Ahad, 26 Disember 2010. Seperti yang dirancangkan, akhirnya pada jam 3.20 petang, aku, Arif, Rahman, Mahadir dan Zaidi bergerak dari UTeM untuk ke Stadium Nasional, Bukit Jalil bagi menyaksikan AFF Suzuki Cup Final 1st Leg yang diadakan di Kuala Lumpur.
Kami bergerak melalui plaza tol Ayer Keroh dan menyusuri Lebuhraya Utara-Selatan menghala ke utara. Perjalanan kami lancar tetapi sebaik sampai di Senawang, kenderaan mula dipandu perlahan kerana kesesakan jalan raya. Keadaan berlarutan hampir setengah jam dan selepas Hentian R&R Seremban, perjalanan kembali lancar. Namun begitu sebaik melepasi plaza tol Sungai Besi, jalan raya kembali sesak.
Masing-masing kebanyakannya dalam perjalanan menuju ke stadium. Mujurlah dibuka laluan ke Technology Park berhampiran ibu pejabat Astro. Kami letakkan kenderaan di sana dan berjalan kaki sejauh satu kilometer ke stadium.
Kami sampai pada jam 6.30 petang. Dari jarak 500 meter ke arah stadium, kelihatan orang ramai berpusu-pusu ke lokasi pertandingan. Hiruk-pikuk bunyi di dalam stadium dek sorakan penonton walaupun ketika itu perlawanan masih belum bermula.
Sebaik sampai di perkarangan stadium, terdapat banyak gerai yang menjual pakaian dan kelengkapan sukan. Baju pasukan Malaysia dan Indonesia juga ada dijual di sana. Aku sempat membelikan Arif sehelai baju pasukan Malaysia berwarna kuning, topi dan juga hon. Untuk Alim juga ada sepasang, sama seperti abangnya.
Pukul 7.00 malam, kami bergerak masuk ke dalam stadium.Hampir penuh. Kami mencari-cari ruang yang sesuai untuk menonton pertandingan ini dan bergerak dari satu ruang ke ruang yang lain. Kami bernasib baik kerana ada ruang yang baru dibuka kepada penonton walaupun sebelum itu ianya ditutup oleh pihak keselamatan bagi mengelakkan pergaduhan di antara penyokong kedua pasukan.
Mengenai perlawanan ini, khabarnya semua laluan menghala ke Stadium Nasional Bukit Jalil sesak teruk hampir dua kilometer kerana masing-masing membawa kenderaan sendiri. Stadium yang sekian lama 'menyepi' itu akhirnya bertukar wajah apabila lebih 85,000 penyokong pasukan Malaysia dan Indonesia menggamatkan suasana.
Belum pun permainan bermula, kedua-dua penyokong kelihatan bersorak untuk memberikan sokongan kepada pasukan masing-masing namun sorakan padu penyokong tuan rumah nyata berjaya menenggelamkan kira-kira 15,000 penyokong setia skuad Indonesia.
Kelihatan penyokong setia skuad negara memasang kain rentang antaranya berbunyi ‘tanah tumpahnya darahku dan ‘kembalikan maruah kita’ untuk memberikan sokongan kepada anak buah Rajagobal.
Seperti yang dijangka, sebaik lagu kebangsaan Indonesia dimainkan, penyokong skuad negara melaungkan ‘boo’ sebagai tanda membalas kelakuan penyokong Indonesia yang sebelum ini menghina lagu Negaraku ketika berkumandang di Stadium Gelora Bung Karno pada pertemuan pertama kedua-dua pasukan 1 Disember lalu.
Perlawanan di antara kedua pasukan berlangsung agak tegang apabila dicemari dengan insiden membaling botol dan membakar mercun oleh penyokong kedua-dua pasukan selepas pasukan Indonesia membuat bantahan pada separuh masa kedua mendakwa mereka terganggu dengan penggunaan pancaran laser. Perlawanan dihentikan selama lima minit.
Ketika itu, kelihatan penyokong Indonesia terutamanya bertindak liar apabila membaling botol serta membakar mercun sebagai rasa tidak puas dengan insiden berkenaan.
Selepas perlawanan bersambung semula, rentak permainan skuad Indonesia nyata terjejas dan anak buah K Rajagobal mengambil kesempatan itu apabila meledakkan tiga gol berturut-turut dua daripadanya menerusi penyerang, Safee Sali iaitu pada minit ke-61 dan 73 manakala satu gol lagi disumbangkan oleh Mohamad Ashari Samsudin, iaitu pada minit ke-68.
Gol pertama Safee nyata mengubah rentak permain skuad negara dan ketika perlawanan hampir tamat, penyokong Indonesia dilihat berduyun-duyun keluar dari stadium.
Dengan kemenangan itu, skuad negara membawa bekalan selesa sebelum berkunjung ke Jakarta untuk final kedua pada 29 Disember 2010.
Walaupun perlawanan sudah tamat, penonton seakan-akan tidak mahu meninggalkan stadium. Kami berjaya keluar dari stadium sekitar jam 11.00 malam dalam keadaan bersesak-sesak. Kami bergerak ke Melaka pada jam 12.30 pagi dan sampai di UTeM semula pada jam 3.00 pagi.
Walaupun penat, ianya berbaloi kerana pasukan negara menang.
Dan esok, kami harus ke tempat kerja walaupun dengan badan yang letih...
Bola..bola..bola...
Love u forever ! ♥
-
Ni Ain, cerita pasal awak. Awak dah tulis pasal kite kan ? Thanxx yepp !
Kelakar la cerita awak. Nah ! Kite balas balik. 3 perenggan je. Kite takkan
tulis...
12 tahun yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan