Selasa, Disember 21, 2010

Kursus Pengukuhan Jati Diri Insan Dinamik 3

Kursus Pengukuhan Jati Diri Insan Dinamik yang diadakan dari 10 hingga 12 Disember 2010 merupakan kursus kerohanian yang dapat membentuk karakter dan jati diri staf sebagai orang Islam dan hamba Allah yang patuh kepada suruhanNya.

Beberapa perkara yang dapat aku kutip semasa Ustaz Dasuki menyampaikan ceramahnya ialah jika kita berpegang kepada ad din iaitu iman, Islam dan ihsan, pastinya ia menjadi teras kepada kejayaan.

Iman merupakan kepercayaan manusia kepada rukun Iman iaitu beriman kepada Allah SWT, beriman kepada malaikat-malaikat, beriman kepada kitab-kitab, beriman kepada rasul-rasul, beriman kepada Hari Kiamat dan beriman kepada Qada dan Qadar.

Islam pula ialah mengucap dua kalimah syahadah, sembahyang lima waktu, berpuasa sebulan dalam bulan Ramadhan, menunaikan haji ke Baitullah (Mekah) dan menunaikan zakat.

Di antara iman dan Islam, perlu ada ihsan. Ihsan ialah melakukan ibadah dengan khusyuk, ikhlas dan yakin bahawa Allah SWT sentiasa mengawasi apa kita lakukan.

Nabi Muhammad SAW pernah ditanya oleh Malaikat Jibril tentang ihsan. Baginda bersabda, “Ihsan ialah apabila engkau beribadah kepada Allah seolah-olah engkau melihatNya, tetapi apabila kamu tidak mampu (beribadah seolah-olah melihat-Nya), maka sesungguhnya Dia melihatmu”. Oleh itu tingkatan ihsan ini mencakupi perkara lahir dan juga batin.

Di antara kelebihan ihsan ialah sentiasa mentaati perintah dan larangan Allah SWT dengan ikhlas. Manusia akan sentiasa amanah, jujur dan menepati janji. Di samping itu, timbul nikmat dan keseronokan beribadah. Selain daripada itu, ia akan mewujudkan keharmonian masyarakat serta mendapat ganjaran pahala daripada Allah SWT.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan