Selasa, Disember 21, 2010

Kursus Pengukuhan Jati Diri Insan Dinamik 1

10 Disember 2010. Aku tersenarai di antara 50 orang staf UTeM yang terlibat dalam Kursus Pengukuhan Jati Diri Insan Dinamik. Kursus selama 3 hari ini telah diadakan di Agrotek Garden Resort, Ulu Langat, Selangor Darul Ehsan dan dianjurkan oleh Bahagian Pembangunan Sumber Manusia, Pejabat Pendaftar UTeM. Program dikendalikan oleh Ustaz Md. Yusof Abdul Razak dari Irsyad One Resources.

Kami bergerak dari kampus pada jam 10.30 pagi dan singgah di Masjid Batu 14, Ulu Langat untuk bersembahyang Jumaat. Akhirnya kami tiba di lokasi pada jam 2.30 petang. Sebaik sampai, kami dijemput menjamu selera di satu ruang makan yang telah disediakan. Kemudian kami mendaftar masuk ke bilik dan berehat. Aku, Arman dan Mahadir memilih untuk tinggal sebilik.

Pukul 3.35 petang, semua peserta dijemput ke dewan untuk menghadiri majlis perasmian Kursus Pengukuhan Jati Diri Insan Dinamik. Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Ustaz Md. Yusof.

Pukul 3.40 petang, Encik Hasan Sirun, Pendaftar UTeM dijemput untuk menyampaikan ucapan perasmian program. Di dalam ucapannya, beliau kecewa dengan bilangan peserta yang hadir iaitu daripada 50 orang yang tersenarai hanya 23 orang sahaja yang mengikuti program tersebut.

"Universiti sudah berbelanja banyak untuk warganya berubah. Program diadakan bagi membolehkan staf melakukan perubahan dengan bersungguh-sungguh tanpa jemu agar ada penambahbaikan atau kesempurnaan dalam kehidupan mereka.", kata beliau.

Jerih membincangkan tentang perubahan yang tiada noktahnya, beliau mengharapkan dengan kedatangan Maal Hijrah, warga universiti akan terus melakukan perubahan. Beliau juga melontarkan bentuk perubahan yang bagaimana yang perlu difikirkan oleh mereka. Dengan mengibaratkan seperti orang bercinta, perbuatan bercinta itu perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh. Begitu juga cinta kepada organisasi.

Dengan mengambil kisah Nabi Ibrahim a.s. yang hidupnya sentiasa diuji Allah SWT, segala perintahNya dilaksanakan tanpa ragu-ragu. Cinta kepada Allah SWT melebihi cinta kepada keluarganya. Encik Hasan berkata sebagai khalifah Allah, sesuatu yang dibuat harus dijalankan dengan tertib sebagai suatu ibadah agar ianya merupakan jihad ke jalan Allah. Beliau mengharapkan peserta yang hadir akan menjadi agen perubahan kepada universiti.

"Nikmat Tuhan mana yang kamu dustakan?", kata beliau sambil memetik ayat daripada Surah Rahman.

Tambahnya lagi, warga universiti sudah terlalu selesa. Mereka mendapat rezeki, gaji, kemudahan dan lain-lain lagi sehingga mereka kadangkala lupa menunaikan amanah dan tanggungjawab yang diberikan. Tugas yang dilakukan oleh staf merupakan satu jihad dan jika dibuat bersungguh-sungguh, pastinya membolehkan UTeM lebih cemerlang.

Ucapan selama hampir sejam itu diakhiri dengan harapan semoga semua peserta program akan mendapat keberkatan dan hidayah daripada Allah SWT melalui kursus yang diadakan oleh universiti.










Tiada ulasan:

Catat Ulasan