahli keluarga khususnya ibu mereka pulang.

Sepanjang ketiadaan mereka, boleh dikatakan sebaik sahaja keperluan anak-anak dipenuhi seperti makan dan minum, pakaian dan sebagainya, aku akan sentiasa membuat kerja rumah seperti memasak, mengemas, membasuh pinggan, membasuh baju dan lain-lain lagi.

Penat. Memang penat. Begitulah rasanya jika jadi suri rumah. Kerja tidak habis-habis. Namun begitu, tanggungjawab harus diutamakan.

Paling seronok ialah jika semua kerja rumah yang dirancang selesai. Barulah boleh tidur. Esok punya hal kena fikir lagi.

Apapun yang paling penting ialah semua kerja sempurna dan berperanan seperti suri rumah yang lain, tidur lambat tetapi bangun awal.

Jemaah Umrah Di KLIA

16 Julai 2012. Bergerak dari Melaka ke KLIA mengambil masa lebih kurang 1 jam 30 minit. Dua kenderaan menghantar jemaah umrah. Ida dan Ifa menaiki kereta aku bersama anak-anak yang lain, Arif, Miza dan Alim. Mak Bedah juga turut sama dalam rombongan menghantar jemaah umrah ini. Sebuah lagi kereta ialah kepunyaan Farok. Mereka sekeluarga yang dalam perjalanan pulang ke Putra Heights turut menumpangkan Mak Munah.

Jam 8.30 pagi kami sampai di KLIA. Ramai jemaah lain dari Gemilang Travel and Tours sudahpun berada di suatu sudut mendengar penerangan daripada wakil syarikat yang juga mutawif, Ustaz Wahab.

Selesai penerangan, sesi bersalaman di antara ahli keluarga. Ada yang berpelukan dan ada juga yang menangis. Kami mengambil kesempatan untuk bergambar sebagai kenang-kenangan.

Jam 9.00 pagi, jemaah diminta untuk bersiap sedia untuk bergerak ke ruang perlepasan antarabangsa. Sebaik jemaah diperiksa dokumen perjalanan dan dibenarkan ke ruang perlepasan oleh pihak imigresen, perhubungan kami hanyalah sekadar melambaikan tangan sahaja tanda perpisahan.

Mengikut jadual, jemaah akan berada selama 12 hari di Tanah Suci. Mereka akan menuju ke Madinah dan akan berada di sana selama 4 hari sebelum bergerak ke Mekah untuk menunaikan umrah. Mereka dijangka pulang ke Malaysia pada pagi 27 Julai 2012.

Aku berdoa semoga perjalanan ini diredhai Allah SWT dan semoga selamat dalam perjalanan pergi dan balik umrah.


















Berangkat Menunaikan Umrah

Isnin, 16 Julai merupakan hari di mana tiga ahli keluarga aku akan meninggalkan kami untuk menunaikan umrah di Tanah Suci Mekah. Ida, isteriku, Ifa, anak perempuan aku dan Mak Munah, ibu mertuaku akan meninggalkan kami selama 12 hari. Mereka akan bertolak ke Madinah menggunakan pesawat Malaysia Airlines, MH 8000 dan mengikut jadual dijangka berlepas pada jam 10.15 pagi.



Seawal jam 6.00 pagi, aku sudahpun bersiap-siap untuk menghantar mereka ke KLIA. Ramai saudara-mara dan jiran-jiran di Kg. Alai yang datang melawat mereka selepas Subuh. Semua yang datang mengucapkan selamat menunaikan umrah dan ada juga yang menghulurkan sumbangan ikhlas.



Mengimbas semula bagaimana ketiga-tiganya boleh menunaikan umrah, anak-anak Mak Munah beberapa bulan dahulu sepakat untuk menghadiahkan hari lahir beliau dengan menghantar mengerjakan umrah. Memandangkan anak-anak yang lain sibuk, Ida juga ditaja oleh mereka sebagai peneman Mak Munah. Dan aku pula meminta Ida membawa Ifa sekali sebagai ganjaran kecemerlangan dalam UPSR tahun lalu.



Jam 6.30 pagi, tibalah masanya jemaah umrah untuk bergerak meninggalkan rumah. Seperti sebelumnya, Pak Long Latif akan melaungkan azan semasa jemaah berdiri di halaman rumah.





Sebaik selesai azan berkumandang, para jemaah masuk ke dalam kereta dan terus bergerak ke KLIA.

Kenduri Tahlil Alai

Sabtu, 14 Julai 2012. Hari ini merupakan hari di mana keluarga kami akan diadakan kenduri tahlil dan bacaan Yasin.

Seperti keluarga-keluarga lain di kampung ini, bila masuk bulan Syaaban dan menghampiri bulan Ramadhan, akan diadakan kenduri arwah atau kenduri nasi. Kadangkala kenduri diadakan selepas Subuh. Ada juga yang mengadakan kenduri selepas Zuhur. Yang paling kerap ialah selepas waktu Maghrib.



Pada sebelah pagi, ahli keluarga akan ke pasar untuk membeli bahan-bahan mentah buat persiapan kenduri. Kemudian kawasan persekitaran dibersihkan. Lewat petang, tikar-tikar plastik dibentang.

Selepas Maghrib, ramai jemputan khususnya jemaah surau tiba. Majlis dimulakan dengan bacaan Yasin dan kemudian tahlil. Sebaik selesai, semua jemputan dijamu dengan kenduri.

Hj. Aziz, selaku adik kepada Mak Munah mengucapkan ribuan terima kasih kepada tetamu yang hadir pada malam itu. Beliau memaklumkan bahawa Mak Munah, Ida dan Ifa akan berangkat ke tanah suci untuk menunaikan umrah pada 16 Julai 2012 dan memohon doa daripada yang hadir agar memudahkan perjalanan pergi dan balik umrah.

Seperti biasa, ada berkat yang diberikan kepada tetamu. Di sini berkatnya berupa sebuah beg kain, kain pelikat atau kain batik, air kotak dan kek. Setiap tahun memang begitu. Ianya merupakan sesuatu yang istimewa yang belum pernah dibuat oleh keluarga lain di Kampung Alai ini.

Majlis kenduri berakhir sekitar jam 11.30 malam.